
Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang wanita dipercayai sedang memarahi dan mendakwa seorang pemandu lori berada dalam keadaan mabuk kerana telah melanggar beberapa kenderaan yang diparkir di bahu jalan.

Dalam klip video 1.17 minit itu, perakam tersalah anggap pemandu tersebut sedang mabuk. Faktanya, pemandu lelaki itu sedang bertarung nyawa sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
ARTIKEL BERKAITAN : Hentikan Sebar Cara Tangani Serangan Jantung Dengan Cough CPR, Ini Sebenarnya Yang Korang Perlu Buat
Video pendek dimuat naik di media sosial itu mengundang kecaman netizen yang berpendapat wanita itu boleh menyelamatkan pemandu treler tersebut jika pantas menghubungi ambulans dan bukan sibuk merakam kejadian tersebut.

Al – Fatihah (dengan bacaan) buat mangsa.
Siapa kata penyakit jantung hanya akan menyerang golongan tua, ia memang benar-benar silap. Serangan jantung kini bukan hanya dihidapi oleh orang tua, malah penyakit ini juga boleh menyerang golongan yang lebih muda. dan tidak mengira masa, sedang tidur, berkerja dan sebagainya.
Hal ini menunjukkan serangan jantung bukanlah perkara yang boleh dibuat main. Melihat banyak kes kematian akibat serangan jantung kita seharusnya lebih peka dengan simptom masalah jantung. Jika anda atau terdapat orang awam yang mengalami serangan jantung, ambil langkah berikut:
- Dapatkan bantuan kesihatan atau hantar individu yang mengalami sakit jantung ke hospital berdekatan.
- Jika tidak berkemampuan untuk bergerak kerana sakit atau keadaan lain, hubungi talian 999 atau minta orang awam untuk bawakan anda ke hospital berdekatan dengan kadar segera
- Jangan memandu kereta semasa mengalami simptom sakit dada atau simptom masalah jantung yang lain
- Jika anda tiada sejarah alergi kepada ubat aspirin, ambil pil aspirin 300 mg yang boleh dikunyah dengan kadar segera
- Sebelum ambulans sampai, ikut langkah-langkah bantuan kecemasan yang diberikan melalui talian 999 jika perlu (contoh semasa situasi pesakit pengsan)
- Jika pesakit mempunyai ubat glyceryl trinitrate, kemam sebiji di bawah lidah dan dapatkan bantuan perubatan dari hospital berdekatan
- Bantuan awal ini bukan sahaja dapat membantu menjadikan simptom sakit jantung lebih terkawal, bahkan ia juga berupaya untuk meminimumkan kematian sel kardium (jantung) bagi mengekalkan fungsi jantung pada tahap yang optimum.
Insiden yang berlaku itu turut dijelaskan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar dalam satu kenyataan media. Pada hari sama, pemandu treler berkenaan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Sungai Buloh pada kira-kira jam 12.09 tengah hari. Polis turut meminta orang awam tidak membuat spekulasi mengenai insiden berkenaan bagi menghormati keluarga arwah.
Al-Fatihah kepada mangsa, dan takziah buat keluarga.
BACA LAGI : Lelaki Ini Kongsi Pengalaman Kena Serangan Jantung Walaupun Masih Muda & Aktif Bersukan
Sumber : Hello Doktor, Facebook Polis Daerah Sungai Buloh
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pil “Loratadine” Bukan UBAT RESDUNG, Walau Melegakan Tapi Juga Boleh Sebabkan Alahan

Media sosial sehari dua ini tular mengenai “kelebihan” ubat yang boleh dibeli di farmasi iaitu LORATADINE. Memakannya dikatakan mampu menghilangkan masalah resdung, akibat alahan pada habuk dan makanan.
Perkongsian itu telah mendapat ribuan syer dan ternyata ia mendapat respon dari doktor perubatan yang tampil memberikan penjelasan tepat mengenai pil yang tular ini. Satu darinya perkongsian dari Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan dan keduanya Dr Syamirullah Rahim yang repost semula apa itu resdung, cara perawatan dan sebagainya yang pernah ditulisnya tahun lalu.
Baca perkongsian mereka kerana soal kesihatan bukan mainan dan seharusnya pakar perubatan lebih memahaminya.

