Dikenali sebagai ikon wanita moden dan usahawan berjaya, Datin Vivy Yusof mengejutkan ramai apabila mendedahkan bahawa beliau kini berdepan ujian kesihatan yang berat iaitu hidap penyakit autoimun lupus, atau nama perubatannya Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
Berita itu dikongsikan sendiri oleh Vivy menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, di mana beliau menceritakan bagaimana tubuhnya mula memberi ‘isyarat’ yang tidak mampu lagi diabaikan.
“Saya bersyukur akhirnya dapat diagnosis, jadi saya tahu bagaimana untuk rawatnya. Tapi saya masih terus mencari rawatan jangka panjang yang bukan berasaskan steroid,” jelasnya.
Penyakit Senyap
Lupus merupakan penyakit bersifat kronik dan seumur hidup. Ia boleh menyerang pelbagai organ dalaman termasuk kulit, sendi, buah pinggang dan sistem saraf tanpa disedari. Malah, nama “lupus” sendiri yang membawa maksud serigala menggambarkan betapa ‘menakutkan’ sifat penyakit ini.
Simptom-simptomnya sering disalah anggap sebagai perkara biasa seperti keletihan, ruam, dan sakit sendi. Namun, bagi Vivy, isyarat tubuh yang berterusan telah mendorongnya untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Ads
“Ianya mengoyakkan tubuh dari dalam tanpa disedari,” ujar beliau penuh emosi.
Dalam perkongsiannya, Vivy meluahkan rasa syukur kerana penyakit ini dikenal pasti pada peringkat yang masih terkawal. Ini membolehkan beliau mendapatkan rawatan awal termasuk alternatif yang tidak bergantung kepada steroid iaitu sejenis ubat yang lazim digunakan untuk merawat lupus tetapi boleh memberi kesan jangka panjang jika diambil berterusan.
Stres: Punca Yang Tak Dijangka
Antara perkara paling menyentuh hati dalam perkongsian tersebut ialah kesedaran Vivy terhadap peranan tekanan emosi dalam mencetuskan penyakit ini.
“Stres adalah musuh paling besar,” tegasnya.
Sebagai usahawan yang mengendalikan empayar perniagaan, Vivy mengakui bahawa selama ini beliau menyangka dirinya berjaya menguruskan stres dengan baik. Namun, hakikatnya, tubuhnya telah mula ‘mengalah’ dari dalam.
Ads
“Saya sangka saya dapat kawal stres dengan baik sebagai seorang usahawan, saya jarang sakit dan sentiasa bersikap optimis. Tapi saya tak tahu badan saya sebenarnya give up dari dalam,” luahnya jujur.
Walaupun lupus merupakan penyakit sepanjang hayat, Vivy reda dengan hakikat itu. Baginya, menerima kenyataan adalah langkah pertama ke arah pemulihan mental dan emosi.
Bagi remaja yang sibuk mengejar cita-cita, kisah Vivy menjadi peringatan bahawa kesihatan dalaman adalah keutamaan tidak kira betapa ‘baik’ kita rasa luaran kita nampak.
Remaja Kata: Penyakit lupus mungkin tidak kelihatan pada zahir, tetapi kesannya boleh menghancurkan perlahan-lahan dari dalam. Mari ambil iktibar dari kisah Vivy bahawa kesihatan mental dan fizikal bukan sesuatu yang boleh dikompromi. Sayangi diri, urus stres dengan bijak dan jangan takut untuk mendapatkan bantuan jika perlu.
PENAMPILAN memukau Miss Grand Malaysia 2025, Viviana Lin Winston mencuri perhatian ramai apabila beliau tampil dengan kostum kebangsaan bertemakan Ratu Terabai Iban sempena segmen Kostum Kebangsaan di pertandingan Miss Grand International 2025, Isnin lalu.
Kostum yang direka khas oleh pereka tempatan terkenal, Raja bukan sekadar menonjolkan keindahan seni masyarakat Iban tetapi mengangkat semangat juang, kebijaksanaan dan kekuatan wanita dalam budaya tersebut. Ia adalah gabungan sempurna antara keindahan tradisi dan simbol keberanian seorang pahlawan wanita.
Simbol Kekuatan Wanita Iban
Menerusi hantaran di Instagram, Viviana menjelaskan bahawa konsep Ratu Terabai Iban melambangkan sosok pemimpin wanita yang bukan hanya gagah di medan perang, tetapi juga menjadi pelindung warisan, tradisi dan semangat komuniti.
