
Karakter animasi kesayangan ramai, Upin dan Ipin turut menzahirkan rasa simpati terhadap kemelut yang sedang melanda negara jiran, Indonesia.
Menerusi satu hantaran di Instagram rasmi @upinipinofficial, pasangan kembar popular itu menitipkan doa agar rakyat Indonesia terus tabah mengharungi dugaan.
Dalam perkongsian itu, kelihatan ilustrasi Upin dan Ipin bersama rakan sekelas mereka dari seberang, Susanti, dengan wajah penuh kesedihan. Turut disertakan ucapan “Semoga Indonesia Segera Pulih”bersama tanda pagar #UpinIpinDoaBuatIndonesia dan #IndonesiaSegeraPulih.
Malah, watak Ehsan juga sempat meninggalkan doa di ruangan komen, sekaligus mengundang ucapan terima kasih daripada ramai netizen Indonesia yang tersentuh dengan keprihatinan mereka.
Bukan itu sahaja, satu lagi karakter animasi popular Malaysia, Boboiboy, turut memuat naik hantaran di Instagram rasmi miliknya.
Sejak beberapa hari lalu, Indonesia digegarkan dengan gelombang demonstrasi di pelbagai wilayah. Ia tercetus selepas rakyat membantah kenaikan elaun, perumahan serta gaji ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Protes semakin memuncak apabila tular video seorang penunggang e-hailing, Affan Kurniawan, maut selepas digilis kenderaan polis ketika menyertai demonstrasi menuntut gaji yang lebih adil.
Di Jakarta, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan ibu pejabat pasukan elit Brimob yang dipersalahkan dalam insiden tersebut, sebelum gelombang protes merebak ke bandar-bandar lain.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.