Perkongsian dari Dr Kamarul
Sekarang sedang tular tentang ubat Loratadine, jadi saya nak beri nota ringkas yang sahih tentang ubat berkenaan.
Klasifikasi
- Ubat anti-histamin generasi kedua: melegakan simptom kegatalan, mata berair dan selsema.
- Bukan ubat resdung. Tidak semua jenis resdung boleh dirawat dengan Loratadine.
- Ubat terkawal: hanya boleh didapati di farmasi( melalui ahli farmasi) dan klinik(doktor)
Kebaikan
- Tidak akibatkan mengantuk: selamat untuk diambil oleh pemandu, serta operator mesin dan jentera.
- Dos: 1 tablet (10mg), sehari sekali sahaja. Sangat praktikal dan mudah.
- Selamat untuk ibu yang menyusukan bayi. Ia boleh hadir dalam susu ibu, tapi tak memudaratkan bayi.
Waspada
Jika hamil, hanya ambil setelah mendapat nasihat doktor. Loratadine terbukti selamat kepada janin dalam ujian haiwan, namun tiada data lengkap untuk ujian pada manusia.
Walaupun Loratadine melegakan simptom alahan, ubat ini juga boleh menyebabkan alahan. Jika ada simptom seperti pening, sukar bernafas, kegagalan, ruam, selepas ambil ubat ini, maka segera jumpa doktor.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Unit Edukasi Medtweetmy

Ini perkongsian dari Dr Syamirullah Rahim pula mengenai resdung
Telah viral testimoni dari seorang pengguna, mengenai ubat bernama “Loratadine” yang dikatakan cukup mujarab merawat penyakit Resdung.
Saya ulang share semula post saya mengenai “Resdung”.
Resdung adalah satu penyakit yang dikategorikan sebagai atopy (allergy). Antara penyakit lain yang satu geng dengan resdung ini adalah asthma dan eczema (atopic eczema).
Istilah resdung itu sebenarnya agak broad/meluas. Dalam perubatan, kita akan differentiate pula…adakah ia rhinitis, atau sinusitis. Rhinitis (atau lebih tepat lagi, allergic rhinitis) adalah keadaan penghasilan hingus akibat iritasi/trigger pada mucosa hidung.
Contohnya masuk bulu kucing atau debunga atau habuk atau salah makan, hidung berair berhingus dan bersin kerap. Ha, itu macam ciri2 rhinitis. Selain allergic/alahan, jangkitan seperti selesema pun boleh menyebabkan rhinitis juga.
Sesetengah bahan kimia pun boleh menyebabkan rhinitis. Contohnya potong bawang. Tapi bila kita sebut allergic rhinitis, maksudnya ada mekanisma dan component allergic di situ.
Berbeza dengan sinusitis. Sinusitis ni, almost exclusively disebabkan jangkitan. Tengkorak kita ni ada rongga-rongga pada tulang, yang dipanggil sinus. Boleh google tengok.
Sinusitis ni berkait rapat dengan rhinitis. Dari segi kata, bila hingus terlalu banyak atau terlalu kerap dan dibiarkan tak keluar, hingus ini mengalir memasuki sinus. Kemudian ia memekat, dan menyumbat sinus.
Tempat macam ni, jadi habitat bakteria. Bila bakteria mula membiak, ia meningkatkan pressure dalam rongga sinus. Itu yang menyebabkan sakit kepala sangat-sangat, demam panas dan lain-lain. Sinusitis kebiasaannya memerlukan rawatan antibiotik.
So pendek kata bila sebut resdung…doktor akan kenal pasti dulu. Adakah ini sekadar rhinitis biasa atau sudah menjadi sinusitis. Sinusitis pun, doktor akan kenal pasti, adakah ianya acute sinusitis yang berlaku sekali sekala ataupun chronic sinusitis yang berpanjangan/lama.
Tambah sikit pasal otitis sebab tuan tanah mention pasal otitis media.
Otitis media pula, adalah jangkitan pada kawasan telinga tengah. Walaupun ia penyakit berbeza..ia berkait rapat dengan rhinitis dan sinusitis. Ini kerana, dari segi anatomi, kita ada satu tiub yang dinamakan Eustachian Tiub menyambungkan rongga kerongkong dengan telinga.
Secara asasnya..apa sahaja jangkitan kerongkong dan hidung, boleh merebak ke telinga melalui tiub ini. Hal ini lebih kerap berlaku pada kanak2 kerana tiub eustachian mereka lebih pendek daripada dewasa; so lebih mudah berjangkit.

RAWATAN
Mengenai rawatan;
Dalam mana2 kes melibatkan alahan – tak kiralah allergic rhinitis ke, asthma ke, atopic eczema ke, first and foremost sekali adalah avoidance of trigger.
Pesakit bagi ketiga2 jenis penyakit ini sering mengeluh; “ambil ubat doktor, hilang sekejap. kemudian datang semula. tak sembuh2!”
Lumrah alahan memang begitu, selagi mana trigger kepada alahan tersebut tidak dihilangkan. Kebanyakan alahan menjadi teruk di peringkat kanak-kanak, namun apabila kanak-kanak meningkat usia, berlaku proses desensitization terhadap allergen (trigger) tersebut akan berlaku. Namun proses ini adalah rambang dan memakan masa. Saintis masih cuba mendapatkan kaedah desensitization artificial tapi masih tidak meluas selain kosnya tinggi.
Trigger kepada allergic ini dipanggil allergen. Secara teorinya semua benda boleh jadi allergen. Iaitu benda yang badan kita recognize sebagai foreign material. Antara contoh allergen termasuklah makanan seperti protein tertentu (seafood, daging), dan juga persekitaran (habuk, hama, asap, asap rokok, debunga, bulu kucing, hatta udara atau air sejuk!)
Selalu saya advice ibu bapa, cara terbaik merawat dan mencegah alahan adalah mengenal pasti allergen dan mengelakkan allergen. Kalau susah untuk kenal pasti, sesetengah pusat rawatan pakar memang ada menawarkan allergy test, namun biasanya kosnya tinggi dan itu pun cuma menguji set panel tertentu sahaja.
Ok sekarang kita focus kepada allergic rhinitis;
Sebagaimana kebanyakan allergy, ubat antihistamine selalu menjadi pilihan utama untuk merawat alahan. Antihistamine bertindak menghalang bahan bernama histamine dari dikesan badan.
Bahan histamine inilah yang menyebabkan rasa gatal dan kemerahan (hidung atau kulit). Antara ubat antihistamine yg biasa digunakan seperti piriton, loratadine dan cetirizine. Dalam kebanyakan kes alahan, ubat antihistamine ini sahaja sudah cukup melegakan simtom yang ada.
Khas untuk allergic rhinitis, adakalanya doktor akan turut mempreskripsikan ubat decongestant. Ubat decongestant berfungsi mengecutkan salur darah, seterusnya mengurangkan penghasilan hingus/mukus.
Ada tablet yang berbentuk gabungan antihistamine dan decongestant, contohnya clarinase. Lebih mudah diambil pesakit. Pun begitu penggunaan decongestant yang kerap atau berpanjangan tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti semakin hilang keberkesanan, bahkan kurang deria bau.
Masalahnya;
Adakalanya ubat antihistamine tidak cukup. Simptom masih ada walaupun mengambil antihistamine hari-hari. Dalam kes ini, doktor mungkin akan membincangkan dengan anda untuk menggunakan ubat steroid.
Wait, steroid? Kan bahaya steroid tu? Benar, ubatan steroid yang diambil secara tidak terkawal adalah berbahaya kerana ia mempunyai banyak side effect kepada tubuh badan. Namun dalam kes allergic rhinitis, ubatan steroid yang diberikan adalah dalam bentuk spray.
Ubat spray steroid adalah selamat, berbanding ubat steroid yang ditelan/makan. Penggunaan spray steroid juga biasanya dalam kawalan doktor, iaitu anda akan diberi temu janji untuk doktor nilai semula keberkesanannya. Kalau dah cukup keberkesanan, ubat spray tersebut akan diberhentikan.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Cetek Jer Air Tapi Dah Telan 14 Nyawa Dalam Masa 2 Bulan, Ini Lombong Puaka Ke?

