
Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil langkah untuk tidak lagi membuat pengambilan pelajar antarabangsa bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda sejak dua tahun lalu, sekali gus memberi tumpuan sepenuhnya kepada akses pendidikan tinggi dalam kalangan Bumiputera.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, keputusan itu dibuat bagi memastikan peluang melanjutkan pengajian tinggi terus menjadi keutamaan, khususnya buat anak-anak daripada keluarga B40, masyarakat Orang Asli serta penduduk di Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, langkah berkenaan selari dengan prinsip UiTM yang mengekalkan kadar yuran pada tahap rendah bagi memastikan lebih ramai pelajar daripada golongan yang memerlukan dapat menikmati pendidikan tinggi.
“Langkah ini selari dengan prinsip UiTM yang mengekalkan kadar yuran terendah, bagi memastikan akses pendidikan tinggi dapat dilaksanakan secara berterusan terutamanya untuk golongan B40, yang perlu diberikan perhatian dan keutamaan.
“Meskipun tanpa penyertaan pelajar antarabangsa pada peringkat Sarjana Muda, UiTM kekal komited untuk melonjakkan kedudukannya daripada tangga ke-549 kepada kelompok 300 terbaik dunia, dalam penarafan QS World University Rankings,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas membentangkan Pelan Strategik UiTM2030 yang dilancarkan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Kamil Jamil di Anjung Seri Budiman, UiTM, hari ini.
Pelan Strategik UiTM2030 merupakan kerangka tindakan lima tahun yang dirangka bagi memperkukuh kecemerlangan akademik, kemampanan kewangan serta transformasi digital berimpak tinggi.
Pada masa sama, pelan tersebut turut memberi fokus kepada usaha melahirkan graduan Bumiputera yang mampu bersaing di peringkat global.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan universiti, Shahrin berkata UiTM menyasarkan 25 peratus penjanaan pendapatan kendiri menerusi pelbagai sektor dalam tempoh pelaksanaan UiTM2030.
Antaranya termasuk penawaran program pascasiswazah, persediaan profesional dan program pendidikan untuk pelajar dewasa menerusi Institute of Continuing Education and Profesional Studies (iCEPS), yang kini mempunyai kira-kira 13,000 pelajar.
UiTM juga memanfaatkan kaedah Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q), selain pembelajaran berasaskan kerja.
“Kita juga memanfaatkan kaedah Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu, bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q) dan pembelajaran berasaskan kerja dengan lebih 200 anggota tentera kini melanjutkan pengajian diploma dari tempat kerja, tanpa perlu berada di dalam kampus,” katanya.
Menurut Shahrin, langkah tersebut menjadi sebahagian daripada strategi universiti untuk meneroka sumber kewangan baharu secara mampan, selain mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan.
Ketika ini, UiTM menjana kira-kira RM400 juta setahun menerusi aktiviti seperti sewaan, perundingan dan kursus khas.
Dalam perkembangan sama, UiTM turut bersedia memasuki fasa baharu transformasi digital apabila komponen kecerdasan buatan (AI) akan diterapkan dalam semua mata pelajaran di setiap fakulti, termasuk kampus cawangan di seluruh negara.
Inisiatif tersebut dijangka bermula pada Oktober ini dan tidak akan melibatkan penawaran subjek AI secara khusus.
Sebaliknya, elemen AI akan disepadukan terus ke dalam kurikulum sedia ada bagi memastikan semua pelajar mendapat asas berkaitan teknologi berkenaan.
“Kita mahu memastikan semua mata pelajaran dilengkapi komponen AI dan dibangunkan secara langsung dalam kurikulum sedia ada, supaya asas AI dapat dikuasai oleh semua pelajar UiTM sebelum mereka dibawa ke tahap yang lebih tinggi.
“Dari segi sumber, kita mempunyai kepakaran sedia ada. Pelaburan akan diberi keutamaan kepada peningkatan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain memanfaatkan AI secara meluas dalam pengajaran, penyelidikan dan pentadbiran,” katanya.
Langkah ini dilihat sebagai antara usaha UiTM memastikan para pelajarnya bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, malah turut bersedia berdepan perubahan teknologi serta keperluan dunia pekerjaan yang semakin berkembang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.