‘Tidur Awal, Subuh Di Masjid…’ – Alif Satar Kongsi Rutin Pagi Bawa Ketenangan Hidup

Share

Dalam dunia hari ini yang serba sibuk dan sentiasa bergerak pantas, ramai anak muda mudah terleka dengan rutin harian sehingga mengabaikan aspek spiritual yang sebenarnya memberi kekuatan dalaman. Bagi penyanyi dan pengacara terkenal, Alif Satar, perubahan besar dalam hidupnya berlaku apabila beliau mula mengamalkan rutin tidur awal dan bangun Subuh untuk ke masjid.

Menerusi satu perkongsian di platform Threads, Alif, 35, menyeru orang ramai khususnya umat Islam agar mengutamakan amalan bangun awal dan menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid. Menurutnya, ia bukan sahaja memberi ketenangan jiwa, malah menjadikan hari lebih teratur dan produktif.

Bermula Dengan Niat, Penuh Dengan Ganjaran

“Tidur awal, esok pukul 5 pagi kau nak bangun Subuh di masjid. Setiap langkah kau ambil bermula daripada kau bangun dari katil itu ada pahala,” jelas Alif.

Bagi beliau, seawal niat untuk bangun ke masjid, setiap tindakan yang dilakukan mendapat ganjaran pahala. Ini termasuk bangun dari tempat tidur, mengambil wuduk, melangkah ke masjid dan menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Solat Tahajud & Doa Seawal Pagi

Sebelum berangkat ke masjid, Alif turut mengamalkan solat tahajud. Baginya, waktu malam yang sunyi adalah saat terbaik untuk bermunajat dan mendekatkan diri kepada Allah.

“Sebelum gerak, tahajud dulu. Doa waktu itu seperti panah yang tidak tersasar daripada sasarannya,” katanya.

Amalan ini bukan sahaja menguatkan hubungan spiritual, tetapi membantu menenangkan fikiran dan membina kekuatan jiwa untuk menghadapi cabaran harian.

Sedekah – Kecil Nilainya, Besar Kesan Dalam Hidup

Dalam perkongsiannya, Alif turut menyentuh tentang kepentingan bersedekah walaupun dengan nilai yang kecil. Katanya, amalan bersedekah seharusnya dilakukan secara konsisten, dan ianya mampu memberi kesan positif dalam hidup.

“Sedekah tabung masjid jangan lupa, seringgit pun tidak mengapa. Kau buatlah ini secara konsisten, lepas itu tengok apa yang jadi. Hidup berubah,” jelas pelantun lagu Jangan Nakal itu.

Udara Pagi, Jiwa Yang Lebih Damai

Menurut Alif lagi, suasana awal pagi di masjid memberi ketenangan yang sukar digambarkan. Menghirup udara segar Subuh, melihat langit yang masih gelap namun diterangi cahaya bulan – semuanya memberi kesan yang mendalam dalam hati.

“Kau sampai masjid, kau hirup udara segar, rasa tenang je. Langit masih gelap, tapi cerah cahaya bulan,” katanya.

Perkongsian Alif Satar ini sebenarnya memberi inspirasi kepada anak muda yang sedang mencari arah dalam hidup. Dalam kesibukan belajar, bekerja atau membina kerjaya, aspek spiritual sering kali terabai. Namun apabila amalan seperti solat Subuh di masjid, tahajud dan sedekah dijadikan rutin harian, ia mampu membentuk disiplin, kekuatan jiwa dan ketenangan minda.

Mulakan dengan langkah mudah dengan tidur awal, bangun awal, dan cuba konsisten untuk ke masjid. Kecil di mata manusia, besar di sisi Allah dan besar kesannya dalam hidup kita sendiri.

BACA LAGI : Masjid Tawar Hadiah Bagi Jemaah Lagi, Ganjaran Wang Tunai Bawa Keluarga Solat Subuh

Sumber: Threads

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Nana