
Kehadiran bintang K-Pop terkenal, V BTS di Paris Fashion Week sebagai duta rasmi jenama mewah, Celine baru-baru ini telah mencetuskan fenomena besar dalam industri apabila pengaruhnya telah membantu jenama berkenaan mencatat peningkatan keuntungan sebanyak 591% sekaligus membuktikan dirinya sebagai ikon fesyen sejati.
Memetik laporan Business-news, keputusan Celine melantik V atau nama sebenarnya Kim Taehyung (30) sebagai duta global telah mengubah landskap jenama itu di mana dalam masa setahun sahaja, Celine Korea menyaksikan lonjakan keuntungan daripada sekitar 2.5 bilion Korea Won (sekitar RM8 juta) kepada 17 bilion Korea Won (sekitar RM50 juta). Menjelang akhir 2024, hasil syarikat itu mencecah lebih 307 bilion Korea Won atau kira-kira RM913 juta dan lonjakan besar ini meletakkan Celine di hadapan jenama mewah lain seperti Louis Vuitton, Chanel dan lain-lain.
BACA: Paris Match Nobatkan V BTS Sebagai ‘Muse Celine’ Dunia Fesyen
Menurut pakar industri menjelaskan, faktor utama kejayaan ini jelas berpunca daripada aura dan pengaruh V. Populariti beliau yang luar biasa serta sokongan ‘fanbase’ secara global menjadi pemacu kepada peningkatan jualan jenama itu.
Berbeza dengan kebanyakan jenama mewah lain yang berdepan penurunan atau jualan mendatar, Celine berjaya melonjak hasil kerana kuasa bintang V. Malah, para peminat (BTS ARMY) turut menyifatkan dirinya sebagai ‘Sold out king’ dan ‘The real impact’.
BACA: RM BTS Sumbang 200 Juta Won Kepada 2 Hospital Sempena Ulang Tahun Kelahiran Ke-31
Dalam pada itu, mengimbau kembali perjalanan pelantun lagu ‘Slow Dancing’ itu ke Paris Fashion Week juga menjadi momen paling tular kerana sejak ketibaannya, setiap langkah beliau diikuti oleh peminat setia. Malah restoran tempat beliau menikmati pistachio croissant terus menjadi lokasi tumpuan yang wajib dikunjungi peminat sehingga hari ini.
Tidak cukup dengan itu, satu tarian spontan yang dilakukan V turut menjadi tular di media sosial. Begitu juga dengan anak patung jenama popular Pop Mart, iaitu Hirono yang tergantung pada begnya juga mencetuskan fenomena jualan segera apabila stok habis dalam sekelip mata.
Sementara itu, penampilan beliau yang unik dan penuh gaya pada acara berprestij tersebut berjaya mengangkat nama jenama Celine ke tahap berbeza. Dari barisan hadapan pentas hingga ke jalanan Paris, aura selebriti ini menjadi topik hangat media antarabangsa.
Fenomena yang dicetuskan oleh V menunjukkan bagaimana satu individu mampu mengubah hala tuju dan prestasi sebuah jenama mewah. Kuasa personaliti dan bintang yang dimiliki V bukan sahaja memberi keuntungan besar kepada Celine, malah mengukuhkan kedudukannya dalam peta fesyen dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.