Sukan

TSS Selangor U9 Harumkan Nama Malaysia, Julang Kejuaraan Antarabangsa Di China, Tahniah!

Share

Baru-baru ini, pasukan TSS Selangor Malaysia Bawah 9 Tahun (U9) meraih perhatian selepas berjaya mengharumkan nama negara apabila muncul juara Jinan International Football Invitational Tournament yang berlangsung di Jinan, China. Kejayaan itu sekaligus membuktikan bahawa bakat muda tempatan memiliki potensi besar untuk bersaing dan mencabar pasukan dari peringkat antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TSS FC, Dino Omar berkata, pencapaian membanggakan tersebut bukan hadir secara kebetulan, sebaliknya hasil persiapan konsisten serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pemain, barisan jurulatih, pihak pengurusan dan ibu bapa. Persediaan pasukan turut merangkumi aspek teknikal, taktikal, kecergasan fizikal, disiplin dan kekuatan mental sebelum beraksi di China.

“Kami juga menyediakan pemain dari aspek mental supaya mereka memahami bahawa mereka bukan sekadar bermain untuk diri sendiri atau kelab, tetapi membawa nama TSS Selangor, Selangor dan Malaysia,” katanya.

“Apabila berada di atas padang, yang paling penting ialah keberanian, disiplin, kerja berpasukan dan kepercayaan terhadap kemampuan sendiri,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Dino menyifatkan pengalaman di Jinan sebagai proses pembelajaran penting buat pemain berusia sembilan tahun berkenaan. Selain kejayaan menjulang trofi, beliau paling berbangga melihat perubahan dari segi kematangan, disiplin, semangat saling menyokong dan keazaman pemain yang tidak mudah menyerah kalah ketika berdepan tekanan.

Kejayaan tersebut juga dilihat sebagai petanda positif terhadap potensi pembangunan bola sepak akar umbi di Malaysia. Bagaimanapun, usaha itu perlu diteruskan menerusi sistem pembangunan yang lebih kukuh, latihan berterusan, jurulatih berkualiti, pendedahan kepada pertandingan kompetitif serta sokongan daripada ibu bapa, kelab dan pihak berkaitan.

Lebih bermakna, kejuaraan itu turut didedikasikan kepada seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69. TSS Selangor mahu menyemai semangat patriotisme dalam diri pemain sejak usia muda supaya mereka memahami bahawa menyarung jersi dan membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa hadir bersama tanggungjawab serta kebanggaan yang besar.

Dalam perkembangan lain, TSS Selangor akan terus memperluas pendedahan antarabangsa kepada pemain muda melalui penyertaan kejohanan di luar negara. Dino menegaskan fokus utama kelab bukan sekadar mengejar trofi, tetapi membentuk pemain berdisiplin, berkarakter dan berkeyakinan, sambil merakamkan penghargaan kepada AGDU, ibu bapa, jurulatih, pengurusan dan semua pihak yang terlibat dalam kejayaan ke China.

Sumber: Astro Awani, TSS Selangor Malaysia

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE