
Pelakon Hollywood terkenal, Tom Cruise baru-baru ini dilaporkan telah berpindah keluar dari kediaman mewahnya di London susulan kebimbangan terhadap tahap keselamatan yang semakin meruncing di kawasan tersebut.
Memetik laporan The Daily Express, keputusan itu dibuat selepas insiden rompakan ganas yang berlaku berhampiran kediamannya di kawasan eksklusif Knightsbridge, sekaligus mencetuskan kebimbangan serius mengenai keselamatan peribadi aktor popular itu.
Dalam pada itu, menurut laporan yang sama, pelakon berusia 63 tahun berkenaan bertindak meninggalkan kawasan berprestij tersebut susulan kejadian rompakan pada waktu siang di Bucherer Rolex Boutique yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Dalam kejadian berkenaan, sekumpulan geng motosikal dilaporkan menyerbu premis berkenaan dengan menggunakan parang untuk menghalang kakitangan keselamatan sebelum memecahkan kaca kalis pecah menggunakan tukul dan peralatan khas.
Difahamkan, serbuan yang hanya mengambil masa sekitar tiga minit itu menyaksikan kira-kira 20 jam tangan mewah berjaya dilarikan sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.
Sumber yang dipetik oleh Daily Express berkata, insiden tersebut mengukuhkan kepercayaan Tom Cruise bahawa tahap keselamatan di Knightsbridge semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menerusi laporan sama turut mendakwa kakitangan dilihat mengeluarkan beberapa kotak dari kediaman mewah berkenaan sejurus selepas pemergian mendadak bintang Mission: Impossible itu.
Untuk rekod, kawasan Knightsbridge dan Belgravia sememangnya sering berdepan dengan kes jenayah melibatkan motosikal atau moped, dengan data Polis Metropolitan merekodkan sebanyak 295 jenayah di kedua-dua kawasan itu pada November 2025.
Sumber: Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.