
Baru-baru ini, kisah seorang pelajar STPM cemerlang menjadi bualan hangat di media sosial selepas mendakwa dirinya gagal mendapat tempat dalam program Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Malaya (UM).
Pelajar tersebut, Edward, memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) penuh 4.00, markah kokurikulum 9.9/10, sekali gus menjadikan merit keseluruhannya 99.90%. Namun begitu, enam universiti penyelidikan termasuk UM, UKM, UPM, UUM, UTM dan USM menolak permohonannya.
Berita ini mengejutkan ramai kerana Edward dianggap calon ideal dengan merit hampir sempurna. Rasa kecewa itu membawa Edward membuat aduan kepada parti MCA, sekali gus menimbulkan persoalan orang ramai tentang sejauh mana sistem pemilihan universiti awam benar-benar adil.
Data rasmi menunjukkan Edward sebenarnya berdepan persaingan yang terlalu sengit. Contohnya di UM, terdapat 2,291 permohonan layak, dengan 1,127 calon memperoleh merit penuh 100%. Edward berada di kedudukan 1,129 sedangkan UM hanya menyediakan 85 tempat untuk program perakaunan.
Situasi yang sama berlaku di universiti lain:
UPM: 4,154 permohonan, 1,718 merit penuh, 100 tempat sahaja. Edward di ranking 1,724.
UUM: 2,595 permohonan, 1,282 merit penuh, 350 tempat. Edward di ranking 1,288.
UTM: 2,292 permohonan, 1,060 merit penuh, 55 tempat. Edward di ranking 1,062.
Jelas bahawa walaupun Edward cemerlang, jumlah calon yang memiliki merit tinggi jauh lebih ramai berbanding kapasiti tempat yang ditawarkan.
Isu ini turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman menegaskan bahawa semua keputusan pemilihan pelajar dibuat berdasarkan sistem meritokrasi tanpa campur tangan luar.
“KPT ingin tegaskan bahawa semua keputusan UPUOnline dijana oleh sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus atau program yang dimohon,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, Edward sebenarnya berjaya ditawarkan program Sarjana Muda Pengurusan dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan terkemuka, iaitu pilihan kelima yang diisi sendiri.
Walaupun begitu, KPT dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menyatakan kesediaan mereka untuk menerima pandangan masyarakat dalam usaha menambah baik sistem pemilihan agar lebih telus dan adil pada masa akan datang.
Kes Edward membuka semula perdebatan tentang kapasiti universiti awam dan tahap persaingan dalam kalangan pelajar cemerlang. Hakikatnya, pelajar zaman kini semakin ramai yang hebat dan bijak. Kalau kita rasa sudah cukup cemerlang, ada beribu lagi yang sama-sama bersaing.
Untuk remaja yang bakal menyambung pengajian, ini adalah peringatan bahawa bukan akademik semata-mata yang jadi penentu. Strategi memilih kursus, persediaan kokurikulum, serta keterbukaan menerima pilihan lain juga sangat penting dalam perjalanan pendidikan tinggi.
Akhirnya, jalan menuju kejayaan bukan hanya bergantung pada universiti pilihan pertama, tetapi bagaimana kita memanfaatkan peluang yang ada untuk mencipta masa depan lebih cerah.
BACA LAGI : Dapat Ilham Lirik Lagu & Skrip Saat Di Bilik Mandi, Arwah Saloma Dedah Sisi Unik Allahyarham P. Ramlee
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.