#WayangRemaja: Bukan Lagi Gimik, The Fantastic Four: First Steps Suntik Nyawa Baru Dalam Dunia Marvel

Share

Antara filem yang ditunggu-tunggu oleh para pencinta filem Marvel Cinematic Universe (MCU) berjudul The Fantastic Four: First Steps bakal beraksi di pawagam seluruh negara bermula akhir Julai. Filem ini, memaparkan aksi menakjubkan daripada empat adiwira ikonik hebat iaitu Reed Richards / Mister Fantastic yang dilakonkan oleh Pedro Pascal, Sue Storm / Invisible Woman (Vanessa Kirby), Ben Grimm / The Thing (Ebon Moss-Bachrach), dan juga Johnny Storm / Human Torch (Joseph Quinn).

Dalam #WayangRemaja kali ini, meh kami kongsikan ringkasan sinopsis dan beberapa fakta menarik yang boleh korang baca sebelum mula menonton The Fantastic Four: First Steps bersama keluarga dan rakan-rakan di pawagam.

SINOPSIS

Mengisahkan tentang empat individu yang terdedah kepada radiasi luar angkasa semasa misi saintifik yang kemudian memberi mereka kuasa luar biasa. Reed mampu melentur tubuhnya, Sue boleh menjadi halimunan dan menghasilkan medan tenaga, Johnny mengawal api dan terbang, sementara Ben berubah jadi makhluk batu berkuasa luar biasa. Apabila ancaman dari Galactus menghampiri bumi, keluarga ini terpaksa bergabung tenaga bagi menyelamatkan dunia.

Apa yang membezakan filem ini dari adaptasi-adaptasi lepas ialah cara ia menekankan elemen eksplorasi berbanding pertempuran semata-mata. The Fantastic Four bukan sekadar adiwira tetapi mereka juga adalah saintis, penjelajah, dan manusia yang cuba memahami tempat mereka dalam alam semesta.

Selain itu, filem The Fantastic Four: First Steps bukan hanya tentang permulaan baharu, malah ia juga pengiktirafan terhadap asal-usul mereka yang klasik sekaligus memberi penghormatan kepada sejarah komik Marvel.

KELUARGA SUPERHERO PERTAMA MCU

Dalam dunia MCU yang penuh adiwira solo dan team bersifat sementara, akhirnya kita diperkenalkan kepada pasukan yang benar-benar berfungsi sebagai satu keluarga. The Fantastic Four yang dilakonkan oleh bintang hebat seperti Pedro Pascal, Vanessa Kirby, Joseph Quinn, dan Ebon Moss-Bachrach, mereka tampil bukan sekadar sebagai rakan sepasukan, namun mereka adalah keluarga. Hubungan rapat yang terjalin antara mereka turut menjadi nadi kepada naratif dan konflik filem ini.

GALACTUS & SILVER SURFER: ANCAMAN LEVEL MAX

Siapa sangka debut filem Fantastic Four terus masukkan Galactus?! Dikenali sebagai ‘Devourer of Worlds’, Galactus bukan penjahat klise. Watak ini lebih kepada kuasa alam semesta yang wajib dilawan, dan kehadiran Silver Surfer sebagai utusannya menambahkan lagi elemen misteri dan estetika ‘space opera’. Apa yang penting, ini bukan lawan yang dapat diselesaikan hanya dengan satu

snap saja, okay?

RETRO ERA 60-AN

Filem ini berlatarbelakangkan tahun 1960-an, tapi dengan sentuhan retro-futuristik yang amat menarik. Cuba bayangkan teknologi zaman space race, optimisme JFK, dan visual yang diinspirasikan dari komik asal tahun 1961. Istimewanya, lebih 30 set dibina untuk cipta suasana ini, termasuk markas ikonik Baxter Building yang dibina semula di Pinewood Studios UK.

KEMUNCULAN MOLE MAN

Selain Galactus, penonton juga akan melihat kemunculan Mole Man, musuh klasik Fantastic Four dan dalam versi filem ini, watak tersebut dilakonkan oleh Paul Walter Hauser. Namun, konflik dengan Mole Man tidak semudah ‘lawan dan menang’. Sue Storm dilihat menjadi suara diplomasi, menyelesaikan konflik dengan cara lebih matang, sekaligus memperlihatkan peranan wanita yang lebih dominan dan intelektual dalam MCU.

Nah! Siapa kata filem MCU semakin tak vibe?! Dengan gabungan pelakon mantap, sinematografi yang unik. Ini bukan reboot biasa-biasa, guys! Filem The Fantastic Four: First Steps pastinya menjanjikan vibe retro-futuristik, penuh warna dan nostalgia 60-an, sambil membuka lembaran baharu untuk peminat filem Marvel Cinematic Universe.

Jadi, bagi korang yang memang gemarkan filem aksi Marvel. Mungkin boleh menonton The Fantastic Four: First Steps di mana-mana pawagam terdekat mulai 24 Julai.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE