![Untitled design - 2020-04-06T121123.118](https://www.remaja.my/wp-content/uploads/2020/04/Untitled-design-2020-04-06T121123.118-696x374.jpg)
Sejak bermula PKP pada 18 Mac lalu, hanya kedai-kedai yang tersenarai sebagai ‘essential services‘ sahaja dibenarkan beroperasi mengikut ketetapan yang dibuat pihak berkuasa.
Habis macam mana pula kalau benda yang diingini berlaku di rumah macam paip pecah, mentol lampu terbakar dan sebagainya?
Terbaru, selaras dengan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), beberapa perkhidmatan dan perniagaan dibenarkan beroperasi dua kali seminggu sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut sebuah kenyataan oleh Berita Harian, Majlis Keselamatan Negara telah memberi kebenaran kepada beberapa jenis premis perniagaan seperti kedai perkakasan yang menjual baja dan alat pertukangan dua hari seminggu akan membolehkan masyarakat memanfaatkan aktiviti produktif bersama keluarga di rumah.
Bagi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohamad Zain A Hamid, kebenaran sedemikian akan menggalakkan orang awam di daerah itu mematuhi arahan dengan berada di rumah sambil melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga.
“Ini adalah kelonggaran bagi orang awam mendapatkan apa juga keperluan di kedai berkenaan supaya dapat menjalankan aktiviti di rumah.
Perkhidmatan atau perniagaan yang dibenarkan ialah :
- Kedai Baja / Racun
- Kedai Perkakasan (hardware)
- Kedai Menjual Makanan Haiwan
- Kedai Menjual Alat Ganti Kenderaan
Menurutnya, keputusan itu selaras dengan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Perniagaan ini dibenarkan beroperasi dua hari seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis antara jam 8 pagi hingga 4 petang bermula hari ini iaitu 6 April 2020.
Sumber : Berita Harian, Majlis Bandaraya Shah Alam
Prihatin Terhadap Iqram Dinzly, Mufti Wilayah Persekutuan Utuskan Surat Terbuka Untuknya Di Facebook
![Prihatin Terhadap Iqram Dinzly, Mufti Wilayah Persekutuan Utuskan Surat Terbuka Untuknya Di Facebook](https://cdn.remaja.my/2017/12/MAIN-2.jpg)
Sejak kebelakangan ini, nama Iqram Dinzly sentiasa menjadi sebutan para netizen di laman media sosial terutamanya di Instagram, Facebook dan Twitter. Ramai peminat, rakan artis serta masyarakat amnya cukup risau dengan apa yang dilihat mereka mungkin petanda Ikram Dinzly berdepan masalah kemurungan.
Apatah lagi golongan remaja di laman sosial kini sedang sibuk membicarakan tentang kesihatan mental, stres serta kemurungan melampau yang dilihat menjadi ancaman terutama kepada generasi muda. Masih panas dengan kisah kematian Jonghyun SHINEE yang mati bunuh diri akibat kemurungan yang tular baru-baru ini, jadi tidak hairanlah ramai yang risau dengan Iqram Dinzly.
Rentetan video live yang dikongsikan olehnya di Instagram membuatkan ramai tertanya-tanya adakah Iqram berdepan dengan masalah kemurungan. Dan Remaja cukup berbangga kerana ramai pihak terutama dari rakan artis, media serta masyarakat umumnya memberikan kata-kata semangat positif kepadanya.
Pada hari ini pula, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut melahirkan rasa prihatinnya. Menerusi laman Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli telah menulis surat terbuka kepada Iqram Dinzly.
Menerusi surat terbuka tersebut beliau pada mulanya melahirkan ucapan takziah buat keluarga Iqram yang kehilangan ayahnya baru-baru ini. Ia diikuti dengan nasihat untuk Iqram agar mengabaikan kata-kata cemuhan dan makian daripada netizen dan sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran.
Pada pengkakhiran surat tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan turut berbesar hati menjemput Iqram Dinzly hadir menemuinya di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk bertemu dan mengenali lebih lanjut serta bertukar-tukar pandangan, pendapat serta bersedia mendengar apa jua keluhan.
Keprihatinan yang ditunjukkan oleh Mufti Wliayah Persekutuan terhadap Iqram Dinzly cukup menyentuh perasaan kami di Remaja. Sebagai antara ikon institusi agama, keterbukaan ini membuatkan golongan muda akan berada lebih dekat. Kepada rakan-rakan Remaja yang berdepan dengan apa jua masalah kemurungan, janganlah segan untuk dapatkanlah bantuan. Dan jika kamu sebagai kawan mendapati ada rakan yang berdepan masalah janganlah menjauhi mereka.
