
Baru-baru ini, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Tengku Umayr Akef berjaya mencuri perhatian apabila mencapai Syahadah Ula, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam perjalanan hafazan al-Quran selepas memperdengarkan keseluruhan 30 juzuk dalam tempoh hanya 15 jam 42 minit.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook Maahad Tahfiz Al Fateh, kejayaan membanggakan Tengku Umayr Akef diumumkan selepas beliau berjaya menamatkan ujian hafazan tahap tertinggi itu pada 2 Julai lalu dengan keputusan cemerlang.
Lebih mengagumkan, pelajar berusia 16 tahun itu memulakan bacaan seawal jam 4.30 pagi sebelum mengakhiri ujian pada waktu malam. Hasil ketekunan dan kekuatan hafazannya, beliau berjaya memperoleh keputusan Mumtaz Ma’a Martabat Syarof dengan markah 97.7% selepas dinilai oleh enam panel penguji.
Menurut salah seorang panel penilai, Ustaz Ahmad Lutfi, antara detik paling menyentuh berlaku ketika Tengku Umayr Akef memasuki 15 juzuk terakhir apabila keadaan fizikalnya semakin letih, namun beliau tetap meneruskan bacaan ayat suci al-Quran dengan lancar.
“Bacaannya apabila masuk ke 15 juzuk kedua sudah masuk ke mod separa sedar tetapi bibirnya tetap tepat kumat kamit bacaan ayat suci Al-Quran,” katanya.
“Yang lebih terharu bacaan beliau, tiada pembetulan dari kami panel 6 orang. Tiada yang yang beliau lupa. Semuanya disemak hingga baris-baris hujung dalam kalimah,” jelasnya lagi.
Selain itu, ujian tersebut menyaksikan Tengku Umayr Akef berjaya mengekalkan kelancaran bacaan tanpa memerlukan sebarang pembetulan daripada panel penilai. Pencapaian itu dianggap luar biasa kerana ujian Syahadah Ula bukan sekadar menguji hafazan, malah memerlukan ketahanan mental, fokus dan kekuatan fizikal yang tinggi.
Namun, kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha dalam tempoh singkat. Menurut Ustaz Ahmad Lutfi, di sebalik 15 jam 42 minit tasmik yang dilalui Tengku Umayr Akef, terdapat bertahun-tahun latihan, pengulangan hafazan serta pengorbanan besar yang dilakukan sebelum berjaya mencapai tahap berkenaan.
Sebelum ini, Tengku Umayr Akef berkongsi bahawa beliau mula menghafal Al-Quran ketika berusia 12 tahun. Selepas memperoleh Syahadah Ula, beliau berhasrat untuk mendalami ilmu tadabbur Al-Quran selain memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
BACA: Inspirasi Generasi Muda! Hafizah 30 Juzuk, Putri Qistina Raih ACCA No.2 Terbaik Dunia
Sepanjang 1,260 hari menuntut ilmu di Maahad Tahfiz Al-Fateh, beliau turut dikenali sebagai pelajar yang menjaga adab terhadap guru serta sentiasa mengingatkan rakan-rakan supaya memelihara hubungan dengan Al-Quran dan menjauhi perkara yang boleh menjejaskan hafazan. Kejayaan itu juga tidak terpisah daripada sokongan keluarga, bimbingan guru serta suasana tarbiyah yang membentuk disiplin dan kekuatan dirinya.
Pencapaian Tengku Umayr Akef menjadi bukti bahawa kejayaan besar lahir daripada kesungguhan, kesabaran dan istiqamah dalam menuntut ilmu. Kisah hafiz muda ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk mencintai Al-Quran, menghargai jasa guru serta terus berusaha menjadi insan yang memberi manfaat kepada agama, keluarga dan masyarakat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.