Tragedi meragut nyawa enam anggota bomba dari Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dua hari lalu masih mencetuskan kesedihan berpanjangan buat seluruh ahli keluarga dan rakyat Malaysia.
Dalam tragedi ini, enam anggota bomba iaitu Mohd Fatah Hashim, Izatul Akma bin Wan Ibrahim, Mazlan bin Omarbaki dan Yahya bin Ali dari PPDA Pelabuhan Klang sementara Adnan Othman dan Muhammad Hafdzul Malik bin Saari dari Shah Alam terkorban dalam satu operasi menyelamatkan seorang remaja lemas iaitu adik Muhammad Ilham Fahmy bin Mohd Azzam yang terjatuh dari atas “jambatan” besi di lombong di Putra Perdana, Puchong.

Tinjauan REMAJA di lokasi semalam mendapati jika tiada air hujan (ketika kejadian, berlaku hujan) lombong di Putra Perdana, Puchong ini sebenarnya agak cetek, separas dada dan kanak-kanak juga boleh mandi.
Airnya agak jernih dan batu-bata yang kelihatan di bawah empangan itulah yang di pihak oleh salah seorang anggota bomba sebelum menarik rakan yang lain yang ketika itu mahu melakukan surface teknik iaitu selaman pada permukaan sebelum membuat operasi selanjutnya.
Lombong ini merupakan kawasan tadahan air yang agak luas dan mempunyai lima empangan yang dibina bagi menahan air dari memasuki kawasan perumahan sekitar.
Lima empangan ini pula dibina secara bertingkat bagi memastikan jika berlaku hujan deras, kawasan perumahan tidak ditenggelami air dengan kadar cepat.
Lihat video di bawah ini, betapa ceteknya sehingga kanak-kanak boleh bermain. Jika diperhatikan dari jambatan besi (berwarna biru) inilah arwah Ilham Fahmy terjatuh ke kawasan empangan.
Ketika kejadian, arwah dikatakan bergurau (kun fa ya kun. Ajalnya sudah tiba dan ini adalah penyebab sahaja), membuka bajunya sebelum berlari anak di jambatan besi itu dan secara tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh ke bawah empangan itu.
Ini video ketika air deras.
Melihat Fahmy terjatuh, dua rakannya yang berada sama di atas jambatan itu, terjun untuk menyelamatkannya. Menurut bapa mangsa yang terselamat yang ditemui semalam, Mohd Fawwaz, 45 berkata, anaknya Ahmad Fahim sendiri hampir lemas ketika cuba menarik Fahmy ke atas kerana tolakan air.
Ahmad Fawwaz turut berkongsi sebuah video yang sememangnya amat bermanfaat dan berguna untuk tontonan.
Video ini menunjukkan apabila seseorang itu terperangkap di bawah pusaran air, individu harus menyelam sehingga ke dasar sebelum berputar mengikut aliran air supaya dapat naik ke atas (info ini dari video luar negara).




Manakala ibu kepada seorang lagi remaja (Najmi) yang berada di lombong semalam menjelaskan anaknya turut terjun dari atas jambatan itu dan bertahan di tebing empangan namun apabila dia melihat Ilham Fahmy dan Fahim tidak muncul dalam beberapa saat, dia mengenetepikan niatnya untuk menyelam. Ketika dalam saat genting itulah dia melihat Fahim tiba-tiba melonjakkan diri ke permukaan manakala Ilham Fahmy tidak timbul-timbul.
Misteri kawasan lombong ini mula tercetus apabila tular di media sosial gambar menunjukkan “ada sesuatu” di atas bahu seorang dari anggota bomba yang tidak bertugas tetapi berniat membantu. REMAJA difahamkan, beliau ialah Faizal dan seorang lagi Khairul tetapi ketika selaman dilakukan Faizal sendiri hampir lemas dan beliau kembali naik ke atas sebelum skuad bomba memulakan operasi pada sebelah malam.

