2024 terbukti merupakan salah satu tahun paling gemilang buat pereka fesyen tanah air, Ezuwan Ismail apabila beliau menerima pelbagai peluang keemasan dalam menghasilkan busana gaun baharu untuk beberapa acara istimewa.
Ezuwan, 42 pada Jun lalu menerima pelawaan yang julung-julung kali diberikan oleh ‘diva’ tersohor Indonesia, Melly Goeslaw kepada mana-mana pereka fesyen dari Malaysia. Ezuwan dilantik untuk menyiapkan busana ‘denim couture’ sarat perincian seberat 15 kilogram dan dianggarkan bernilai RM130,000!
Peluang itu diterima Ezuwan setelah Melly melihat stail Aina Abdul dalam rekaan Ezuwan Ismail ketika menjayakan persembahan di acara Gempak Most Wanted Awards, Februari lalu. Melly meneliti rekaan beliau yang lain menerusi media sosial dan pada hari seterusnya, terus berjumpa untuk mengatur perbincangan untuk konsertnya.
Akhir Oktober menyusul dengan satu lagi berita istimewa apabila tiba giliran Ezuwan Ismail untuk terpilih menyiapkan dua gaun malam serta sepasang kostum kebangsaan untuk digayakan oleh wakil Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2024, Sandra Lim.
Selang beberapa minggu, Ezuwan Ismail sekali lagi tersenyum apabila menjadi pereka fesyen pilihan Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk menyiapkan busana untuk beliau gayakan ketika menerima anugerah Biduan Negara yang membawa gelaran Biduanita Negara.
Ads
Siti juga pernah menggayakan busana tradisional rekaan Ezuwan ketika Konsert Fenomena: Siti Nurhaliza Live In Singapore 2024, Julai lalu.
Ternyata, tahun 2024 bukan ‘kaleng-kaleng’ buat seorang insan bernama Ezuwan Ismail!
Kesemua kejayaan ini bagaimanapun diiringi dengan kata-kata nakal warganet. Rata-rata rekaan Ezuwan ini pasti akan ditemui dengan kecaman daripada orang ramai.
Paling teruk diterimanya adalah selepas acara pengenalan rekaan baju dan kostum nasional yang dihasilkan olehnya buat Miss Universe Malaysia 2024. Kostum kebangsaan yang diberi jolokan ‘Walinong Sari’ menjadi sasaran warganet kerana merasakan ia tidak benar-benar menggambarkan budaya di Malaysia selain penggunaan fabrik songket.
“Tahun ini memang kecaman (yang diterima) itu banyak. Memang banyak sangat-sangat berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. Bila ada orang yang suka atau tidak suka, itu adalah normal bagi saya. Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak.
“Apa yang lebih penting, walaupun tahun ini kecaman yang diterima itu banyak tetapi saya sudah buktikan dengan hasil. Contoh di pertandingan Miss Universe 2024, wakil negara, Sandra Lim dapat juga melangkah ke Top 30 dengan busana Ezuwan yang dikecam itu.
“Selepas melayakkan diri, tiada sudah kecaman-kecaman. Timbul hanya pujian pula (ketawa) itu normal. Adat resam industri fesyen. Cuma apa yang saya ingin tekankan adalah segala yang kita reka itu bukanlah secara sesuka hati. Kita kaji dulu dan berbincang dengan semua pihak kerana ini bukanlah projek puaskan diri sendiri. Ia adalah untuk mewakili negara kita.
“Alhamdulillah rezeki untuk Malaysia, untuk Sandra Lim dan untuk saya juga,” ulasnya.
Ezuwan Ismail.
Biduanita Negara
Alah bisa tegal biasa, kehidupan sebagai seorang pereka fesyen pada zaman digital kini tidak boleh lari daripada pandangan orang ramai di media sosial. Ezuwan sendiri selagi boleh akan cuba mengelak daripada membaca komen-komen yang keterlaluan kerana ia hanya akan menganggu fokus kerja.
Ads
“Memang wow kecaman yang diterima misalnya di TikTok. Kalau baca boleh buat kita pitam. Tapi tidak mengapalah. Itu hanya pendapat dan penerimaan masing-masing. Bila baju siap dan pemakainya pun gembira, itu sudah cukup bernilai bagi saya.
