Berita

UPSR dan PT3 Bakal Dikaji Semula? Pendedahan Penting KPM Yang Buat Ibu Bapa Lega

Share

UPSR dan PT3 Kembali Jadi Perhatian KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang mengkaji pelaksanaan semula UPSR dan PT3 susulan permintaan berterusan daripada ibu bapa di seluruh negara. Isu ini kembali menjadi perhatian ramai selepas sistem peperiksaan berpusat dimansuhkan dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa sebarang keputusan berkaitan perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut selepas kajian menyeluruh dijalankan oleh pihak berkaitan.

Bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek

Permintaan Ibu Bapa Terus Dibangkitkan

Menurut Fadhlina, isu peperiksaan masih menjadi antara topik utama yang sering dibangkitkan masyarakat, terutamanya oleh ibu bapa yang mahu penilaian akademik anak-anak dibuat secara lebih jelas dan seragam.

“Tadi saya juga sebut tentang bagaimana kita akan mengkaji semula soal peperiksaan itu kerana itu yang masih lagi menjadi permintaan ibu bapa,” katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026.

Kenyataan tersebut sekali gus menunjukkan kerajaan mengambil maklum kebimbangan orang ramai terhadap sistem pentaksiran sedia ada yang dilaksanakan ketika ini, termasuk keberkesanan penilaian tanpa peperiksaan berpusat.

Foto: Kosmo

MPPK Diaktifkan Semula Untuk Kajian Menyeluruh

Kajian berhubung pelaksanaan semula UPSR dan PT3 akan dilaksanakan oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diaktifkan semula pada tahun ini.

Menurut Fadhlina, majlis berkenaan akan meneliti semua isu berkaitan peperiksaan yang menjadi polemik dalam masyarakat, termasuk pandangan pakar, pendidik dan ibu bapa.

“Apa sahaja peperiksaan yang disebut, sama ada UPSR dan PT3 atau isu lain berkaitan penilaian pelajar, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad akan memberikan perincian dan pandangan sebelum dibincangkan oleh ahli majlis penasihat,” jelasnya.

UPSR & PT3 Dimansuhkan Ketika Pandemik Covid-19

Untuk rekod, peperiksaan UPSR dimansuhkan pada tahun 2021 ketika negara berdepan pandemik Covid-19. PT3 pula dibatalkan pada tahun sama sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022.

Kedua-dua peperiksaan ini kemudiannya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang memberi fokus kepada penilaian berterusan.

Namun selepas hampir tiga tahun pelaksanaannya, pelbagai pihak mula menyuarakan kebimbangan terhadap keberkesanan sistem baharu tersebut.

Pakar Pendidikan Pertikai Keberkesanan PBD

Antara individu yang konsisten menyokong pengembalian UPSR dan PT3 ialah Pakar Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad.

Beliau berpandangan bahawa pelaksanaan PBD sejak tujuh tahun lalu tidak mencapai tahap keberkesanan yang diharapkan dan kurang ketelusan dalam pelaporan pencapaian pelajar.

Malah, menurut beliau, tiada laporan rasmi peringkat kebangsaan pernah dikeluarkan bagi menilai secara menyeluruh keberkesanan sistem PBD sejak ia diperkenalkan.

Kesan Kepada Pelajar Luar Bandar & B40

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bahawa pemansuhan UPSR telah menyebabkan penurunan ketara pencapaian murid dalam Ujian Kemasukan ke MRSM.

Penurunan ini dilihat lebih ketara dalam kalangan pelajar luar bandar dan murid daripada keluarga berpendapatan rendah, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap jurang pencapaian pendidikan.

Keputusan Akan Dibawa Ke Jemaah Menteri

KPM menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan UPSR dan PT3 tidak akan dibuat secara tergesa-gesa.

Hasil kajian menyeluruh oleh MPPK akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang ketetapan dimuktamadkan, bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal seimbang antara akademik dan pembangunan holistik pelajar.

Sumber : Sinar Harian 

Published by
Nana