Peminat V BTS Sumbang US$20,000! Wujudkan ‘V Bench’ Di Central Park, New York

Share

Terbaru, pengaruh bintang terkenal, V BTS, terus melangkaui dunia muzik apabila peminatnya sekali lagi membuktikan sokongan mereka melalui inisiatif kebajikan yang bermakna. Apabila berjaya mengumpul dana sebanyak USD 20,000 (RM 81,160) bagi memasang bangku khas yang dinamakan sebagai ‘V Bench’ di Central Park, New York.

Difahamkan, inisiatif tersebut diadakan bersempena sambutan hari jadi V atau pemilik nama sebenar Kim Taehyung (30) yang bakal disambut pada 30 Disember ini. Hal ini turut mencatat sejarah peribadi buat penyanyi itu kerana merupakan sambutan hari jadinya yang pertama selepas tamat latihan khidmat tentera, sekaligus menjadikan projek ini lebih signifikan buat para peminat.

Dalam pada itu, projek kebajikan ini digerakkan oleh THV Girls & Boys Give iaitu sebuah organisasi amal yang diasaskan oleh peminat V di Amerika Syarikat dan kumpulan ini sememangnya dikenali aktif menyokong pelbagai inisiatif kebajikan sebagai tanda penghargaan terhadap nilai positif yang sering dibawa oleh pelantun lagu ‘Slow Dancing’ dan ‘Love Me Again’ itu.

Lebih menarik lagi, Central Park yang terletak di Manhattan merupakan antara mercu tanda paling ikonik di bandar New York dan menerima kira-kira 25 juta pengunjung setiap tahun. Bangku khas tersebut ditempatkan berhampiran tasik buatan berdekatan Davis Center, sebuah fasiliti baru yang siap dibangunkan pada Mei lalu, sekaligus menawarkan suasana yang tenang serta pemandangan indah kepada pengunjung.

“Di tengah-tengah kota New York, Central Park kini mempunyai sebuah bangku yang didedikasikan khas untuk Kim Tae Hyung. Ia merupakan sebuah ruang yang tenang di mana para peminat dan pengunjung dapat merasai kehadirannya yang kekal, saling berhubung serta mengimbau kembali kenangan yang dikongsi bersama,” tulisnya.

Di samping itu, pemasangan ‘V Bench’ ini dilaksanakan menerusi program Adopt-A-Bench yang diperkenalkan oleh Central Park. Program tersebut memberi peluang kepada individu, keluarga atau organisasi untuk menderma dan meletakkan plak peribadi pada bangku terpilih di taman berkenaan, dengan segala sumbangan diuruskan oleh Central Park Conservancy.

Plak yang diukir secara khas ini hanya akan dipasang pada bangku yang tersedia dan akan dipelihara secara kekal dalam kawasan Central Park. Menurut pihak Central Park Conservancy, penyertaan dalam program ini turut membantu penyelenggaraan lebih 10,000 buah bangku di taman tersebut.

Sementara itu, inisiatif ini sekali lagi mencerminkan bagaimana pengaruh seorang selebriti mampu menggerakkan peminat untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan legasi positif. Bagi peminat BTS khususnya ARMY, ‘V Bench’ bukan sekadar simbol penghargaan, tetapi juga ruang refleksi yang menghubungkan seni, kenangan dan nilai kemanusiaan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE