
Tahukah anda bahawa Hari Arafah merupakan antara hari paling mulia dalam Islam? Ia jatuh pada 9 Zulhijjah dan bukan sahaja penting bagi jemaah haji, malah menjadi peluang keemasan untuk seluruh umat Islam melakukan refleksi diri dan memperbanyakkan doa. Ketika kita bersedia menyambut Aidiladha, jangan lepaskan kesempatan yang penuh keberkatan ini.
Namun, ramai umat Islam di Malaysia tertanya-tanya: “Bila sebenarnya waktu paling mustajab untuk berdoa pada Hari Arafah? Ikut waktu Malaysia ke atau waktu Makkah?”
Fahami Konteks Hari Arafah
Hari Arafah merujuk kepada hari di mana jemaah haji berhimpun di Padang Arafah dari waktu Zohor hingga Maghrib pada 9 Zulhijjah, mengikut waktu tempatan Makkah. Bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, kita digalakkan untuk berpuasa dan memperbanyakkan doa, zikir dan amalan soleh sepanjang hari tersebut.
Ikut Waktu Mana Untuk Doa Mustajab?
Berikut merupakan penjelasan daripada penceramah, mutawif dan penulis, Ustazah Siti Aminah Sulieman mengenai hal itu.
Waktu mustajab doa yang paling utama ketika musim haji ialah:
Hari Arafah sendiri adalah antara hari paling mustajab untuk berdoa, walaupun seseorang itu tidak menunaikan haji.
Ini adalah waktu paling afdal untuk berdoa. Hal ini kerana Hari Arafah merujuk kepada waktu wukuf yang dilakukan jemaah haji. Maka, menghormati waktu tersebut dengan sama-sama berdoa juga adalah satu jalan ibadah.
Seeloknya, kita berdoa sahaja pada kedua-dua hari iaitu Khamis (waktu wukuf jemaah haji) dan Jumaat (hari Arafah tanah air).
“Kalau Khamis (5 Jun) tu lepas Asar (waktu sesuai berdoa) sebab jemaah berwukuf lepas Zohor waktu sana.
“Jumaat full day sebab Jumaat memang tarikh 9 Zulhijah bersamaan Hari Arafah. Dan jangan lupa Jumaat malam Sabtu malam Aidiladha, mustajab juga doanya,” tulisnya di aplikasi TikTok.
Pesan Ustazah Siti Aminah lagi, sebaik-baiknya jangan pilih satu hari sahaja kerana kedua-dua hari ada barakahnya yang tersendiri.
Bagi para jemaah haji, Hari Arafah adalah saat mereka berhimpun di Padang Arafah, melengkapkan salah satu rukun penting dalam ibadah haji. Namun bagi kita yang berada di tanah air, Hari Arafah tetap membawa keberkatan yang besar. Menurut hadis sahih, berpuasa pada hari ini menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
Waktu mustajab doa Hari Arafah memang merujuk kepada waktu wukuf jemaah haji di Arafah iaitu mengikut waktu Makkah. Bagi umat Islam di Malaysia, peruntukkan masa pada waktu senja hingga malam untuk berdoa dengan lebih fokus. Rebutlah peluang setahun sekali ini sebaik mungkin. Jangan biarkan kekeliruan waktu menghalang kita daripada meraih rahmat Allah SWT yang luas.
Semoga segala hajat dan doa kita dimakbulkan, dan Aidiladha tahun ini menjadi lebih bermakna.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.