
Siapa sangka projek sekumpulan pelajar universiti mampu menghasilkan sebuah kenderaan yang berpotensi mengubah cara perkhidmatan kesihatan disampaikan kepada komuniti di kawasan pedalaman dengan memanfaatkan tenaga solar.
Sekumpulan 23 pelajar dari Belanda berjaya membangunkan Stella Juva, sebuah kenderaan berkuasa solar yang direka khas untuk membawa kemudahan dan peralatan perubatan ke lokasi yang sukar mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Dibangunkan oleh Solar Team Eindhoven, pasukan yang terdiri daripada pelajar Eindhoven University of Technology serta dua institusi pendidikan lain, Stella Juva diperkenalkan sebagai ambulans solar pertama di dunia.
Namun berbeza daripada ambulans konvensional yang membawa pesakit ke hospital, Stella Juva berfungsi lebih seperti sebuah klinik kesihatan bergerak.
Stella Juva dilengkapi beberapa peralatan perubatan penting termasuk mesin X-ray, ultrasound serta peti sejuk untuk menyimpan vaksin pada suhu yang sesuai.
Apa yang membuatkan inovasi ini lebih menarik adalah kesemua peralatan tersebut boleh dikuasakan menggunakan tenaga yang dijana sendiri oleh kenderaan berkenaan.
Panel solar dipasang pada bahagian bumbung membolehkan Stella Juva mengecas ketika sedang bergerak. Apabila berhenti pula, panel solar tambahan boleh dibuka bagi menyediakan permukaan lebih luas untuk menjana tenaga.
Konsep ini membolehkan perkhidmatan kesihatan dibawa terus kepada komuniti tanpa terlalu bergantung kepada bekalan elektrik atau charging infrastructure.
Bagi memastikan Stella Juva bukan sekadar berfungsi dalam teori, kumpulan pelajar berkenaan membawa prototaip tersebut ke Kenya untuk menjalani ujian sebenar dengan kerjasama organisasi bukan kerajaan, Amref Health Africa.
Sepanjang ujian itu, Stella Juva dipandu sejauh lebih 800 kilometer merentasi beberapa kawasan termasuk Mosiro di wilayah Narok, barat daya Kenya.
Antara cabaran yang perlu dilalui adalah perjalanan selama beberapa jam di atas jalan tanah liat berdebu, berlubang serta keadaan muka bumi yang mencabar.
Menurut salah seorang ahli Solar Team Eindhoven, Isabella Wanningen, 22, mereka terkejut melihat kemampuan Stella Juva menghadapi keadaan jalan tersebut dengan begitu baik.
Lebih penting, ujian turut mendapati ketika kenderaan berada dalam keadaan stationary, Stella Juva mampu menjana lebih banyak tenaga berbanding jumlah yang digunakan walaupun semua peralatan perubatan di dalamnya beroperasi serentak.
Ini bermakna secara teorinya, klinik bergerak berkenaan boleh beroperasi secara bebas tanpa memerlukan bahan api tradisional ataupun disambungkan kepada bekalan elektrik.
Walaupun peralatan perubatan Stella Juva tidak digunakan terhadap pesakit sebenar sepanjang ujian tersebut, Solar Team Eindhoven dan Amref Health Africa menganggarkan kira-kira 200 individu berpotensi menerima rawatan dalam tempoh dua hari menggunakan kemudahan yang dibawanya.
Kewujudan teknologi sebegini boleh memberikan impak besar kepada komuniti yang tinggal jauh daripada hospital atau klinik lengkap.
Pengurus program Amref Health Africa, John Kutna berpandangan kenderaan solar seperti Stella Juva boleh menjadi satu kemudahan yang cukup berguna untuk kawasan sebegini.
Menurut salah seorang ahli pasukan, Yarno Basten, 23, mereka berharap Stella Juva mampu memberi inspirasi kepada industri dan masyarakat untuk menggunakan teknologi inovatif bagi menyelesaikan masalah sosial yang berlaku di dunia sebenar.
Biarpun masih terdapat cabaran seperti kos dan pembiayaan sebelum konsep sebegini boleh digunakan secara meluas, kejayaan ujian Stella Juva sekurang-kurangnya membuktikan satu perkara.
Sumber : CNN
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.