“Selain dapat berkarya untuk banyak konsert-konsert artis ternama Malaysia, saya bersyukur apabila menjadi pereka fesyen pilihan Biduanita Negara kita (Datuk Seri Siti Nurhaliza) untuk acara penyampaian anugerah, baru-baru ini. Kemudian, (terima peluang oleh) Miss Universe Malaysia pula, rezeki tidak putus-putus.
“InsyaAllah untuk 2025, saya harap dapat terus berkarya dengan lebih lagi untuk penggemar-penggemar rekaan Ezuwan Ismail. Teruskan sokongan anda dan InsyaAllah, tahun hadapan akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk saya,” katanya lagi kepada REMAJA.
Tak sabar nak tunggukan rekaan busana oleh Ezuwan Ismail pada tahun 2025. Agaknya, ada lagi tak busana berlitup muka seperti yang pernah disarungkan oleh Rozita Che Wan dahulu? Hehe…
Jenama fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini, akan menyertai barisan pereka terkenal dunia pada Oktober, setelah dijemput untuk menyertai Minggu Fesyen Dubai (DFW), anjuran Arab Fashion Council.
Pengumuman itu dibuat pada malam ketiga Kuala Lumpur Fashion Week 2023 (KLFW), di mana jenama itu mempersembahkan koleksi Rizman Ruzaini Cruise 23/24, dan Rizman Ruzaini Red Cruise 23/24.
Selepas melalui proses seleksi yang sangat ketat, Rizman Ruzaini akui bersyukur apabila jenama mereka yang berusia 18 tahun itu bukan sahaja dipilih malah mereka juga diberi peluang untuk membuat majlis penutup semasa pertunjukan fesyen itu nanti.
Rizman Ruzaini bakal mempersembahkan tidak kurang 60 helaian untuk penutup DFW anjuran Arab Fashion Council dan berkongsi pentas bersama jenama gergasi fesyen dunia, Carolina Herrera dan Michael Cinco.
Untuk info, pertunjukan Rizman Ruzaini akan berlangsung pada 15 Okt 2023 di Daerah Fesyen Dubai.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Organisasi Miss Universe Malaysia (MUMO) mendengar suara hati rakyat & pencinta dunia ratu cantik apabila hari ini mengumumkan syarat-syarat penyertaan baru untuk pertandingan Miss Universe Malaysia 2024.
Eleen Yong, Pengarah Nasional baru MUMO mengumumkan pemansuhan had umur maksimum dan penerimaan wanita yang berkahwin, bergelar ibu dan yang sudah bercerai ke dalam pertandingan ini.
Peraturan terdahulu mengehadkan penyertaan kepada wanita bujang yang belum berkahwin dan berusia 28 tahun ke bawah sahaja.
Dengan perubahan ini, organisasi bergarap agar pertandingan berkenaan akan berada satu langkah ke hadapan menjadi lebih inklusif kepada gadis-gadis & wanita-wanita di Malaysia.
Sewaktu ditemui pada sidang media pengenalan Eleen sebagai peneraju baru MUMO pada Khamis, beliau teruja bagi memikul tanggungjawab baharu untuk menaikkan prestij pertandingan ini ke tahap yang lebih tinggi.
Jika dahulu Eleen bergelar jurulatih peragaan model dan ratu cantik sahaja, kini beliau sudah bersedia untuk menggilap potensi wanita di Malaysia untuk menjadi ratu cantik yang berpakej lengkap.
Pengarah nasional terbaru organisasi Miss Universe Malaysia 2024, Eleen Yong.
“Visi kami adalah untuk memperkasakan dan meraikan wanita-wanita luar biasa di Malaysia, mempamerkan bakat, kecerdasan, dan kecantikan mereka di pentas global. Kami percaya pada kekuatan platform ini untuk mengubah kehidupan dan memberi inspirasi kepada generasi masa depan.”
Pendaftaran secara dalam talian telahpun dibuka & pihak MUMO turut akan mengadakan uji bakat secara fizikal tidak lama lagi.
Sekiranya korang merupakan wanita berusia 18 tahun ke atas dengan ketinggian minimum 169cm, mempunyai daya intelek yang bagus, berkarisma dan berpersonaliti menarik, platform ini wajar dicuba sebagai pengalaman sekali seumur hidup.
