
Bintang K-Pop terkenal, V BTS sekali lagi membuktikan statusnya sebagai ikon fesyen global apabila menjadi tumpuan di pertunjukan Celine Spring/Summer 2026 yang berlangsung pada 5 Oktober lalu di Parc de Saint-Cloud, Paris.
V atau pemilik nama sebenar Kim Taehyung (30) yang hadir sebagai duta global Celine, telah mencuri perhatian dengan gaya fesyen yang tajam serta karisma semula jadi sehingga majalah ternama Perancis ‘Paris Match’ turut menulis artikel istimewa mengenai kehadirannya yang menekankan impak besar yang ditinggalkan beliau sepanjang dua hari berada di Paris.
Menerusi sebuah penulisan berjudul ‘The Korean artist who looked the most Parisian at the Celine show’, Paris Match menyifatkan pelantun lagu ‘Winter Bear’ itu berjaya menyerlahkan mood Parisian yang sempurna dengan gaya yang refined, elegan kasual, pandangan yang memikat serta sentuhan dandy chic.
Paris Match turut menggambarkan penampilannya di barisan hadapan pertunjukan Celine berbunyi,
“V hadir dengan sut coklat yang ditempah khas dipadankan dengan tali leher bercorak harimau bintang, mencipta gaya witty namun sophisticated. Beliau tampil selesa bergaul dengan selebriti antarabangsa, termasuk Uma Thurman, dan segera menjadi pusat perhatian apabila ramai tetamu berebut untuk bergambar bersamanya,” tulisnya.
Lebih menarik, Paris Match turut menobatkan V BTS sebagai ‘Muse Celine’ dan wajah rasmi jenama itu.
“Bahkan sebelum menjalani latihan ketenteraan, V sudah aktif dalam dunia fesyen, beliau secara peribadi dijemput oleh Anna Wintour untuk menghadiri Vogue World beberapa bulan lalu,” jelas Paris Match.
Dengan karisma yang memukau dan pilihan fesyen yang berani, V BTS diyakini memiliki semua kualiti untuk meninggalkan jejak kekal dalam dunia fesyen antarabangsa. Sama ada siluet androgynous atau sut klasik, setiap stail yang dipilihnya mencerminkan keberanian dalam ekspresi diri.
Selain itu, keserasian V BTS bersama hala tuju kreatif Celine, baik yang lama mahupun yang baru juga meraih pujian. “Ketika diumumkan sebagai duta global, beliau seiring dengan visi rock-inspired Hedi Slimane, dan kini, dengan kemunculan Michael Rider sebagai pereka baharu, sinergi lebih menarik dijangka berlaku,” ujarnya dalam penulisan yang sama.
BACA: RM BTS Sumbang 200 Juta Won Kepada 2 Hospital Sempena Ulang Tahun Kelahiran Ke-31
Intihanya, tidak keterlaluan jika peminat mengatakan bahawa V BTS kini berdiri sebagai salah seorang selebriti Asia paling berpengaruh dalam fesyen dunia. Aura serta personalitinya menjadikan beliau bukan sekadar wajah kepada jenama mewah, malah simbol keberanian dan evolusi gaya fesyen masa kini.
Dengan pengiktirafan sebagai Muse Celine, V BTS terus membuktikan bahawa pengaruhnya bukan sekadar dalam muzik, tetapi juga dalam membentuk trend fesyen global yang elegan dan berkelas tinggi.
Dalam perkembangan lain, BTS dikhabarkan sedang dalam persiapan untuk melancarkan album penuh yang dijadualkan pada separuh pertama tahun hadapan, sekaligus menambah keterujaan peminat khususnya BTS ARMY terhadap perjalanan muzik kumpulan tersebut.