Berita

“Terbanglah Lebih Tinggi” -Fasha Sandha Bangga Lihat Bakat Lakonan Sharmaine Alexander Semakin Menyerlah

Share

Bukan sekadar bergandingan di hadapan kamera, malah hubungan mesra antara pelakon senior dan pendatang baharu turut mencuri perhatian ramai.

Pelakon terkenal, Fasha Sandha baru-baru ini tidak lokek meluahkan rasa bangga terhadap bakat lakonan bekas peserta Dewi Remaja 2025, Sharmaine Alexander, yang disifatkan berjaya menggalas watak mencabar menerusi drama terbaharu, Kasih Yang Terkorban.

Babak Emosi Jadi Cabaran Buat Kedua-Dua Pelakon

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Fasha memuat naik momen di sebalik tabir penggambaran yang memaparkan babak emosional membabitkan dirinya dan Sharmaine.

Menurut pelakon berusia 41 tahun itu, babak berkenaan memerlukan mereka menghayati emosi yang cukup berat sehingga kedua-duanya perlu menangis.

“Behind the scene. Momen buat babak berat. Nangis-nangis,” tulisnya.

Bangga Lihat Perjalanan Sharmaine Dari Dewi Remaja Ke Dunia Lakonan

Dalam perkongsian sama, Fasha turut meluahkan rasa bangga melihat perkembangan Sharmaine yang kini semakin menyerlah sebagai pelakon.

Baginya, perjalanan Sharmaine daripada pentas pertandingan Dewi Remaja ke dunia lakonan membuktikan bahawa bakat yang digilap dengan usaha dan dedikasi mampu membawa seseorang lebih jauh.

“Daripada pentas pertandingan Dewi Remaja ke dunia lakonan, awak telah membuktikan bahawa bakat, dedikasi dan kerja keras sememangnya mampu menyerlah.

“Saya sayang awak anak mama. Terbanglah lebih tinggi dan nikmati setiap detik perjalanan ini,” katanya.

Sharmaine Akui Banyak Belajar Daripada Fasha

Perkongsian itu turut mendapat perhatian Sharmaine yang membalas ucapan tersebut di ruangan komen.

Menurutnya, sepanjang menjalani penggambaran drama

Kasih Yang Terkorban, Fasha banyak membimbingnya terutama ketika menjayakan babak yang mencabar dari segi emosi.

“Terima kasih mama kerana membimbing saya.

“Itu babak paling berat untuk Sara, tetapi mama bimbing saya langkah demi langkah sepanjang penggambaran.

“Mama sangat terbaik sampai saya takut tak mampu ikut momentum lakonan mama. Terima kasih sebab sabar walaupun saya masih banyak yang perlu belajar,” balasnya.

Bakal Temui Penonton Julai Ini

Untuk rekod, drama Kasih Yang Terkorban

bakal menemui penonton menerusi saluran Astro dengan tayangan perdana di Slot Tiara, Astro Prima bermula 13 Julai 2026.

Nampaknya, gandingan Fasha Sandha dan Sharmaine Alexander pasti menjadi antara tarikan utama drama ini, lebih-lebih lagi selepas perkongsian di sebalik tabir yang memperlihatkan keserasian mereka sepanjang penggambaran.

:::writing

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath