
“Satu negara haram yang betul-betul jahat dan brutal.”
Begitulah luahan hati aktivis kemanusiaan dan selebriti, Heliza Helmi sewaktu ditemu bual bersama-sama adiknya, Hazwani Helmi dengan rakan media Astro Awani yang berada di Istanbul, Turkiye.
Pengalaman ditahan dan dipenjarakan oleh tentera zionis Israel kerana terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini dikongsikan semula oleh Heliza.
Menurutnya, keadaan menjadi buruk selepas mereka dibawa ke darat oleh pihak tentera terutamanya apabila perlu berada dalam posisi commando rest dengan tangan diikat ke belakang, terpaksa berpanas dan langsung tidak diberi makanan mahupun minuman.
“Dengan izin Allah, ada benda yang (kami berdua) kena syukuri di mana untuk wanita, mereka tak bagi pakai hijab. Ada yang kena tarik rambut, macam-macam cerita yang kita dengar daripada sahabat kita.
“Bila sampai giliran kami, Allah pelihara dan beritahu mereka, ‘Hijab bagi Muslim adalah kewajiban dan kami tidak sesekali boleh tanggalkannya.’ Mereka akan gasak juga untuk buka dan tidak peduli,” katanya.
Tambah mendukacitakan apabila mereka merasakan kelompok tentera wanita bertindak dengan lebih tidak bermanusiaan biarpun sesama tahanan perempuan.
“Sebenarnya, tentera perempuan lagi kejam! Lagi dasyat! Nasib baiklah ada tentera lelaki yang bertanyakan apa sedang berlaku (sewaktu diminta menanggalkan hijab oleh tentera perempuan). Saya katakan yang kami adalah Muslim yang perlu tunaikan sembahyang.
“Mereka pun faham dan Alhamdulillah juga, saya bersama kakak saya dapat memakai hijab kami. Kalau tentera perempuan itu memang… astaghfirullah hal ‘azim, tak tahu nak cakaplah,” ulasnya.
BACA: Heliza, Hazwani Terpaksa Minum Air Mangkuk Jamban Dalam Penjara Untuk Teruskan Hidup
Dalam pada itu, adiknya, Hazwani berkongsi bahawa pihak tentera zionis Israel tidak mempedulikan keadaan tahanan sama ada mereka sakit mahupun tidak.
“Dalam delegasi Malaysia, saya terkejut bila dapat tahu ramai yang berdepan masalah kesihatan kronik seperti sakit jantung biarpun usia mereka masih muda. Cukup mendukacitakan apabila pihak tentera turut membuang segala ubat-ubatan yang dibawa delegasi tanpa izin mereka.
“Bila suatu hari nanti, mereka meminta ubatan daripada pihak tentera. Lepas itu dia kata, ‘Kau mati tak lagi? Kalau kau belum mati, tak ada masalah.’,”luahnya.
Heliza, Hazwani dan 21 orang delegasi Malaysia lain yang mengikuti misi Global Sumud Flotilla (GSF) telahpun selamat tiba di Istanbul selepas dibebaskan hasil usaha diplomatik Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.