
Baru-baru ini, penyanyi rap terkenal, Mark Lee kembali mencuri perhatian para peminat apabila mengumumkan penubuhan label dan agensinya sendiri yang dikenali sebagai Upper Room. Langkah tersebut sekaligus menandakan permulaan baru dalam perjalanan seni penyanyi kelahiran Kanada itu selepas lebih sedekad bergiat aktif dalam industri hiburan Korea Selatan.
Menerusi sebuah kenyataan rasmi yang dikongsikan oleh Upper Room di media sosial, syarikat berkenaan bakal menjadi platform utama untuk Mark mengembangkan muzik, visi kreatif serta pelbagai projek yang ingin diterokainya pada masa hadapan. Pelancaran itu turut disifatkan sebagai pembukaan lembaran baharu dalam kerjaya beliau sebagai artis.
Untuk info, Upper Room bukan sekadar jenama syarikat semata-mata, malah mempunyai makna yang dekat dengan pegangan peribadi penyanyi berusia 27 tahun itu. Nama tersebut dipercayai diinspirasikan daripada kisah dalam ‘Bible’ yang merujuk kepada bilik tempat berlangsungnya Perjamuan Terakhir, selain mempunyai kaitan dengan nama Mark sendiri.
Pelancaran rasmi Upper Room juga disertakan dengan sebuah video pendek yang memaparkan elemen simbolik berkaitan kepercayaan dan identiti peribadi Mark. Perkongsian itu segera mendapat perhatian peminat yang menyifatkan penubuhan syarikat berkenaan sebagai langkah berani untuk mengembangkan kariernya secara lebih bebas dan kreatif.
Pada masa yang sama, Mark turut berkongsi pandangannya mengenai maksud di sebalik Upper Room yang dianggap sebagai ruang permulaan kepada pelbagai impian dan perancangannya pada masa akan datang.
“Pada pandangan saya, Upper Room; tempat yang telah dipersiapkan ini menyimpan sesuatu yang melangkaui bentuk fizikalnya. Satu kesediaan yang tenang, saat yang seakan-akan tergantung tepat sebelum segala-galanya bermula,” katanya.
Beliau turut menggambarkan suasana tersebut sebagai sesuatu yang penuh makna dan menanti detik yang tepat untuk direalisasikan.
“Ada satu kehadiran di dalamnya. Tidak lantang, tetapi tidak dapat dinafikan. Satu ketenangan yang terasa hampir suci, seolah-olah ia telah lama menunggu, jauh sebelum ketibaan seseorang,” jelasnya lagi.
BACA: Mark Lee Keluar NCT Selepas 10 Tahun, Tinggalkan Surat Istimewa Buat Peminat
Menurut rekod pendaftaran perniagaan, syarikat Upper Room telah didaftarkan secara rasmi dengan Mark menggunakan nama sebenarnya, Lee Mark, sebagai wakil syarikat. Perkembangan itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi peranannya bukan sahaja sebagai penyanyi dan pencipta karya, malah sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat miliknya sendiri.
Terdahulu, Mark Lee mengumumkan penamatan kontrak eksklusifnya bersama SM Entertainment selepas kira-kira 10 tahun bernaung di bawah agensi tersebut. Beliau juga mengambil keputusan untuk meninggalkan NCT bagi memberi tumpuan kepada hala tuju baharu dalam karier seninya. Dengan penubuhan Upper Room, ramai peminat kini menantikan projek serta perancangan seterusnya yang bakal dibawakan oleh Mark sebagai artis solo.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.