Berita

Tiada Unsur Pilih Kasih, Produksi PGLM Tampil Jelaskan Proses Pemilihan Pelakon

Share

Pihak produksi teater muzikal Puteri Gunung Ledang menegaskan semua pelakon dipilih secara adil menerusi sesi uji bakat profesional.

Pihak produksi teater muzikal Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) menegaskan tiada elemen pilih kasih dalam proses pemilihan pelakon bagi setiap watak yang bakal dipentaskan.

Dakwaan Ketirisan Jadi Perhatian

Menjawab dakwaan segelintir pihak yang mendakwa berlaku ketirisan dalam pemilihan pelakon, pihak produksi menjelaskan bahawa semua peserta telah menjalani sesi uji bakat sebelum dipilih berdasarkan pelbagai aspek penilaian.

“Kami ingin tegaskan bahawa tiada pilih kasih atau favoritisme dalam proses ini.

“Semua peserta dinilai secara adil oleh juri profesional berdasarkan pelbagai aspek,” katanya menerusi satu komen balas kepada seorang pengguna di Threads.

Menurut pihak produksi lagi, setiap karakter dalam pementasan itu mempunyai kekuatan tersendiri bagi menjayakan teater muzikal berkenaan yang dijangka berlangsung pada Oktober depan.

“Watak-watak PGL juga membawa harapan dan ekspektasi yang sangat besar, jadi setiap keputusan dibuat dengan penuh teliti serta tanggungjawab.

“Kami amat menghargai usaha setiap individu yang hadir ke sesi uji bakat,” katanya lagi.

Isu Timbul Selepas Mila Mohsin Dipilih

Difahamkan, dakwaan mengenai ketidaktelusan dalam pemilihan pelakon mula tercetus selepas Mila Mohsin yang juga anak kepada Tiara Jacquelina dipilih memegang watak Puteri Gunung Ledang.

Barisan Pelakon PGLM Turut Diumumkan

Terdahulu, pihak produksi turut mengumumkan Aqasha bakal membawa watak Hang Tuah, bergandingan bersama dua pelakon utama Puteri Gunung Ledang iaitu Aisha Retno dan Mila.

Sementara itu, Luqman Hafidz diumumkan sebagai Sultan Melaka manakala Yusuf Hashim pula memegang watak Gusti Adipati.

Dalam pada itu, Mimi Fly dan Nadia Aqilah bakal membawakan watak Bayan bagi pementasan kali ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram

Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath