
Nak dapat badan sado bukan semudah yang disangka. Itu yang dilalui sendiri oleh pelakon kacak, Zul Ariffin apabila terpaksa berdepan cabaran menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram (kg) dalam tempoh dua bulan!
Pelakon filem aksi terkenal ini mendedahkan, demi menjayakan watak dalam filem terbaharunya, Furious, dia sanggup ‘push’ diri habis-habisan sehingga mengalami beberapa insiden kesihatan yang serius sepanjang proses transformasi tersebut.
Tidak cukup dengan hanya bersenam biasa, Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 39, turut mengamalkan diet ketat dan jadual latihan yang cukup ekstrem. Malah, dia mengakui pernah dua kali pitam dan sekali hidung berdarah akibat tekanan fizikal yang melampau.
Menurut pelakon filem Sangkar ini juga berkongsi rasa tidak yakin pada awalnya untuk turunkan berat sehingga 20kg, namun demi tanggungjawab terhadap kerjaya, dia nekad meneruskannya.
“Hari ini hari ke-60, genap dua bulan pengorbanan, 20kg turun. Dari 101kg ke 81kg. Dua kali blackout, hidung berdarah sekali. Banyak migrain dan pening, rendah karbohidrat, rendah gula, semua rendahlah. Masih dua tiga jam latihan setiap hari,” kongsinya menerusi Instagram.
Berkongsi di hantaran Instagram, walaupun melalui detik sukar seperti migrain, pening kepala, badan lemah dan masalah hidung berdarah, Zul tetap berjaya mencapai bentuk badan ideal yang diimpikan. Malah, dia sempat berkongsi gambar perut ‘six pack’ yang berotot dengan latar lagu Enter Sandman nyanyian band legenda, Metallica.
“Tak mudah, ini salah satu cabaran terbesar saya setakat ini. Kali terakhir saya buat turun berat badan pun sembilan tahun lepas, itu pun 13kg je untuk filem Tombiruo. Kali ini, saya memang push diri betul-betul,”
jelasnya.Menurut Zul, kini dia bersedia sepenuhnya untuk memulakan penggambaran filem aksi Furious, sekaligus membuktikan komitmen tinggi terhadap kerjaya lakonan.
Transformasi drastik seperti Zul memang nampak mengagumkan, tapi dia juga berpesan agar generasi muda tidak terlalu obses sehingga mengabaikan kesihatan. Apa jua perubahan fizikal perlu dilakukan dengan ilmu yang betul, kawalan pakar dan tidak memudaratkan diri sendiri.
“Kadang-kadang kita kena hadap je cabaran tu, tapi kena tahu limit diri. Jaga kesihatan tetap nombor satu,” tambah Zul.
Kesimpulannya, perjalanan transformasi tubuh bukan sekadar soal rupa, tapi menuntut pengorbanan, mental kuat dan disiplin tinggi. Jadi, kalau korang bercita-cita nak badan fit macam Zul Ariffin, pastikan korang utamakan kesihatan dan rujuk pakar sebelum mencuba!
Sumber : Instagram Zul Ariffin
BACA LAGI : Remaja Hilang Nyawa Gara-gara Picit Jerawat & Guna Produk Tidak Sah
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.