Hiburan

Khairul Aming Kongsi Detik ‘Battle’ Tiket F1, Netizen Berseloroh “Haa Rasakan, Itulah Kami Rasa Selama Ini”

Share

Keterujaan peminat tempatan memburu tiket F1 turut dirasai personaliti media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming, yang berkongsi pengalamannya ‘battle’ tiket perlumbaan berprestij itu.

Menerusi perkongsian di Threads, Khairul Aming mendedahkan dia pada awalnya sudah menyertai queue untuk mendapatkan tiket F1, namun secara tidak sengaja terlelap ketika menunggu.

Apabila tersedar sekitar pukul 2 pagi, tiket yang diinginkannya sudah pun menunjukkan status ‘sold out’.

“Tadi queue tiket F1 pastu terlelap, tersedar dua pagi tengok-tengok semua dah sold out.”

Namun, Khairul Aming tidak terus berputus asa. Selepas melakukan refresh pada halaman jualan tiket selama kira-kira lima minit, dia mendapati tiket Main Grandstand tiba-tiba kembali tersedia.

Peluang itu terus disambar apabila dia berjaya memasukkan empat tiket ke dalam cart dan menyelesaikan pembelian.

Khairul Aming turut berkongsi tip kepada peminat lain supaya terus mencuba melakukan refresh walaupun tiket yang diinginkan sudah tertera sebagai habis dijual.

Menurutnya, tiket bagi kategori B Hillstand dan C Hillstand juga masih tersedia ketika dia membuat semakan berkenaan.

‘Battle’ tiket F1 buat netizen teringat Rembayung

Pengalaman Khairul Aming memburu tiket berkenaan ternyata mencuit hati netizen, lebih-lebih lagi apabila situasi itu dianggap tidak jauh berbeza dengan pengalaman mereka sendiri ketika cuba mendapatkan slot tempahan di restoran miliknya, Rembayung.

Disebabkan permintaan yang tinggi, pengalaman menunggu dan melihat slot yang diinginkan tidak lagi tersedia menjadi bahan gurauan dalam ruangan komen.

Perkongsian Khairul Aming itu turut mengundang reaksi lucu netizen yang mengambil kesempatan mengusiknya mengenai pengalaman mendapatkan slot tempahan Rembayung.

Ada yang berseloroh bahawa situasi ‘battle’ tiket F1 itu sama seperti pengalaman mereka cuba mendapatkan slot restoran berkenaan.

“Macam tulah saya nak battle Rembayung, pastu tup tap takde slot dah bang.”

Seorang lagi meninggalkan komen:

“Rasakannnnnn. Itulah apa yang kami rasa selama ini.”

Malah, ada yang mendakwa mereka lebih mudah mendapatkan tiket perlumbaan berprestij berkenaan berbanding slot restoran tersebut.

“Senang lagi dapat tiket F1 dari slot Rembayung. Sampai sekarang tak dapat slot.”

Apa pun, daripada tertidur ketika queue sehingga akhirnya berjaya mendapatkan empat tiket Main Grandstand, nasib ternyata menyebelahi Khairul Aming.

Dan kalau paparan ‘sold out’ muncul ketika memburu tiket F1, mungkin petua Khairul Aming boleh dicuba  jangan terus mengalah, refresh dulu.

Pengalamannya turut menunjukkan bahawa paparan ‘sold out’ tidak semestinya menjadi penamat kepada usaha mendapatkan tiket. Dalam kes Khairul Aming, tindakan melakukan refresh beberapa kali akhirnya membuka peluang untuknya menyelesaikan pembelian.

Tiket F1 serendah RM200 jadi buruan

Dalam pada itu, keterujaan terhadap tiket F1 semakin hangat apabila senarai harga yang didakwa bocor dalam talian menunjukkan peminat tempatan mungkin berpeluang menyaksikan perlumbaan tersebut di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan harga serendah RM200.

Berdasarkan grafik yang tersebar, tiket tiga hari bagi acara yang dinamakan Formula One Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) di Sepang, dari 2 hingga 4 Oktober, didakwa bermula RM200 bagi kategori Hillstand G.

Hillstand berkenaan dikatakan menawarkan pandangan ke arah selekoh 4, 5 dan 6, selain harga tersebut didakwa khusus untuk pemegang MyKad.

Harga berkenaan pastinya menjadi perhatian peminat tempatan, terutama mereka yang mahu merasai sendiri pengalaman menyaksikan perlumbaan F1 dari litar sekiranya acara tersebut benar-benar berlangsung seperti yang diperkatakan.

Bagaimanapun, harga serta butiran berkenaan masih belum disahkan secara rasmi oleh SIC atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Peminat dinasihatkan menunggu pengumuman rasmi dan mendapatkan tiket melalui saluran yang sah sebelum membuat sebarang pembelian.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy