
Pelakon popular Ungku Ismail Aziz sekali lagi menarik perhatian ramai, namun kali ini bukan kerana lakonannya, sebaliknya kerana kejayaannya mencipta sebuah aplikasi khas untuk membantu kanak-kanak menguasai subjek Matematik.
Dalam temu bual bersama Remaja, pelakon berusia 40 tahun itu berkongsi bahawa aplikasi tersebut, yang pada asalnya dinamakan Yim Genius, dibina untuk membantu anak lelakinya, Ibrahim, memahami Matematik dengan lebih baik.
“Saya nak anak saya Ibrahim itu, latih Matematik setiap hari. Kalau nak latih Matematik ini, kena buku banyak lah.
Matematik nak power, senang sahaja.“Buat banyak latihan. Itu saja, tiada cara lain lagi dah. Kalau awak tanya orang lain ke apa ke, dia kena banyak latihan,” katanya.
Menurut suami kepada pelakon Nad Zainal ini lagi, aplikasi tersebut direka agar lebih menarik dan sesuai dengan dunia kanak-kanak.
Jadi, dia memilih untuk memasukkan elemen animasi dan bunyi dalam aplikasi tersebut bagi mengekalkan minat anaknya.
Berkelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, Ungku Ismail sebenarnya telah membangunkan aplikasi ini sejak setahun yang lalu.
Namun, ia mula tular selepas Nad Zainal memuat naik kisah tersebut di TikTok dan menarik perhatian netizen.
“Bila Nad tunjuk, orang tengok, orang nak. Saya cari coding pula macam mana nak keluarkan dekat App Store dan Google Playstore.
“Benda ini dah setahun sebenarnya. Cuma kita tidak pernah buat dekat TikTok. Bila kita buat dekat TikTok tu tiba-tiba semua orang ‘oh baru tahu’,” jelasnya.
Ungku Ismail juga berkongsi perancangannya untuk menghasilkan aplikasi serupa bagi subjek lain, lengkap dengan mini games untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan buat si kecil.
Untuk pengetahuan korang, aplikasi Power Congak kini boleh dimuat turun secara percuma di App Store (untuk pengguna Apple) dan Google Play Store (untuk pengguna Android).
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.