Bukan sahaja warga tempatan, malah rakyat negara Asia, Jepun juga terkesima dengan karya seni animasi terbaharu oleh produksi Animonsta Studios, Mechamato.

Animasi itu turut menjadi pilihan ibu bapa di Jepun kerana tiada sebarang unsur negatif terhadap kanak-kanak yang dipaparkan sepanjang filem tersebut.

Menerusi hantaran di laman TikTok (@boboiboy), beberapa orang rakyat Jepun termasuklah golongan dewasa dan kanak-kanak jelas memberikan maklum balas positif terhadap filem animasi Mechamato yang ditayangkan di negara itu.

@boboiboy Mechamato Movie (Dubbing Bahasa Jepun) bakal ditayangkan di MALAYSIA mulai 25 January ini! 🇯🇵🇲🇾 #Mechamato #MechamatoMovie #メカアマト #メカアマトムービー ♬ original sound – MONSTA

Menurut seorang wanita, babak permulaan filem yang menyaksikan adegan pertemuan robot MechaBot dan Amato membuatkannya berasa sebak sehingga menitiskan air mata.

“Saya mengalirkan air mata, ia agak memalukan. Saya mahu menonton Mechamato sebanyak dua ke tiga kali selepas ini. Ia adalah filem yang sangat menyeronokkan,” ujarnya dalam satu temu bual.

Filem Mechamato versi Jepun mula ditayangkan seminggu selepas kemunculan pertama di teater Jepun iaitu pada 19 Januari. 

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakyat Malaysia berbangga dengan hasil karya seni filem animasi tempatan yang berjaya menambat hati warga Jepun.

“Lihat keterujaan kanak-kanak dari negara luar tentang filem animasi Malaysia merupakan detik yang harus dibanggakan,” kata seorang warganet.

Bukan itu sahaja, beberapa individu dilihat mengucapkan tahniah kepada Animonsta Studios atas kejayaan mereka menghasilkan karya yang disenangi ramai.

“Bukan mudah untuk jadikan kartun lokal kita sebagai sebahagian animasi kegemaran zaman kanak-kanak orang negara ‘anime’ ini. Tahniah Monsta,” ujar seorang netizen.

Siri Mechamato yang ditayangkan di saluran televisyen kebangsaan Jepun, Tokyo MX, merupakan animasi Malaysia pertama menembusi pasaran negara tersebut.

Mechamato Movie telah ditayangkan di Malaysia buat pertama kali pada tahun 2022 dan telah berjaya mendapatkan kutipan kasar sebanyak RM36 juta.