“Ratu Terabai Iban bukan sekadar seorang pahlawan, tetapi pelindung warisan, seorang pemimpin yang menjadikan terabai (perisai) sebagai simbol kekuatan dalam menjaga rakyat, tradisi dan semangat bangsanya. Beliau mewakili keharmonian sempurna antara kelembutan wanita dan kekuatan seorang penjaga medan perang,” ujar Viviana.
Konsep yang diketengahkan Viviana ini memperlihatkan bagaimana tradisi dan kepimpinan moden mampu wujud seiring. Ia juga membawa mesej penting bahawa wanita hari ini boleh berdiri sebagai pelindung dan pemimpin tanpa perlu mengetepikan sifat lembut dan berhemah yang ada dalam diri mereka.
Kostum Ratu Terabai Iban menyerlah dengan dominasi warna perak dan putih, melambangkan keteguhan serta kemurnian hati seorang pemimpin. Setiap perincian logam dan manik halus diolah dengan teliti, memberi simbolik kepada ketabahan dan kemegahan seorang pahlawan wanita.
Pada bahagian kepala, Viviana mengenakan tanjak besar berukir motif flora yang dihiasi kristal berkilau – mencipta aura diraja yang memukau setiap mata yang memandang. Bahagian tubuh pula disarung dengan fabrik bertekstur dan hiasan berjuntai, diinspirasikan daripada pakaian tradisional masyarakat Iban namun diberi sentuhan moden yang mewah dan elegan.
Aksesori utama berupa terabai (perisai) menjadi elemen paling penting dalam penampilan ini — simbol kekuatan, keberanian dan maruah bangsa Iban yang kini diangkat ke pentas antarabangsa.
Konsep Ratu Terabai Iban turut diinspirasikan daripada peranan Indu Ketua, iaitu wanita pemimpin dalam komuniti Iban yang memainkan peranan penting dalam membuat keputusan dan memelihara keharmonian masyarakat.
Dalam konteks moden, Viviana membawa semangat Indu Ketua ini ke pentas dunia — sebagai lambang kepimpinan wanita yang progresif, bijaksana dan berani menonjolkan identiti budaya sendiri.
Kekuatan Dalam Keindahan
Penampilan Viviana bukan sahaja meraikan keunikan seni dan budaya etnik Iban, tetapi turut menyampaikan mesej pemberdayaan wanita melalui warisan — bahawa kekuatan, keindahan dan kepimpinan boleh berpadu dalam satu identiti yang megah.
Ratu Terabai Iban bukan sekadar busana, ia adalah cerita tentang wanita Iban yang tabah, lembut namun berjiwa besar. Satu penghormatan buat pahlawan wanita masa lalu dan inspirasi buat generasi remaja hari ini untuk terus berani menjadi diri sendiri.
Baru-baru ini, bersempena ulang tahun ke-21 kedai runcit barangan rumah mampu milik terkemuka di Malaysia membuka cawangan baru yang ke-300 di NU Sentral, Kuala Lumpur.
Cawangan terbaru yang terletak di pusat membeli belah di tengah bandar itu mengetengahkan konsep Eco-Plus yang memberi pengalaman membeli belah terbaik sambil mengekalkan komitmen terhadap menyediakan barangan mampu milik.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Eco-Shop Malaysia, Jessica Ng berkata, ini merupakan cawangan ketiga Eco-Plus selepas konsep berkenaan mendapat sambutan menggalakkan di lokasi lain.
“Konsep ini direka untuk menawarkan masyarakat di kawasan bandar membuat pembelian barangan rumah, peralatan dapur, produk penjagaan diri dan makanan pada harga tetap bermula dari RM2.40, RM6 dan RM10.”
“Pembukaan cawangan ke-300 ini memberi makna yang amat bermakna kepada kami. Ia membuktikan kepercayaan dan sokongan rakyat Malaysia yang telah menerima Eco-Shop sebagai sumber keperluan mampu milik mereka dalam ekonomi yang mencabar ini,” katanya semasa majlis perasmian Eco-Plus NU Sentral pada 10 Oktober, semalam.
Ujarnya lagi, peningkatan kos sara hidup telah menjejaskan kuasa pembelian keluarga dan individu, namun syarikat Eco-Shop kekal komited untuk meringankan beban dengan menawarkan produk yang boleh didapati pada harga mampu milik untuk setiap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, fakta menarik mengenai Eco-Plus cawangan NU Sentral, Jessica berkata, kedai itu memiliki keluasan lebih 1,300 meter persegi dilengkapi dengan kaunter pembayaran sendiri.
