UM UG iFEST 2025 Pamer Potensi Pelajar, 9 Pemenang Raih Biasiswa Peringkat Sarjana

Share

Baru-baru ini, Universiti Malaya (UM) mencatat sejarah tersendiri apabila sembilan mahasiswa dari pelbagai bidang pengajian dinobatkan sebagai pemenang dalam acara julung kali diadakan di Malaysia, iaitu Festival Idea Prasiswazah Digital (UM UG iFEST 2025).

Difahamkan, acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 Jun hingga 26 Jun lalu menyaksikan penyertaan lebih 2,600 Projek Tahun Akhir dari 14 fakulti dan dua akademi UM, yang dinilai oleh lebih 300 pakar industri.

Dalam pada itu, sembilan pelajar yang meraih kemenangan turut berpeluang meraih biasiswa ke peringkat Sarjana di UM dengan syarat PNGK akhir minimum 3.50.

Selain itu, UM UG iFEST 2025 juga menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM22,500 kepada para peserta cemerlang dan festival ini dilihat sebagai platform penting untuk mempamerkan inovasi, penyelidikan dan bakat pelajar merentas disiplin termasuk sains dan teknologi, sains sosial serta sains kesihatan.

Menurut johan kategori sains sosial, Ezrie Ezmier Amiruddin (23) mempamerkan kajian mengenai undang-undang dalam industri kreatif. Beliau menjelaskan bahawa inspirasi projek tersebut datang selepas menyedari pelbagai kekangan undang-undang yang dihadapi artis antarabangsa ketika menganjurkan konsert di Malaysia.

“Projek ini diharap membuka mata dan iktibar pihak yang berkaitan dalam industri kreatif,” katanya.

Kredit foto: FB UM

Sementara itu, bagi pelajar Janting Anak Tingom (23), dari Fakulti Kejuruteraan muncul johan kategori sains dan teknologi menerusi kajian penggunaan sisa kelapa sawit dalam pembinaan jalan raya. Beliau mendapat idea tersebut selepas menyedari lebihan sisa sawit yang sering dibuang begitu sahaja dan berharap agar projeknya dapat diteruskan ke peringkat ujian untuk memastikan keberhasilannya.

Seterusnya, bagi kategori sains kesihatan, Tang Jiun Yoong (23) dari Fakulti Farmasi tampil dengan kajian tentang kepelbagaian ubat bagi merawat demam denggi. Katanya, ubat sedia ada terlalu terhad dan industri memerlukan alternatif baharu yang lebih efektif.

“Saya berharap kajian mendalam dapat dibuat bagi memastikan keberkesanannya, seterusnya ubat ini dapat dikomersialkan,” jelasnya.

Kredit foto: FB UM

Sehubungan itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr Hasniza Zaman Huri menyifatkan bahawa festival UM UG iFEST 2025 sebagai komitmen universiti dalam menghargai idea dan inovasi anak muda.

Lebih-lebih lagi, menerusi festival ini juga ia bukan hanya menampilkan hasil projek, tetapi turut menjadi platform pertemuan antara dunia akademik dan realiti industri dalam usaha merapatkan jurang antara teori dan amalan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE