
Penyanyi terkenal K-Pop, V BTS baru-baru ini mencuri perhatian selepas mendedahkan bahawa beliau mengalami masalah pendengaran sejak lebih dua tahun lalu. Perkara itu dikongsikan sendiri oleh anggota kumpulan popular Korea Selatan berkenaan ketika berinteraksi dengan peminat.
Menerusi sebuah siaran langsung di Weverse, V atau nama sebenarnya Kim Taehyung (31) berkata, masalah tersebut menyebabkan tahap pendengarannya pada sebelah telinga jauh lebih lemah berbanding sebelah lagi. Menurutnya, keadaan itu sudah berlaku kira-kira dua setengah tahun dan semakin ketara sejak kebelakangan ini.
“Saya tak pernah beritahu ARMY mengenai perkara ini sebelum ini, tetapi saya rasa ia sudah berlaku kira-kira dua setengah tahun. Pendengaran saya semakin teruk,” katanya.
Memberikan gambaran mengenai perbezaan tahap pendengarannya, V menjelaskan bahawa kemampuan mendengar pada sebelah telinganya kini jauh lebih rendah berbanding sebelah lagi.
“Kalau sebelah telinga saya boleh mendengar sekitar 100, sebelah lagi saya hanya boleh mendengar kira-kira 30,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, V memaklumkan keadaan berkenaan turut menjadi lebih teruk ketika beliau menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib di Korea Selatan. Bagaimanapun, beliau mengakui pada awalnya tidak menganggap masalah tersebut sebagai sesuatu yang serius.
BACA: V BTS Pecah Rekod, Jadi Selebriti Lelaki Korea Pertama Capai 75 Juta Pengikut Di Instagram
Menurut V, pandangan orang di sekeliling ketika berada dalam perkhidmatan ketenteraan sedikit sebanyak mempengaruhi cara dirinya melihat masalah berkenaan. Sebelum ini, beliau menganggap kesukaran tersebut mungkin boleh diatasi dengan kekuatan mental, sebelum menyedari bahawa keadaan itu memerlukan perhatian perubatan.
Pada masa yang sama, Jungkook yang turut berada bersamanya dalam sesi siaran langsung berkenaan kemudian mengingatkan V mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Susulan itu, V berkata beliau kini mengambil ubat serta mendapatkan rawatan perubatan secara berkala bagi memantau keadaan pendengarannya.
Untuk info, pendedahan tersebut menjadi kali pertama V berkongsi secara terbuka mengenai masalah pendengaran yang dialaminya kepada ARMY. Selain itu, perkongsian berkenaan turut mengingatkan peminat mengenai kepentingan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan apabila berdepan sebarang perubahan terhadap tahap kesihatan.
Sumber: Weverse
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.