Dalam satu temubual semalam dengan bapa arwah Ilham Fahmy, Mohd Azzam berkata, setahunya ada 14 nyawa terkorban dalam tempoh dua bulan.
“Sesebelum ini sudah ada kes kematian. Bulan lalu dua orang yang menjala ikan berasal dari Sabah meninggal akibat lemas. Sesebelum itu juga ada, tetapi kali ini jumlahnya agak banyak iaitu tujuh orang sekaligus.
“Saya tak tahu ianya berkaitan dengan misteri atau apa tapi ikutkan saya sendiri biasa memancing di kawasan lombong ini,” katanya yang dilihat agak tenang. Mengakui keluarganya menerima kecaman hebat dari netizen ekoran tragedi ini namun bagi Azzam, dia meminta maaf jika ramai mengata begitu dan sebagai umat Islam, segala yang terjadi adalah ketentuan dari Allah SWT.


Dalam pada itu, tambah Mohd Azzam, jika hujan, air di kawasan empangan ini boleh mencecah 10 kaki kedalaman dan ditambah pusaran air mengakibatkan seolah-olah ada pusaran di bawah empangan tersebut.
Sama ada benar-benar misteri, mempunyai 14 juta jin seperti yang tular di media sosial selepas ketua jinnya ditangkap seperti didakwa oleh sebuah pengamal perubatan hari ini, sesungguhnya umat Islam harus berpegang teguh pada rukun Iman dan Islam.
BACA SINI: Sebelum Arwah Fahmy Muncul Di Permukaan Lombong, Ini Kata-Kata Emaknya & Ternyata Berlaku Keajaiban
Untuk sedikit info, selepas kematian enam anggota tentera ini, seramai 150 orang terlibat dalam operasi mencari remaja ini semalam. Dron turut digunakan, bot selain usaha terakhir membawa masuk mesin pengepam air bagi menyurutkan air tetapi kuasa Allah melebihi segalanya kerana remaja ini ditemui sebelum mesin pengepam itu dibawa masuk ke kawasan lombong.
Al-Fatihah untuk kesemua arwah yang terkorban dalam tragedi ini. Moga sentiasa dalam rahmat Allah.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Mayat Anggota Polis “Dipinjam” Kejap Sebelum Dilepaskan, Misteri Sungai Paka Sudah Telan 10 Nyawa

“Pinjam” sekejap sebelum apungkan. Ternyata pengalaman seorang penduduk kampung yang arif dengan keadaan Sungai Paka, Durian Mentangau yang memaklumkan mayat Konstabel Wan Mohd Arif di”pinjam” seketika benar-benar berlaku.
Daus Ibrahim, 62 seorang penduduk kampung dari Felda Kerteh 2, Dungun yang sudah 30 tahun tinggal berhampiran sungai berkenaan berkata, berdasarkan pengalamannya yang agak mahir dengan keadaan sungai berkenaan, mayat kedua-duanya berada tidak jauh dari lokasi terjatuh. Sekitar 200-300 meter sahaja.

Ternyata kata-katanya benar kerana mayat suspek dikenali sebagai Zul Ayam ditemui pada jarak 200 meter selepas empat hari kejadian berlaku. Malah dalam satu temubual dia memaklumkan jenazah anggota polis iaitu Wan Mohd Arif juga berada tidak jauh dari lokasi mayat pertama ditemui, cuma arwah “dipinjamkan” seketika oleh penunggu sungai seperti didakwanya.
Tambahnya lagi, sepanjang pengetahuannya, Sungai Paka, Durian Mentangau ini sudah menelan 10 nyawa dan kali terakhir terjadi ialah lima tahun lalu.
“Maknanya sudah lima tahun tiada kejadian lemas di sungai ini. Jika dicampur dua kes ini menjadikan kesemuanya 12 kes,” katanya yang ditemui dilokasi kejadian.
Tidak dinafikan, di muka bumi ini selain wujudnya manusia sebagai penghuninya, ada lagi penghuni tidak “nampak” pada mata kasar manusia iaitu alam jin. Namun sebagai hambaNya, kita mempercayai apa jua yang berlaku adalah atas izin Allah taala.


