
Baru-baru ini, pelakon kacak Korea Selatan, Yoo Seung Ho meraih perhatian sekali lagi membuktikan dirinya sebagai seorang ‘ayah kucing’ sejati apabila sanggup mendonasikan keseluruhan gaji penampilannya di sebuah saluran YouTube demi kesejahteraan kucing.
Menerusi salah satu episod di saluran YouTube ‘Miya Ong-cheol’s Meow Punch’ milik doktor haiwan dan pakar perilaku kucing, Dr. Kim Myung-chul, Seung Ho tampil sebagai tetamu jemputan dan berkongsi kisah hidupnya sebagai penjaga kucing setia selama 12 tahun, sekaligus memperkenalkan kucing-kucing kesayangannya, Simba dan Gaeul.
Sepanjang rakaman, pelakon yang popular menerusi drama ‘I’m Not A Robot’ itu jelas tidak mampu menyembunyikan kasih sayangnya terhadap haiwan yang comel itu.
“Jika saya boleh meminta satu hal saja, saya berharap mereka boleh memberitahu saya, ‘Saya sedang tidak enak badan,’ ketika ada sesuatu yang salah,” katanya penuh jujur, menggambarkan dirinya seperti seorang bapa penyayang.
Apa yang lebih manis lagi, Seung Ho turut berkongsi beberapa tip mengenai kesihatan dan aktiviti permainan kucing. Selain itu, beliau aktif bertanya soalan serta menunjukkan keterujaan dalam perbincangan, membuatkan para penonton terhibur dengan kejujuran dan semangatnya.
Dalam pada itu, di kemuncak episod beliau turut mendedahkan bahawa semua hasil penampilannya disumbangkan sepenuhnya untuk tujuan perlindungan kucing.
“Impian saya adalah untuk membantu sebanyak mungkin kucing hidup dengan aman dan bermartabat,” ujarnya yang menunjukkan cintanya yang tulus terhadap haiwan.
Untuk pengetahuan, ini bukan kali pertama aktor berusia 32 tahun itu menjadi perhatian kerana sikap dermawannya. Terdahulu, Seung Ho pernah menyumbangkan dua tan makanan kucing kepada pusat perlindungan kucing liar. Organisasi kebajikan haiwan ‘Ray at Home’, turut berkongsi rasa terima kasih di media sosial mereka kerana sumbangan itu membolehkan kucing-kucing bertahan melalui musim panas yang terik.
Sementara itu, Seung Ho juga dikenali sebagai sukarelawan aktif dalam membantu kucing jalanan dan difahamkan sering turun padang tanpa ditemani pengurus, semata-mata untuk mengunjungi pusat perlindungan dan menyokong kos rawatan perubatan serta usaha pengambilan angkat.
Tindakan mulia Yoo Seung Ho ini sekali lagi mengukuhkan reputasinya bukan sahaja sebagai pelakon berbakat besar, tetapi juga sebagai seorang selebriti berhati emas yang menjadikan dunia lebih baik untuk kucing-kucing yang tidak bernasib baik.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.