Pemenang Miss Universe Malaysia 2024 akan dimahkotakan pada bulan September kelak oleh Miss Universe Malaysia 2022, Lesley Cheam.
Miss Universe Malaysia 2022, Lesley Cheam.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penganjuran acara tahunan, Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) mulai hari ini, 29 Julai sehingga 4 Ogos kelak dijangka akan terus menjadi topik perbualan pemerhati fesyen dan orang ramai secara amnya.
Kembali untuk edisi ke-12, KLFW 2024 juga merupakan edisi kedua yang menyaksikannya berlangsung sepanjang tujuh berturut-turut (terdahulu hanya lima hari) bertempat di Esplanade Suria KLCC yang terletak berhadapan dengan kawasan air pancut popular pusat beli-belah berkenaan.
REMAJA berkesempatan untuk menemubual Andrew Tan, Pengasas KLFW untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keistimewaan usia sedozen acara pertunjukan fesyen berprestij itu.
Andrew Tan.
“Berbeza dari tahun lepas di mana kami anjurkan di tujuh lokasi berbeza, untuk edisi 2024 KLFW akan memanggil Suria KLCC Mall Esplanade sebagai ‘rumah sementara’ kami dari 29 Julai hingga 4 Ogos 2024 menerusi kolaborasi dengan Suria KLCC dan KLCC (Holdings) Sdn Bhd.
“Ia merupakan mercu tanda ikonik bukan sahaja untuk Kuala Lumpur tetapi juga untuk negara kita, Malaysia dan kami berbangga apabila pihak lokasi turut memandang KLFW sebagai platform ikonik yang telah melakar momen-momen penting dalam dunia fesyen tempatan,” katanya.
KLFW 2024 membawakan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan berlatarkan Menara Berkembar PETRONAS dan bakal disaksikan oleh 500 tetamu pada satu-satu masa.
Tambah mengujakan adalah kehadiran beberapa jenama tempatan yang akan membuatkan penampilan sulungnya di platform KLFW termasuklah Akudesign, Corak, Ghostboy, LARNEY, SHALS dan Tact serta Fuzana Mokhtaza.
Tidak terkecuali, KLFW terus menyokong perkembangan pereka fesyen muda tempatan berserta karya mereka dengan menampilkan segmen Design To Sustain yang memberikan ruang kepada 15 finalis Pertandingan Pencarian Pereka KLFW 2024 untuk memperagakan koleksi penuh masing-masing.
“Kami amat berterima kasih dengan kehadiran rakan-rakan strategik kami yang membolehkan kami merealisasikan acara pada skala sebesar ini. Platform KLFW ini hanya boleh diteruskan dengan adanya pihak-pihak yang mempercayai kredibiliti kami dan sudi untuk turut serta.
“Kita semua tahu, sekarang merupakan waktu yang mencabar terutamanya dari segi kewangan dan ekonomi. Untuk KLFW masih dilangsungkan tanpa gagal bagi tahun ke-12 berturut-turut; saya amat berterima kasih kepada penaja kami termasuklah Peugeot yang turut menjadi penaja sempena Sukan Olimpik Paris 2024 sekarang, Kumpulan AmBank, L’Oreal Paris, Poh Kong, COCCONA dan beberapa lagi rakan kerjasama lain.
“Apa yang membuatkan kami lebih bangga adalah apabila para penaja kami juga mengambil serius masa hadapan pereka fesyen dan jenama fesyen tempatan serta ingin melihat kerjaya mereka terus maju,” ulasnya lagi.
Biarpun penganjuran acara fesyennya terletak di dalam khemah tertutup dan hanya mereka yang mempunyai jemputan rasmi sahaja dibenarkan memasuki khemah berkenaan, para pengunjung Suria KLCC serta peminat fesyen tempatan yang ingin merasai kehangatan senario fesyen masih boleh menyaksikan siaran langsung setiap pertunjukan fesyen di layar gergasi yang terletak di luar khemah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Khairul Aming Ramadan sekali lagi mencuri perhatian apabila sanggup merakam video 30 hari 30 resipi selama hampir 14 jam walaupun sibuk mengurus restoran Rembayung.