
Baru-baru ini, beberapa wakil pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah tersendiri selepas berjaya membawa pulang tujuh (7) pingat emas menerusi pertandingan World Chefs Championship (WCC) 2026 yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru dari 21 hingga 23 Mei lalu.
Menerusi perkongsian Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI di Facebook, pencapaian membanggakan itu turut menyaksikan para pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Ekonomi Rumah Tangga) meraih enam anugerah ‘Excellent Gold’, lapan pingat perak serta tiga gangsa dalam pelbagai kategori kulinari dan hospitaliti bertaraf antarabangsa.
Difahamkan, kejayaan tersebut dicapai hasil bimbingan Penolong Pegawai Penyediaan Makanan FTV, Muhammad Hazwan Ibrahim yang memainkan peranan penting dalam membantu para pelajar mengasah bakat, kreativiti dan kemahiran teknikal sepanjang pertandingan berlangsung.
Sementara itu, menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, pencapaian itu membuktikan mahasiswa universiti berkenaan bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai daya saing tinggi dalam bidang kulinari dan hospitaliti di peringkat global.
“Keupayaan pelajar FTV UPSI meraih pelbagai pengiktirafan dalam pertandingan berprestij ini amat membanggakan universiti dan negara. Kejayaan ini mencerminkan komitmen tinggi, disiplin, kreativiti serta kesungguhan mereka dalam menghasilkan inovasi kulinari berkualiti tinggi,” katanya.
Antara penerima ‘Excellent Gold Medal’ ialah Fa’iqah Afifah Joanes menerusi kategori ‘Modern Free Style 3 Tier Wedding Cake’, Jordan Bell Angel Injol (Gingerbread House Showpiece), Nur Athirah Mohd Zailani (Petit Four and Praline), Nurul Syazwani Mukhtar (Thai Modern Main Course Fish or Seafood), Noorsyamimie Zulkifli (Malay Traditional Dessert) dan Nur Balqis Kamarulzaman bagi kategori ‘Thai Free Style Dessert’.
Pada masa yang sama, beberapa pelajar lain turut mencipta kejayaan tersendiri apabila membawa pulang pingat emas menerusi kategori berbeza termasuk Radin Wafa Syahirah Kamaruzaman, Nur Zarith Sofia Tugimun, Fatin Nur Aina Dzulkifli, Meishya Forchoa Frify dan Muhammad Haziq Mohd Azlan. Selain itu, Melviah Untong turut mencuri perhatian apabila berjaya memenangi dua pingat emas menerusi kategori Sambal Petai Udang dan Modern Free Style Indonesia Dessert.
Untuk info, kejohanan itu menghimpunkan peserta dari pelbagai negara termasuk Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Singapura, China, Peru, Kanada dan Vietnam sekaligus menjadikan WCC antara platform kulinari paling kompetitif di rantau ini.
Sumber: Facebook Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.