Terkejut Video Pertumpahan Darah Di Hospital Taiping Tular, Lah! Rupanya ‘Olok-Olok’

Share

 

Tular di media sosial video dan imej yang menunjukkan adegan pergaduhan sehingga mengakibatkan pertumpahan darah di Hospital Taiping. Kejadian yang dirakam dan dimuat naik itu kemudiannya bertukar tular setelah warganet terkejut ia berlaku di kawasan awam seperti hospital.

Begitupun pada hari ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Supreintenden Razlam Ab Hamid telah menjernihkan keadaan dan mendedahkan bahawa adegan tular itu hanyalah latihan simulasi kebakaran sahaja.

Latihan dari jam 11-50 pagi hingga 1 tengah hari itu dianjurkan oleh Hospital Taiping dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Taiping sebagai stau bentuk pendedahan terhadap warga hospital sekiranya berlaku bencana.

Turut dipertontonkan di lokasi Jabatan Diatetik & Sajian Hospital Taiping adalah kaedah mencegah dan langkah-langkah yang perlu diambil semasa berhadapan kebakaran pada masa akan datang.

Setelah ia mula tersebar di platform Facebook, orang ramai nyata tertarik untuk menonton habis simulasi realistik yang dirakam sehinggakan ramai yang pada awalnya percaya ia merupakan pergaduhan sebenar membabitkan tukang masak di Hospital Taiping.

Selain itu, ada juga video lain daripada simulasi sama yang memaparkan seorang lelaki ditusuk pisau pada bahagian dada kanan dan seorang lagi lelaki yang melecur seakan disiram minyak masak panas.

Tambah realistik apabila ‘mangsa kejadian’ dibawa menaiki pengusung ke arah ambulans oleh petugas perubatan.

Lah, rupanya ia hanyalah simulasi untuk memastikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersiap-sedia jika perlu berdepan bencana seperti kebakaran dan lain-lain.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

IKLAN