Berikut merupakan surat terbuka penuh yang dipetik dari Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.
SURAT TERBUKA KEPADA SAUDARA IQRAM DINZLY
السَّلامُ عَلَيْكُم ورَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاتُهُ
Salam perkenalan kepada saudara yang kami kasihi, Iqram Dinzly.
Baru-baru ini kami terbaca laporan akhbar, juga kisah-kisah di media sosial berkenaan kehidupan saudara kini. Pertamanya, kami ingin ucapkan takziah atas pemergian papa tercinta, almarhum Muhammad Saipuddin Ahmad Said. Semoga Allah menghimpunkannya bersama-sama dengan orang yang soleh. Kami percaya, saudara Iqram dan mama, amat tabah menghadapi ujian ini. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Iqram sekeluarga. Kami juga yakin, Iqram mampu menjaga mama dengan sebaiknya setelah pemergian papa yang dikasihi
Berkenaan hal-hal yang berlegar di media sosial, kami mengambil sikap berkecuali kerana kami tidak tahu keadaan yang sebenar. Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum akan cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap saudara. Nasihat kami, cemuhan-cemuhan berkenaan tidak perlu dipedulikan dan diambil perhatian kerana sejujurnya ia akan lebih memberikan tekanan kepada saudara.
Dalam pada itu, kami nasihatkan saudara supaya mendekati al-Qur’an, begitu juga zikir-zikir. Kami ada menonton beberapa LV saudara yang menunjukkan saudara adalah seorang yang melazimi zikir. Itu adalah hal yang amat baik kerana hanyasanya dengan mengingati Allah SWT, jiwa akan menjadi tenang.
Akhir kalam, kami menjemput saudara Iqram untuk hadir ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk kita lebih mengenali antara satu sama lain, juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan saudara. Mungkin ada sisi-sisi tertentu yang boleh kami usahakan untuk bantuan dan sokongan. Boleh hubungi kami melalui Twitter @drzul_albakri atau Instagram @drzulkifli.albakri
Semoga Allah memberikan ketabahan kepada saudara dalam menempuh ranjau kehidupan dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Amin.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Rabu, 27 Disember 2017 bersamaan 8 Rabi’ul Akhir 1439H
3.08 petang.
Bekas Guru Lakar Sejarah, Draupadi Murmu Wanita Kedua Pegang Jawatan Presiden India
![Bekas Guru Lakar Sejarah, Draupadi Murmu Wanita Kedua Pegang Jawatan Presiden India](https://cdn.remaja.my/2022/07/Untitled-design-2022-07-26T141220.535.jpg)
Kaum wanita telah membuktikan bahawa tidak ada perkara yang mustahil untuk mereka memegang jawatan orang nombor satu negara dan mentadbir negara. Bukan hanya lelaki, wanita juga layak untuk menjadi Perdana Menteri atau pun Presiden bagi sesebuah negara.
ARTIKEL BERKAITAN : Pertama Dalam Sejarah Gadis Muslima Dipilih Jadi Presiden Mahasiswa Di Yale University
![Bekas Guru Lakar Sejarah, Draupadi Murmu Wanita Kedua Pegang Jawatan Presiden India](https://cdn.remaja.my/2022/07/draupadi-murmu-kundali-1656673528.jpg)
Baru-baru ini, Draupadi Murmu muncul sebagai presiden wanita kedua negara India menggantikan Ram Nath Kovind, 76, yang tamat penggal lima tahunnya.
Menariknya, wanita berusia 64 tahun itu turut mencatat sejarah apabila muncul sebagai wanita pertama daripada suku minoriti Santhal yang dilantik sebagai presiden ke-15 India. Bukan setakat itu sahaja, anak kelahiran negeri Odisha juga merupakan wanita kedua selepas Pratibha Patil yang memegang jawatan tertinggi negara tersebut.
Tidak seperti jawatan perdana menteri yang dilantik terus oleh rakyat sebagai ahli Parlimen, presiden India pula sebaliknya. Calon bagi jawatan itu akan dilantik secara tidak langsung menerusi undi elektoral. Ia membabitkan undian daripada 776 ahli Parlimen termasuk 4,033 ahli 28 Dewan Undangan Negeri dan Majlis Wilayah yang ditadbir pusat.
Pada Jun 2022, Bharatiya Janata Party tampil mencalonkan Draupadi sebagai calon presiden National Democratic Alliance untuk pilihan raya tahun 2022 usai beliau menewaskan calon pembangkang Yashwant Sinha, 84.
Beliau kemudiannya terpilih sebagai presiden pada Julai 2022, sekali gus muncul sebagai presiden termuda negara itu dan yang pertama dilahirkan selepas kemerdekaan India pada tahun 1974.
PRESTASI HEBAT
Menyorot tentang salasilah kerjayanya, Draupadi yang lahir pada 20 Jun 1958 memulakan kerjaya sebagai guru terlebih dulu. Kemudian, beliau bekerja sebagai seorang pembantu rendah di Jabatan Pengairan dan Tenaga Negeri dari 1979 hingga 1983.
![Bekas Guru Lakar Sejarah, Draupadi Murmu Wanita Kedua Pegang Jawatan Presiden India](https://cdn.remaja.my/2022/07/7-8.jpg)
Setelah itu, wanita berkenaan bertugas sekali lagi sebagai guru di Pusat Pendidikan Integrasi Sri Aurobindo di Rairangpur hingga tahun 1997. Daripada seorang pendidik, beliau mendapat kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Gabenor Jharkhand ke-9 dari tahun 2015 dan 2021.
Sebelum itu, Draupadi memegang pelbagai portfolio dalam kabinet Kerajaan Odisha antara tahun 2000 dan 2004.
“Beliau mempunyai tempoh yang sangat baik sebagai Gabenor Jharkhand. Saya pasti beliau akan menjadi presiden yang cemerlang, memimpin India terus maju ke hadapan dan mengukuhkan perjalanan pembangunan India.” Demikian kata-kata yang diungkapkan Perdana Menteri Narendra Modi kepada figura yang sedang hangat diperkatakan di India kini.
DRAUPADI BUKAN NAMA SEBENAR
Dalam satu temu bual bersama majalah Odia, Presiden India baharu itu mendedahkan bahawa Draupadi bukanlah nama beliau yang sebenar, sebaliknya diberikan oleh seorang guru dari daerah lain.
Nama keluarganya, Santhali telah ditukar kepada Droupadi.
“Cikgu tersebut tidak suka nama saya sebelum ini dan menukarnya,” jelasnya ketika ditanya kenapa beliau dipanggil Droupadi, nama yang serupa dengan watak Mahabharata.
Beliau turut memberitahu, namanya juga telah ditukar beberapa kali daripada ‘Durpadi’ kepada ‘Dorpdi’.
Setelah berkahwin dengan Shyam Charan Tudu yang merupakan seorang pegawai bank, Droupadi mula menggunakan gelaran Murmu.
Ha, amacam… Power kan? Bermula dari seorang pendidik beliau mampu menyandang jawatan tertinggi. Teringat pula penulis dengan filem di Netflix ‘Gangubai Kathiawadi’ yang pernah viral sebelum ini.
Ha, amacam? Power kan?
Sumber : Times of India
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
“Adik Sepatutnya Ada Majlis Konvo Tapi Hingga Kini Hilang, Abang Rayu Cari Adik
![“Adik Sepatutnya Ada Majlis Konvo Tapi Hingga Kini Hilang, Abang Rayu Cari Adik](https://cdn.remaja.my/2018/10/Hanya-barangan-ini-ditemui-sementara-iPhone-dan-beg-duitnya-dicuri-orang-1.jpg)
Tiga hari lalu berlaku satu kemalangan maut melibatkan sebuah kereta dan tiga buah lori di Kilometer 14.5 di Lebuhraya NKVE arah Subang ke Damansara. Dua orang maut dan tujuh cedera dalam kejadian sekitar jam 4.00 pagi ketika hujan lebat itu.
Namun di sebalik kemalangan maut itu, seorang abang, Khairul Anuar bin Mohd Razali, 27 tahun merayu orang ramai agar mencari adiknya, Amir Hamzah Mohd Razali, 21 tahun yang turut hilang selepas membantu mangsa kemalangan tersebut.
Masuk ke hari ini, sudah empat hari adiknya itu hilang dan pencarian masih diteruskan.
![“Adik Sepatutnya Ada Majlis Konvo Tapi Hingga Kini Hilang, Abang Rayu Cari Adik](https://cdn.remaja.my/2018/10/43878493_1875766699204060_9000268109533151232_n-1.jpg)
![“Adik Sepatutnya Ada Majlis Konvo Tapi Hingga Kini Hilang, Abang Rayu Cari Adik](https://cdn.remaja.my/2018/10/44098758_10212767041626208_4111565281858420736_n-600x385.jpg)
![“Adik Sepatutnya Ada Majlis Konvo Tapi Hingga Kini Hilang, Abang Rayu Cari Adik](https://cdn.remaja.my/2018/10/44086249_299163700916512_9009034502856507392_n.jpg)
Ketika dihubungi REMAJA sebentar tadi, Khairul menjelaskan kali terakhir dia berkomunikasi dengan adiknya melalui Whatsapp pada jam 3.01 pagi pada hari kejadian di mana adik menjelaskan dia sudah berada di Sungai Buloh dan berhenti rehat seketika kerana hari hujan.
