Gaya Hidup

Tersesat Masa Mendaki? Ikuti Tip Paling Selamat Daripada Malim Gunung Ini Jika Hilang Arah

Share

Kisah pendaki tersesat di gunung atau hutan bukan lagi sesuatu hal baru dalam kalangan masyarakat, terutama bagi mereka yang aktif dengan aktiviti pendakian dan eksplorasi alam semula jadi.

Walaupun minat terhadap salah satu aktiviti lasak seperti ini semakin meningkat, risiko tersasar dari laluan asal masih menjadi perkara yang sentiasa membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kawasan hutan tebal dan trek yang mencabar.

Dalam beberapa kejadian sebelum ini, insiden sesat di hutan bukan sahaja berpunca daripada keadaan laluan yang kompleks, tetapi juga kerana kurangnya persediaan serta keputusan spontan ketika berada dalam situasi cemas. Hal ini menjadikan aspek pengetahuan asas keselamatan sebagai elemen penting sebelum seseorang melibatkan diri dalam aktiviti pendakian.

Kredit foto: Cek Ricek

Nah, apa kata sebelum korang mulakan apa sahaja aktiviti pendakian, jom ikuti beberapa tip yang dikongsikan oleh Pengerusi Persatuan Malim Gunung Hulu Selangor, Nor Azmi Mohd Roslan ini, supaya diri lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan!

Berhenti & Kenal Pasti Lokasi Terakhir

Menurut Nor Azmi, situasi pendaki tersesat selalunya berpunca daripada tindakan cuba mencari jalan keluar sendiri tanpa arah yang jelas, yang akhirnya boleh buat keadaan jadi lebih rumit. 

Jadi antara langkah paling penting ialah berhenti bergerak dan cuba ingat semula lokasi terakhir sebelum menyedari tersesat. Jika masih mampu mengenal pasti laluan asal, cuba kembali ke titik tersebut secara berhati-hati. Jika tidak pasti, kekal di satu lokasi adalah pilihan lebih selamat berbanding bergerak tanpa arah.

Isyarat Untuk Tarik Perhatian

Sebaiknya, bawalah beberapa barangan keselamatan semasa mendaki. Sebab, jika berada dalam keadaan terdesak, pendaki digalakkan menggunakan wisel, menjerit, menggoyangkan ranting, nyalakan suar atau mengetuk batang pokok bagi membantu pasukan pencari mengesan lokasi. Kaedah isyarat bunyi ini sangat membantu terutama di kawasan hutan tebal yang menyukarkan penglihatan.

Teknologi Lokasi Telefon

Sekiranya masih mempunyai liputan talian dan bateri mencukupi, gunakan fungsi perkongsian lokasi di WhatsApp atau dalam mana-mana aplikasi yang tersedia dalam telefon pintar korang.  Langkah ini sangat membantu dalam mempercepatkan usaha mengesan seseorang yang tersesat. Pada masa yang sama, penggunaan bateri telefon perlu dijimatkan serta dibawa bersama ‘powerbank’ sebagai langkah berjaga-jaga ketika berada di kawasan hutan.

Kawal Tenaga, Elak Pergerakan Berlebihan

Keletihan melampau boleh menyebabkan seseorang hilang fokus dan membuat keputusan tidak tepat. Apabila terlalu letih, pendaki cenderung berjalan tanpa arah yang jelas. Oleh itu, tenaga perlu dikawal dan pergerakan agresif perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko dehidrasi.

Fahami Risiko Persekitaran & Kesihatan

Selain keletihan, pendaki juga berdepan risiko seperti dehidrasi, hipotermia dan kecederaan akibat jatuh. Bentuk muka bumi yang tidak dikenali boleh menyebabkan insiden seperti tersadung akar atau jatuh ke kawasan curam, manakala cuaca sejuk pula boleh menurunkan suhu badan dengan cepat.

Di samping itu, Nor Azmi turut menasihatkan agar pendaki sentiasa peka terhadap keadaan ahli kumpulan masing-masing, termasuk perubahan pada pernafasan dan tahap keletihan. Hal ini penting bagi mengelakkan situasi menjadi lebih kritikal tanpa disedari.

Kredit foto: Jelajah Sultra

Tegasnya, persediaan awal sebelum mendaki tidak boleh diambil ringan. Pendaki perlu membuat kajian tentang tahap kesukaran trek, memastikan kecergasan berada pada tahap sesuai serta membawa peralatan asas mencukupi seperti lampu suluh, makanan dan air tambahan.

Menutup perkongsian ini, jelas bahawa keselamatan ketika mendaki banyak bergantung kepada disiplin diri dan persediaan awal. Setiap pendaki perlu lebih peka terhadap risiko alam semula jadi dan tidak mengambil mudah aspek keselamatan, kerana sedikit kecuaian boleh membawa kesan yang besar di kawasan hutan dan gunung.

Sumber: Astro Awani

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE