Tiada Maaf, Rayhan Kabir Selamat Diusir Keluar Malaysia Malam Ini

Share

Setelah mencetuskan kontroversi menerusi penyiaran sebuah dokumentari terbitan Al Jazeera, lelaki warga Bangladesh iaitu Md Rayhan Kabir telah dihantar pulang pada 9 malam tadi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sekaligus, lelaki tersebut telah disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Bagaimanapun, penghantaran pulang itu dilaksanakan tanpa meletakkan sebarang pendakwaan terhadapnya.

ARTIKEL BERKAITAN : Siapa Sebenarnya Rayhan Kabir?

Terdahulu pada bulan lalu, Rayhan telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia apabila dia mendakwa pihak berkuasa tempatan telahpun bertindak tidak adil kepada warga asing menerusi dokumentari berjudul ‘Locked Up In Malaysia Lockdown’.

Ia telah mencemarkan imej negara yang didakwa mendiskriminasi warga asing ketika mengendalikan kes Covid-19.

Sebaik dokumentari itu disiarkan, Jabatan Imigresen Malaysia memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Rayhan untuk membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Namun proses penghantaran tidak semudah yang disangka. Dia hanya dibenarkan untuk pulang selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19.

Selain itu, proses penghantaran juga memerlukan dia menunggu penyediaan tiket penerbangan ke Bangladesh.

Untuk pengetahuan, Rayhan telah menyampaikan permohonan maaf sekiranya kenyataan beliau menerusi dokumentari tersebut menyakiti perasaan rakyat Malaysia dan kerajaan.

Namun ternyata, ia sudah terlambat memandangkan kenyataan yang diberikan kepada saluran antarabangsa semega Al-Jazeera telahpun disiarkan untuk tontonan sedunia.

 

IKLAN