
Terbaru, Yunho daripada kumpulan ATEEZ mengejutkan para peminat apabila disahkan telah berpisah dengan teman wanitanya yang bukan daripada kalangan selebriti selepas menjalinkan hubungan dalam tempoh lama. Khabar mengenai perpisahan itu mula mendapat perhatian selepas laporan daripada MHN Sports mendedahkan bahawa hubungan mereka telah berakhir kira-kira tiga bulan lalu.
Menerusi sebuah kenyataan yang dikongsikan oleh wakil agensi KQ Entertainment, Yunho atau nama sebenarnya Jeong Yun-ho (27) mengesahkan bahawa beliau sudah tidak lagi bersama bekas kekasihnya itu. Pihak agensi turut memaklumkan bahawa perkara tersebut telah disahkan sendiri bersama Yunho selepas mereka menghubunginya secara peribadi.
“Selepas menghubungi Yunho secara peribadi untuk mendapatkan pengesahan, dia memaklumkan bahawa dia tidak pernah berjumpa atau bercakap melalui telefon dengan bekas kekasihnya selepas hubungan mereka berakhir,” katanya.
Tambah pihak agensi, hubungan antara Yunho dan wanita tersebut sememangnya telah berakhir sepenuhnya pada ketika itu.
Sebelum ini, Yunho pernah dikaitkan dengan beberapa khabar angin mengenai hubungan romantik yang tersebar dalam komuniti dalam talian di media sosial. Namun, perkara tersebut tidak pernah menerima sebarang pengesahan rasmi daripada pihak terlibat sehingga laporan terbaru ini muncul.
BACA: KQ Entertainment Nafi Dakwaan Kaitkan ATEEZ Dengan Entiti Zionis, Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang
Berdasarkan laporan MHN Sports, penari utama ATEEZ itu dan bekas kekasihnya dikatakan sudah mengenali antara satu sama lain sejak zaman persekolahan sebelum hubungan mereka berkembang menjadi percintaan. Disebabkan mereka mempunyai sejarah perkenalan yang panjang, proses perpisahan itu dilaporkan bukan sesuatu yang mudah buat kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, khabar tersebut turut mendapat perhatian apabila terdapat dakwaan daripada beberapa sumber dalaman yang mengatakan bahawa mereka masih meneruskan hubungan. Susulan itu, pihak media mengambil langkah untuk mendapatkan kepastian sebelum agensi Yunho mengesahkan bahawa kedua-duanya sebenarnya sudah membawa haluan masing-masing.
Kini, Yunho dan bekas kekasihnya memilih untuk menjalani kehidupan masing-masing selepas menamatkan hubungan tersebut kira-kira tiga bulan lalu. Pengesahan ini sekaligus menjawab persoalan mengenai spekulasi hubungan romantik yang sebelum ini sering dikaitkan dengan anggota kumpulan ATEEZ berkenaan.
Sumber: MHN Sports
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.