Pengacara dan pelakon berbakat, Uyaina Arshad mencuri perhatian ramai apabila mengumumkan dirinya kini sedang hamil anak ketiga. Berita gembira itu didedahkan secara eksklusif menerusi satu video santai dan menghiburkan yang dimuat naik di TikTok miliknya.

Dalam video tersebut, Uyaina berseloroh bahawa azamnya untuk menguruskan badan pada tahun ini tidak menjadi kenyataan rupanya kerana dia sedang hamil tiga bulan. Dengan senyuman manis dan gaya penuh ceria, selebriti berusia 32 tahun itu mengumumkan bahawa kandungan terbarunya ini adalah ‘kejutan’ bukan sahaja untuk peminat, malah untuk dirinya dan suami.

“Sebenarnya saya simpan cerita ini dah lama dan berita ini eksklusif untuk netizen di luar sana. Ada sesuatu yang saya nak bagitahu yang sebenarnya saya sedang mengandung tiga bulan, surprise,” ujarnya.

“Bukan Setiap Tahun Saya Hamil, Tapi…”

Bekas pengacara rancangan Wanita Hari Ini ini turut berkongsi bahawa kehamilan terbarunya ini mungkin yang terakhir buat dirinya dan suami tercinta, Raja Syahiran. Walaupun tidak dirancang, kehadiran cahaya mata ketiga ini dianggap rezeki yang sangat disyukuri oleh pasangan ini.

“Bukanlah setiap tahun pun saya hamil cuma selang dua tahun saja. Anak pertama pada 2022, anak kedua pada 2024 dan insya-Allah anak ketiga ini akan lahir pada 2026,” katanya sambil berseloroh.

Tambah Uyaina, meskipun kehamilan kali ini tidak dirancang, ia adalah satu anugerah Tuhan yang sangat dihargai. Pasangan ini menerima ketentuan ini dengan penuh syukur dan rasa rendah hati.

Ucapan Tahniah

Sejurus selepas video itu dimuat naik, ruangan komen dibanjiri dengan ucapan tahniah serta doa daripada para peminat dan rakan-rakan selebriti. Ramai yang meluahkan rasa gembira serta kagum melihat ketenangan dan aura positif yang ditampilkan Uyaina, walaupun kini sedang melalui fasa awal kehamilan.

Untuk rekod, Uyaina Arshad atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad telah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon, Raja Syahiran Raja Azhanrianshah pada 21 Disember 2021. Hasil perkahwinan tersebut, mereka kini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan, 3, dan Raja Urayyan, 1 tahun.

Majalah Remaja mengucapkan tahniah buat Uyaina dan Raja Syahiran atas kehamilan ini. Semoga perjalanan sembilan bulan ini dipermudahkan dan anak yang bakal lahir menjadi penyejuk mata dan penyeri keluarga yang penuh kasih sayang.

Sumber: TikTok

BACA LAGI : ‘Ini Adalah Buli Siber’ – Uyaina Arshad Tak Lagi Berdiam Diri Jadi Bahan Kutukan

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.