Hilang pada hari Jumaat dan ternyata pada hari ini, Jumaat penghulu hari, jenazah allahyarham Wan Mohd Arif ditemui sekitar jarak lebih kurang pada jarak suspek Zul Ayam ditemui selepas usaha menebang beberapa batang pokok di sungai berkenaan dilakukan oleh penduduk kampung dan pasukan penyelamat.
REMAJA difahamkan juga oleh rakan-rakan wartawan yang membuat liputan di lokasi kejadian, beberapa usaha telah dilakukan termasuk laungan azan dan menepuk permukaan air sungai bagi menimbulkan kedua-duanya. Malah pasukan penyelam juga ada membuat beberapa kali selaman namun air sungai yang keruh dan arus agak deras menyukarkan operasi dilakukan sebelum mayat timbul sebelah tengahari tadi.

Biarpun rasa sedih itu ada namun bagi kakak arwah, iaitu Wan Suraya yang setia menunggu sejak seminggu lalu mengucapkan rasa syukur kerana jenazah adiknya timbul juga.
“Walau pun sedih tapi sekurang-kurangnya ada kuburnya untuk kami menziarahi nanti.
Wan Suraya, 32 berkata, setiap hari sejak seminggu lalu iaitu bermulanya operasi mencari dan menyelamat dilakukan dia dan ahli keluarga lain setia menunggu di tebing sungai menantikan abangnya ditemui.

Menurutnya, berkat solat hajat besar-besaran di Masjid Jamek Paka malam tadi, pagi ini jasad abangnya akhirnya ditemui.
“Memang kami tidak putus berdoa dan setiap hari lakukan solat hajat. Malam tadi sekali lagi solat hajat secara beramai-ramai dilakukan di Paka memohon usaha mencarinya dipermudahkan.
“Dengan izin Allah, hari ini jasadnya timbul dan walaupun operasi ini agak sukar, kami sekeluarga beramai-ramai tetap yakin dia akan ditemui,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, walaupun sedih, keluarga berasa lega dengan penemuan jasad anggota dari Balai Polis Paka itu.
“Memanglah sedih tapi sekurang-kurangnya jasad arwah ditemui. Ketika mayat ditemui ibu yang sakit dalam perjalanan menuju ke sini tetapi berpatah balik apabila dimaklumkan berita penemuan abang. Jenazah arwah akan dibawa pulang ke Pasir Mas untuk dikebumikan, “katanya.
ARTIKEL LAIN : Video Eksklusif, Keluarga Remaja Lemas Diganggu Hantu Lombong
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 12.25 tengahari.
“Hari ini sudah masuk hari ke lapan operasi dan akhirnya usaha semua pasukan penyelamat berhasil.
“Jasad mangsa timbul dalam jarak 300 meter dari lokasi kejadian. Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk urusan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga, “katanya.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Jumaat lalu, Wan Mohd Arif bersama suspek penjenayah dikenali sebagai Zul Ayam terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyut arus deras.
Mayat suspek berusia 39 tahun ditemui tersangkut pada ranting pokok di tebing sungai pada hari keempat operasi. Malah difahamkan, isteri allahyarham, Sharifah Murni Sayed Ab Aziz, 27, baru semalam habis peperiksaan akhir di Kolej Kejururawatan di Kuala Terengganu dan sudah berada di lokasi sejak semalam lagi. Ternyata Allah memberinya peluang untuk menatap wajah suaminya buat kali terakhir.
Al-Fatihah (dengan bacaan) untuk wira negara ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diangkat darjatnya bersama orang beriman dan beramal soleh. Amin.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

