Tragedi Sekolah Bandar Utama: Ibu Dedah Anak Ditikam 200 Kali, Bukan 50 Seperti Tular!

Share

Ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam tragedi di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tampil menafikan dakwaan tular di media sosial, sambil mendedahkan bahawa anaknya sebenarnya ditikam kira-kira 200 kali, bukan 50 seperti yang disebarkan sebelum ini.

Wong Lee Ping berkata, maklumat itu diperoleh daripada laporan bedah siasat yang dijalankan oleh pihak patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan beliau amat kecewa dengan pelbagai berita tidak sahih yang berlegar di media sosial sejak tragedi itu berlaku.

“Saya dapat tahu daripada pihak patologi bahawa anak saya ditikam 200 kali. Ada luka besar dan kecil di bahagian kanan badan, termasuk leher dan paru-paru,” katanya ketika sidang media di Nirvana Center Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Jeritan Terakhir Dalam Tandas Sekolah

Menurut laporan siasatan polis, suspek yang merupakan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dipercayai melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam mangsa yang berada dalam bilik tandas berkunci.

“Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada,” katanya dengan nada sebak.

Tragedi ini berlaku sekitar jam 9.30 pagi Selasa lalu, dan telah menggoncang perasaan ramai ibu bapa serta masyarakat, yang kini menuntut penjelasan lebih menyeluruh mengenai tahap keselamatan pelajar di sekolah.

Ibu Minta Henti Sebar Fitnah & Berita Palsu

Dalam sidang media sama, Lee Ping menegaskan bahawa anaknya tidak pernah mengenali suspek, dan menafikan dakwaan kononnya berlaku kejadian rogol atau hubungan antara keduanya.

“Anak saya telah menjadi mangsa. Saya harap orang ramai hentikan penyebaran berita tidak benar di media sosial. Anak saya tidak pernah berjumpa atau berhubung dengan suspek,” ujarnya.

Beliau turut memberi amaran mengenai penipuan kod QR palsu yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengutip derma atas nama keluarganya.

“Kalau ada yang ingin menderma, sila datang sendiri ke Nirvana Center. Jangan percaya pada kod QR yang berlegar di media sosial,” tegasnya.

Mangsa Dikenali Sebagai Pelajar Aktif & Berdisiplin

Menurut ibu mangsa, anak bongsunya itu seorang pelajar yang cerdik, aktif dan berdisiplin tinggi.

“Dia aktif dalam bola tampar dan badminton. Dua hari sebelum kejadian, dia baru menang tempat kedua dalam kejohanan badminton di Kuala Lumpur,” katanya sambil menahan sebak.

Rakan-rakan dan guru di sekolah turut menggambarkan mangsa sebagai seorang pelajar yang periang, ringan tulang dan disenangi ramai.

Polis Sahkan Tikaman Di Dada & Leher Jadi Punca Kematian

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, sebelum ini mengesahkan bahawa hasil bedah siasat di PPUM mendapati tikaman pada dada dan leher menjadi punca utama kematian pelajar terbabit.

Bedah siasat selesai pada jam 10.30 malam Rabu, dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan motif sebenar kejadian.

Tragedi Yang Wajar Jadi Amaran

Kes tragik ini membuka mata ramai pihak tentang isu keselamatan sekolah, kesihatan mental remaja, dan empati sosial dalam kalangan pelajar.

Pakar psikologi menyarankan agar pihak sekolah dan ibu bapa lebih peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar, terutama yang menunjukkan tanda tekanan atau kemarahan ekstrem.

“Cukuplah Anak Saya Jadi Mangsa”

Mengakhiri sidang media, Lee Ping menyeru agar tragedi seperti ini tidak berulang dan dijadikan pengajaran untuk semua pihak.

“Cukuplah anak saya jadi mangsa. Jangan biarkan perkara ini terjadi lagi kepada anak orang lain,” katanya perlahan.

Remaja, Tolong Jaga Diri & Cari Bantuan Jika Perlu

Majalah Remaja menyeru semua pelajar dan remaja yang sedang berdepan tekanan emosi, marah atau perasaan tertekan supaya tidak memendam rasa sendirian.

Bantuan profesional tersedia melalui talian berikut:

  • Talian HEAL KKM: 15555
  • Befrienders KL: 03-7627 2929 (24 jam, percuma dan rahsia)

Sumber : Sinar Harian

Published by
Nana