Berita

Kerajaan Selaras Umur Kemasukan Sekolah Bermula 2027: Prasekolah 5 Tahun, Darjah Satu 6 Tahun

Share

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala kemasukan ke Darjah Satu pula ditetapkan pada usia enam tahun bermula tahun 2027.

Memetik laporan Sinar Harian, pengumuman tersebut dibuat ketika beliau berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 pada Selasa. Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar menjelaskan bahawa perubahan itu masih belum diwajibkan kepada ibu bapa serta ia akan mengambil kira tahap kesediaan kanak-kanak yang berbeza-beza.

“Maknanya tahun 2027 kita belum bersedia mewajibkan kerana mungkin ada ibu bapa yang masih merasakan anak-anak belum bersedia,” katanya.

Darjah Satu Akan Bermula Pada Umur 6 Tahun

“Kita tetapkan masih boleh anak-anak yang berusia tujuh tahun untuk masuk Darjah Satu tetapi sangat digalakkan ibu bapa bersedia dari sekarang supaya anak-anak berumur lima tahun sudah masuk prasekolah dan Darjah Satu umur enam tahun,” jelasnya.

Menurut Datuk Seri Anwar, keputusan tersebut dibuat selari dengan peredaran masa serta tuntutan semasa yang memerlukan sistem pendidikan negara bergerak lebih ke hadapan. Selain itu, kanak-kanak pada hari ini dilihat lebih cepat matang dan berupaya membezakan sesuatu perkara seawal usia lima tahun berbanding generasi terdahulu.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan akan memberi tumpuan secara menyeluruh kepada sistem prasekolah serta meminta Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengambil alih bagi menyelaras pelaksanaannya.

Prasekolah Akan Bermula Pada Umur 5 Tahun

Di samping itu, beliau turut memberi jaminan bahawa segala persiapan berkaitan pelaksanaan dasar berkenaan akan dipercepatkan.

Sementara itu, beliau telah mengarahkan supaya segala perkara yang diumumkan itu disusuli dengan tindakan pantas oleh kementerian terlibat bagi memastikan kemudahan asas ditambah dan diperkukuhkan.

Sumber artikel: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE