
Baru-baru ini, pentas Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berlangsung pada 6 Mei, semalam menyaksikan detik paling bermakna buat Dr. Jafni Ghazali (60) dan anak sulungnya Dr. Nurul Huda (29) selepas mereka berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan setelah melalui perjalanan akademik yang penuh cabaran sejak tahun 2021.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook UiTM, kisah kejayaan dua beranak itu menjadi perhatian ramai apabila mereka bukan sahaja menyambung pengajian PhD pada tahun yang sama, malah berjaya menamatkan perjalanan akademik tersebut dan berkongsi momen bersejarah menerima ijazah bersama.
Menurut Dr. Jafni yang juga bekas Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian, Nibong Tebal, impian untuk menyambung pengajian sebenarnya telah lama tersimpan dalam dirinya sebelum ia menjadi kenyataan selepas beliau menemani anak sulungnya mendaftar pengajian di UiTM Permatang Pauh.
“Alhamdulillah, kira-kira 30 tahun lalu arwah ibu bertanya apa hasrat saya dan saya jawab mahu belajar sampai habis. Hari ini, impian itu tertunai,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau mengakui perjalanan menamatkan PhD bukan sesuatu yang mudah apabila perlu membahagikan masa antara kerjaya sebagai pendidik dan tanggungjawab menyiapkan penyelidikan akademik sebelum akhirnya bersara kira-kira tiga tahun lalu.
Namun, peluang untuk melalui pengalaman itu bersama anak tersayang menjadi kekuatan terbesar sepanjang pengajian.
“Saya akui PhD bukan mudah dan perjalanannya memang kena laluinya sendirian, tetapi saya beruntung ada anak bersama-sama untuk kami berkongsi perjalanan pengajian ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, bagi Nurul Huda yang kini bertugas sebagai Pakar Komunikasi Serantau di Kulim Hi-Tech, momen menerima skrol bersama bapanya menjadi antara kenangan paling manis dalam hidup kerana mereka bukan sekadar bapa dan anak, malah turut menjadi rakan seperjuangan sepanjang pengajian.
Lebih istimewa, istiadat konvokesyen kali ini juga merupakan pengalaman pertama beliau menaiki pentas selepas tidak sempat meraikan hari graduasi terdahulu susulan menyambung pengajian di Universiti Manchester, United Kingdom serta kekangan pandemik Covid-19.
BACA: Antara 27 Bakat Terbaik Vertical Flight Dunia! Anak Terengganu Ini Raih PhD Kejuruteraan Aeroangkasa
“Terharu dapat menerima ijazah dengan ayah. Walaupun kami daftar pada tahun yang sama, kami tidak jamin akan habis pengajian bersama kerana PhD ialah perjalanan yang panjang,” katanya.
Tambahnya, kejayaan menamatkan pengajian bersama bapanya menjadi antara detik paling bermakna dalam hidup mereka sekeluarga. Selain itu, Nurul Huda turut berharap agar dapat terus mengembangkan kerjayanya dalam industri serta tidak menolak peluang untuk menyumbang dalam bidang akademik pada masa hadapan.
Sumber: FB UiTM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.