“Dengan kaedah pembayaran sedemikian, ia amat sesuai untuk penduduk bandar yang mengutamakan proses pembelian pantas dan cekap,” tambahnya.
Selain itu, Eco-Plus turut menawarkan lebih 10,000 produk dan pembeli boleh mendapatkan segala yang diperlukan seperti makanan, kelengkapan cucian, alat tulis, penjagaan haiwan peliharaan dan sebagainya hanya di cawangan berkenaan.
Sehubungan itu, mengulas mengenai perancangan syarikat pada masa hadapan, Jessica memaklumkan bahawa pihaknya memiliki perancangan untuk mengembangkan jenama kepada lebih banyak komuniti di seluruh negara.
Akhir sekali, pelanggan juga boleh memuat turun aplikasi Eco-Shop untuk menikmati ganjaran dan faedah yang bakal meningkatkan pengalaman membeli-belah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pernah rasa ketinggalan dalam pelajaran sampai hampir putus asa? Atau rasa macam tak mampu nak kejar kawan-kawan yang lain? Jangan cepat menyerah, sebab Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah berada di tempat yang sama.
Tokoh negarawan yang terkenal dengan ketegasan dan wawasan itu baru-baru ini berkongsi kisah zaman persekolahannya dan ternyata, kejayaan beliau bukan datang bergolek, tapi hasil daripada usaha luar biasa yang konsisten.
Ulang Kaji Sampai Faham, Bukan Sampai Penat
Masa menyambung pengajian dalam bidang perubatan, Tun M mengakui bahawa tahap kelulusannya tak setanding rakan sekelas. Tapi beliau tak terus putus asa.
“Saya perlu kejar mereka. Jadi, saya ambil pendekatan belajar bersungguh-sungguh. Buku teks saya ulang baca berkali-kali. Bukan untuk hafal, tapi bila dibaca berulang, kita lebih faham,” jelasnya.
Beliau percaya bahawa pembelajaran yang berkesan datang daripada pemahaman mendalam, bukan sekadar hafalan. Dan cara terbaik untuk capai tahap tu adalah dengan mengulang bahan bacaan banyak kali.
Ilmu Itu Macam Wajah Kawan
Analogi paling menarik yang dikongsi oleh Tun M:
“Macam kenal wajah kawan, bukan sebab hafal pun, tapi sebab selalu tengok. Ilmu pun macam itu. Kalau ulang baca, lama-lama kita nampak dan faham.”
Simple tapi powerful. Bila kita ulang-ulang tengok nota atau topik yang sama, kita akan mula nampak ‘pola’ dan kaitannya. Secara tak langsung, kita akan ingat dan faham tanpa perlu paksa diri.
Belajar Bukan Sekali, Tapi Konsisten
Tun M juga tekankan pentingnya latihan dan konsistensi. Beliau ambil contoh seni ukiran, pada awalnya hasil mungkin tak memuaskan, tapi dengan latihan berulang, mutu akan meningkat.
Sama juga dengan pelajaran. Mungkin kita takkan terus pandai lepas satu malam ulang kaji. Tapi bila buat hari-hari, sedikit demi sedikit, kita akan nampak perubahan.
Baca Lebih Daripada Buku Teks
Satu lagi nasihat bernas dari Tun M ialah dengan luaskan bahan bacaan. Jangan hanya bergantung pada buku teks. Bacalah artikel, jurnal, buku umum, biografi dan apa saja yang boleh tambah ilmu dan buka minda.
“Kalau jumpa seseorang sekali, mungkin tak ingat. Tapi kalau selalu jumpa, bunyi batuk dia pun kita kenal,” katanya bersahaja.
Begitulah juga dengan ilmu. Bila selalu ‘bertemu’, ia akan mula melekat.
Jangan Pernah Putus Harapan
“Kalau tertinggal dalam pelajaran, jangan putus harapan. Terus ulang kaji dan gandakan usaha,” – Tun Dr. Mahathir.
Tiada kejayaan tanpa cabaran. Kalau kamu rasa kamu jauh ke belakang, itu bukan noktah. Ia cuma tanda kamu perlu mula kejar balik dengan lebih gigih.
Ingat, ramai tokoh hebat bermula dari bawah. Apa yang membezakan mereka dengan orang lain adalah mereka tak pernah berhenti cuba.
Khairul Aming Ramadan sekali lagi mencuri perhatian apabila sanggup merakam video 30 hari 30 resipi selama hampir 14 jam walaupun sibuk mengurus restoran Rembayung.