
Penyanyi, Woojin LNGSHOT baru-baru ini mencuri perhatian apabila mengumumkan bahawa beliau telah menjalani pembedahan pada bahu kanan susulan kecederaan lama yang semakin serius ketika menjalani aktiviti promosi bersama kumpulannya.
Menerusi sebuah perkongsian di Weverse, Woojin atau nama sebenarnya Jung Woojin (18), menjelaskan bahawa keputusan untuk menjalani pembedahan dibuat selepas pemeriksaan di hospital mendapati ligamen bahu kanannya mengalami koyakan selain terdapat kerosakan pada bahagian sendi akibat dislokasi yang berulang sejak sekian lama.
Dalam kenyataannya, Woojin turut berkongsi bahawa kecederaan tersebut pada awalnya masih membolehkannya menjalani rutin harian. Namun, keadaan itu bertambah buruk sehingga menyebabkan rasa tidak selesa setiap kali melakukan pergerakan tertentu, sekaligus mendorongnya mendapatkan rawatan lanjut.
“Hai, ini Woojin. Sudah lama bahu kanan saya kerap mengalami dislokasi”
“Namun kebelakangan ini, saya semakin berasa tidak selesa ketika melakukan aktiviti harian, jadi saya membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan di hospital,” katanya.
Menurut pelantun lagu ‘Never Let Go’ dan ‘Moonwalkin’, hasil pemeriksaan mendapati ligamennya mengalami koyakan dan sendi bahunya turut terjejas, menyebabkan beliau memilih untuk menjalani pembedahan bagi mengelakkan kecederaan tersebut menjadi lebih serius.
“Selepas pemeriksaan, doktor memaklumkan bahawa sendi dan ligamen saya mengalami kecederaan serius akibat ligamen yang koyak. Disebabkan itu, saya terus membuat keputusan untuk menjalani pembedahan,” jelasnya.
BACA: Digelar ‘Anak Jay Park’! Ini 5 Fakta Best Tentang LNGSHOT Yang Korang Patut Tahu!
Walaupun perlu menjalani tempoh pemulihan, Woojin memaklumkan bahawa beliau masih mampu melakukan aktiviti harian seperti biasa. Bagaimanapun, beliau dinasihatkan untuk mengurangkan pergerakan dan memberi fokus sepenuhnya terhadap proses pemulihan sebelum kembali aktif seperti sediakala.
Sementara itu, penyanyi itu turut meminta peminat agar tidak terlalu bimbang serta menzahirkan penghargaan dan kasih sayangnya atas sokongan yang diberikan.
Sebelum pengumuman itu dibuat, para peminat khususnya SHOTTIES dilaporkan sudah mula menyedari perubahan pada persembahan Woojin apabila beliau kelihatan kurang selesa ketika berada di atas pentas.
Berikutan berita pembedahan tersebut, ramai peminat membanjiri media sosial dengan ucapan semangat dan doa agar penyanyi itu diberikan kesembuhan serta dapat kembali menyertai aktiviti LNGSHOT dalam keadaan yang lebih sihat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.