
Bintang terkenal yang popular menerusi ‘The Rocky Horror Picture Show’, Tim Curry baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia pada usia 80 tahun. Pemergian pelakon kelahiran England itu sekaligus menutup tirai perjalanan seni beliau sebagai seorang figura ikonik yang cukup sinonim dengan watak-watak eksentrik, flamboyan dan penjahat berkarisma dalam dunia filem, televisyen serta teater.
Menerusi sebuah kenyataan yang dikongsikan oleh publisiti Sean Katz bagi pihak pengurus serta sahabat lamanya, Marcia Hurwitz, Curry atau pemilik nama sebenar Timothy James Curry dilaporkan menghembuskan nafas terakhir secara aman di kediamannya di Toluca Lake, Los Angeles pada Selasa. Kenyataan tersebut turut mengenang peribadi mendiang sebagai seorang insan yang memiliki pemikiran luas, sifat ingin tahu yang tinggi serta hati yang pemurah dan lembut sehingga ke penghujung hayatnya.
Pada masa sama, Jabatan Polis Los Angeles memaklumkan pihak berkuasa menerima laporan siasatan kematian membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 80-an di sebuah alamat di Los Angeles sekitar jam 11.20 malam waktu tempatan. Jabatan Bomba Los Angeles juga mengesahkan pasukan kecemasan telah dikerahkan ke lokasi berkenaan lebih awal susulan satu insiden perubatan, sebelum individu terbabit disahkan meninggal dunia.
Dilahirkan pada 19 April 1946 di Grappenhall, England, beliau mula membina impian sebagai seorang pelakon selepas berpindah ke London bersama keluarganya. Selepas menamatkan pengajian dalam bidang teater pada 1968, Curry memulakan kerjaya profesional menerusi produksi muzikal Hair sebelum mendapat peluang yang mengubah keseluruhan perjalanan seninya apabila dipilih oleh Richard O’Brien untuk membintangi ‘The Rocky Horror Show’ pada 1973.
Watak Dr. Frank-N-Furter kemudiannya menjadi simbol terbesar kerjayanya apabila pementasan tersebut diadaptasi menjadi filem ‘The Rocky Horror Picture Show’ pada 1975. Meskipun filem itu tidak mencatat kejayaan besar pada peringkat awal tayangannya, karya berkenaan akhirnya berkembang sebagai fenomena budaya pop global dan menjadikan penampilan Curry sebagai antara yang paling ikonik dalam sejarah filem kultus.
Selain itu, Curry turut meninggalkan impak menerusi pelbagai watak lain termasuk Lord of Darkness dalam Legend, Wadsworth dalam Clue dan Pennywise dalam miniseri IT pada 1990. Keupayaannya membawa karakter yang unik dan luar biasa membuatkan beliau kekal dikenang oleh peminat merentasi beberapa generasi, manakala rakan-rakan dalam industri turut memberi penghormatan atas keberanian serta keaslian yang dibawanya sepanjang berada dalam dunia seni.
Pemergiannya kini meninggalkan kekosongan besar dalam industri hiburan, namun legasi Tim Curry pastinya akan terus hidup menerusi karya-karya yang pernah dibintanginya. Seperti yang pernah diluahkan pelakon Carol Burnett mengenai sahabatnya itu, “Tiada siapa yang mampu melakonkan watak penjahat yang disayangi penonton sebaik Tim Curry,” satu penghormatan yang cukup menggambarkan keunikan seorang pelakon yang sukar dicari ganti.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.