
Pelakon dan pelawak veteran, Datuk Imuda meluahkan rasa bangga apabila anak keduanya, Muhammad Raezal atau lebih mesra disapa Rezi, kini sudah dua tahun membina kerjaya sebagai seorang peguam di sebuah firma guaman terkenal di ibu negara.
Kejayaan tersebut pastinya menjadi kebanggaan buat Imuda atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda, 66, yang turut menitipkan doa agar anaknya terus cemerlang dalam bidang yang diceburi serta menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti.
Menerusi perkongsian di Facebook bersempena sambutan ulang tahun kelahiran Rezi pada 30 Oktober lalu, Imuda berkongsi perjalanan anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bangga Lihat Anak Berjaya Bina Kerjaya Sebagai Peguam
Menurut Imuda, Rezi kini sudah memasuki tahun kedua berkhidmat sebagai peguam selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang.
“Selamat hari lahir buat anak kedua saya, Muhammad Raezal bin A.Rahim atau Rezi pada 30 Oktober lalu.
“Rezi sekarang dah dua tahun menjadi seorang peguam di sebuah firma guaman terkenal di ibu negara setelah tamat pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan undang-undang.

“Papa dan mama sangat bangga dengan kejayaan Rezi. Mama, papa, Kak Hana, Rayyan, dan Zara doakan Rezi terus berjaya dunia dan akhirat, menjadi seorang peguam yang hebat, seorang peguam yang ikhlas, jujur dalam menjalankan tanggungjawab sebagai peguam dengan penuh amanah. Kami semua akan selalu ada dengan Rezi, selalu sokong Rezi,” tulisnya.

Hargai Pengorbanan Isteri Besarkan Anak-Anak
Dalam perkongsian sama, pelakon yang cukup sinonim dengan watak ikonik Budin menerusi sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu turut menzahirkan penghargaan buat isteri tercinta, Datin Zabarina Haja Mushadi Ali.
Imuda mengakui peranan dan pengorbanan isterinya dalam membesarkan anak-anak serta memastikan pendidikan mereka sentiasa menjadi keutamaan merupakan sesuatu yang amat dihargai.
“Terima kasih buat mama, isteriku tercinta yang membesarkan Rezi dengan penuh kasih sayang dan sangat-sangat menitikberatkan pelajaran semua anak-anak. Terima kasih mama,” tulisnya lagi.

Imbas Kembali Kehidupan Berkeluarga Imuda
Untuk rekod, Imuda pernah mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Rosalinda Rosli pada 1994 sebelum mereka berpisah selepas 10 tahun bersama.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Raihana dan Rezi.
Imuda kemudiannya mendirikan rumah tangga bersama Zabarina pada 2010 dan hasil perkahwinan itu, mereka turut dikurniakan dua orang cahaya mata.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!