“Adik sepatutnya datang ke rumah saya kerana pada 12 Oktober itu dia ada majlis konvokesyen di Cybernatic Internasional Kolej Technology. Dia mahu ke rumah saya di Shah Alam. Tapi lepas kami whatsapp jam 3.01 minit pagi itu, saya masuk tidur sebelum terjaga jam 7 pagi kerana dihubungi keluarga memaklumkan polis datang ke rumah memberitahu adik terlibat kemalangan. Saya cuba hubungi telefon bimbit adik tapi sudah ditutup,” katanya yang memaklumkan mereka sekeluarga risaukan situasi adiknya, sama ada masih selamat, tidak sedar atau sudah terjatuh ke dalam Sungai Kayu Ara di Damansara itu.
“Inilah tanda tanya dan persoalan dari kami sekeluarga. Mohon cari adik dan viralkan agar sama-sama dapat menjumpainya,’ katanya memaklumkan dia mendapat tahu berita ini selepas ibu bapanya di Pulau Pinang memaklumkan kehilangan Amir Hamzah selepas didatangi pihak polis.
![“Adik Sepatutnya Ada Majlis Konvo Tapi Hingga Kini Hilang, Abang Rayu Cari Adik](https://cdn.remaja.my/2018/10/44032277_299163734249842_6757150134150103040_n.jpg)
Tambah Khairul Anuar lagi, dia difahamkan, adiknya cuba membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya NKVE itu sekitar jam 4.00 pagi selepas melihat kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan yang di sebelahnya adalah sungai Kayu Ara.
“Saya dapat lihat pembahagi jalan itu sudah pecah dilanggar kereta. Selepas cuba membantu, secara tiba-tiba datang sebuah lori yang melanggar kenderaan terbabit sehingga memecahkan lagi pembahagi jalan itu.
“Awalnya, pihak polis tidak menyedari adik antara mangsanya kerana begnya (porch) ditemui pada jarak 10-15 meter dari lokasi kejadian. Beg duitnya hilang dan begitu juga telefon bimbit jenis iPhonenya. Lain-lain barang seperti kad rapid bas dan lain-lain kelihatan elok dengan porch itu sudah koyak sedikit. Kemungkinan begnya itu dicuri orang ramai yang mengerumuni lokasi dan kemudian mencampakkannya tidak jauh dari situ.Enjin motosikalnya masih hidup dan ditemui di lokasi kejadian.
“Apa yang ditemui di lokasi kejadian hanya motor dan helmetnya. Dari situ, pihak polis menjejaki keluarga saya di Pulau Pinang,” katanya yang kemudian bergegas membuat laporan kemalangan dan orang hilang di Balai Polis Petaling Jaya.
![“Adik Sepatutnya Ada Majlis Konvo Tapi Hingga Kini Hilang, Abang Rayu Cari Adik](https://cdn.remaja.my/2018/10/44037126_2118601348404801_5408027123233325056_n.jpg)
Apa yang membuatkan Khairul tertanya-tanya di mana adiknya sekarang kerana pencarian di semua hospital berdekatan termasuk Hospital Sungai Buloh, Hopsital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Shah Alam, Pusat Perubatan Universiti Malaya, PPHUKM Cheras dan sekitarnya menemui jalan buntu. Data pangkalan identiti unknown juga dibuat dan bayang adiknya tidak ditemui.
“Usaha mencarinya sedang diperluaskan di lokasi kejadian. Tak pasti sama ada diperluaskan di kawasan perangkap sampah kerana kawasan kemalangan itu di atas jambatan yang di bawahnya sungai.
“Kalau tengok pembahagi jalan itu sudah pecah dan berlubang dan ada kemungkinan ketika cuba mengeluarkan mangsa kemalangan itu, Amir terjatuh ke bawah selepas kereta itu dilanggar lori yang terbabas diikuti dua lagi lori akibat jalan licin dan hujan lebat. Semua ini membuatkan kami jadi tertanya-tanya bagaimana dengan nasib menimpa dirinya,” katanya mengharapkan bantuan orang ramai.
Bagi yang menemui adiknya walau dalam apa jua situasi boleh menghubunginya di talian 017-4105324 (Khairul).