Pandemik Covid-19, telah menunjukan bahawa kita perlu berinovasi untuk mengatasi sebarang cabaran.
Inovasi telah membolehkan kita meneruskan kehidupan kita semasa pandemik ini dengan penghasilan vaksin, kemudahan digital dan transaksi atas talian. Malah kita harus terus menggunakan sains dan teknologi bagi mengatasi pelbagai cabaran masa kini dan masa hadapan seperti perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti, sekuriti makanan dan penyakit zoonotik.
Sehubungan itu, dalam memacu ekonomi dalam era pemulihan ini, inovasi adalah sangat penting. Malah dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (2021-2030), ia telah menggariskan untuk negara beranjak kepada pencipta teknologi dari pengguna teknologi dengan hasrat menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Ke arah mencapai hasrat ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan. Salah satu komponen penting ialah untuk meningkatkan minat pelajar dan belia berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI). Justeru, MOSTI melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkasakan dan membudayakan STI bermula daripada peringkat akar umbi. MOSTI dengan kerjasama agensinya Malaysia Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganjurkan Malaysia Techlympics 2022.
Program Techlympics telah diperkenalkan pada tahun ini untuk menyokong pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam satu suasana tidak formal dan menyeronokkan. Usaha ini penting kerana bilangan pelajar yang mengikuti aliran sains semakin menurun saban tahun. Maka melalui program seperti Techlympics, ia di harap dapat mencetus minat dan kreativiti di kalangan pelajar dan belia.
Techlympics telah di olah supaya ia adalah satu pendekatan holistik yang bukan sahaja membolehkan pelajar dan belia bersaing malah membolehkan mereka berhubung untuk mewujudkan kerjasama dan sama-sama berjaya dalam menonjolkan hasil inovasi mereka. Ekosistem Techlympics juga memberi latihan berkaitan komunikasi dan perniagaan supaya generasi muda kita turut dilengkapi dengan keupayaan untuk membawa idea mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Ads
Melalui program Techlympics ini, MOSTI menyasarkan penjanaan lebih kurang 2,000 idea yang mempunyai potensi untuk dibangunkan ke arah pengkomersialan. Usaha ini dapat menyokong pelbagai usaha MOSTI seperti melahirkan 5,000 syarikat pemula (start-up) menjelang tahun 2025.
Malaysia menduduki tangga ke-36 daripada 132 buah negara mengikut Laporan Global Innovation Index (GII), 2022 yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO). Malaysia juga merupakan negara ke-2 paling berinovasi di kalangan negara ASEAN. Walaupun kedudukan ini memuaskan, usaha menjana inovasi perlu terus diperkasakan melalui usaha sama serta kolaborasi strategik pelbagai pemegang taruh dalam memacu prestasi daya saing negara di peringkat global dan penghasilan kekayaan baru, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam.
MOSTI percaya menerusi penerapan serta pembudayaan STI di kalangan rakyat khususnya generasi muda, golongan ini mampu menjadi tulang belakang dalam merancakkan sektor ekonomi khususnya menerusi bidang inovasi dan teknologi sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara bersaing dan lestari. Maka Program Techlympics yang julung kali diadakan diharapkan akan dapat merealisasikan hasrat ini.
Program Techlympics ini berlangsung dari bulan April sehingga November dengan sasaran 1 juta penyertaan daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta golongan belia. Program ini turut melibatkan aktiviti Jangkauan Keterangkuman Malaysia Techlympics di mana latihan berkaitan teknologi terkini telah didedahkan kepada para pelajar serta guru-guru. Aktiviti ini telah dijalankan di 66 lokasi di seluruh Malaysia menerusi pelbagai aktiviti sains di reruai pameran. Program ini telah melibatkan para pelajar dan belia di kawasan bandar, luar bandar, orang asli serta warga kurang upaya.
Para pelajar dan guru telah didedahkan kepada teknologi dan aplikasi terkini seperti teknologi robot, dron serta aktiviti interaktif secara amali atau praktikal (hands-on). Sepanjang tempoh pelaksanaannya, hampir 6,000 guru telah dilatih melalui kursus Latihan Tenaga Pengajar atau Training of Trainers dalam usaha meningkat kemahiran para guru dalam bidang-bidang terkini STI dan pendidikan tidak formal STEM.
Ads
Sebanyak 25 buah pertandingan telah diperkenalkan di bawah Malaysia Techlympics melalui lima (5) tema iaitu Kecerdasan Buatan dan Sains Data, Eksplorasi Angkasa, Dron dan Aplikasinya, Teknologi Sohor serta Inovasi Untuk Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam. Pertandingan telah dibahagikan kepada dua (2) peringkat iaitu peringkat zon dan juga peringkat akhir kebangsaan.
Bagi peringkat zon, pertandingan telah dilaksanakan di seluruh Malaysia melibatkan enam (6) buah zon iaitu zon utara, tengah, selatan, timur, Sabah dan Sarawak. Manakala, Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan akan berlangsung pada 26 dan 27 November 2022 bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil melibatkan 5,000 penyertaan para pelajar, belia dan guru-guru seluruh Malaysia.
Sepanjang tempoh penganjurannya, Malaysia Techlympics 2022 telah melakar beberapa pencapaian yang tersendiri. Antaranya, Malaysia Techlympics telah mencatat sejumlah 1.03 juta penyertaan terdiri daripada peserta berumur 7 hingga 30 tahun. Program ini turut mencapai 26.9 juta jangkauan digital menerusi laman sesawang Techlympics dan pelbagai platform media sosial meliputi Facebook, Instagram dan Tik Tok. Pencapaian ini adalah amat memberangsangkan dan menunjukkan bahawa minat generasi muda negara terhadap bidang STI masih tinggi dan ini telah menguja MOSTI untuk meneruskan program ini pada tahun depan.
Tuntasnya, MOSTI percaya bahawa minat terhadap bidang STI perlu diterapkan dari peringkat awal agar dapat membentuk asas yang kukuh dalam diri para pelajar dan belia dalam bidang ini. Ia harus diikuti dengan proses pembudayaan serta pendidikan formal dan tidak formal yang berterusan untuk mengasah bakat serta kreativiti anak muda negara dalam bidang STI.
Ads
Usaha berterusan ini amat perlu dalam membina negara berasakan STI dan melahirkan generasi Malaysia yang berinovasi untuk terus memacu kemajuan negara ini secara mampan dan holistik.
Artikel ini dikarang oleh Yang Berbahagia Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim. Beliau merupakan Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tiada siapa yang mampu menolak takdir Ilahi. Itulah yang dilalui oleh keluarga kepada graduan Doktor Falsafah (PhD) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Allahyarham Wan Ruslan Wan Yusoff, yang pergi dijemput Ilahi pada 16 Mac 2025, sebelum sempat meraikan kejayaan menamatkan pengajian di peringkat tertinggi itu.
Namun, semangat arwah terus hidup dalam hati insan tersayang. Dengan penuh ketabahan, Julina Jamil, melangkah ke pentas utama Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 hari ini untuk menerima Anugerah Anumerta bagi pihak arwah suaminya.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada sesi pertama majlis tersebut.
Menurut Julina, beliau tidak menyangka akan diberi penghormatan sebesar itu bagi pihak arwah yang sentiasa gigih menuntut ilmu hingga ke akhir hayatnya.
“Ini merupakan salah satu impian Allahyarham untuk menuntut ilmu di peringkat tertinggi. Allahyarham seorang yang suka mencabar diri dan tidak pernah berhenti mencari ilmu baharu.
“Ketika orang lain masih belum mengenali apa itu Kecerdasan Buatan (AI), beliau sudah mula menulis dan membangunkan programnya sendiri,” ujarnya penuh bangga.
Julina turut menambah bahawa beliau sendiri menjadi saksi kepada perjuangan arwah suaminya dari awal hingga akhir.
“Arwah sempat menghantar tesis pra-viva pada 20 Disember 2024, namun takdir menentukan segalanya apabila beliau menghembuskan nafas terakhir akibat Cardiogenic Shock Secondary to Advanced Heart Failure,” ujarnya lagi.
Majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan detik penuh emosi apabila lima penerima menerima Anugerah Anumerta sebagai tanda penghargaan universiti terhadap semangat juang mereka dalam menuntut ilmu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UMPSA News
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Daripada 401,105 orang calon berdaftar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil sebanyak 83 mata pelajaran yang ditawarkan, pencapaian yang dicatatkan oleh calon SPM 2020 telah diumumkan sebagai pencapaian SPM terbaik dalam tempoh lima tahun.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media pagi ini berkata, Gred Purata Nasional (GPN) untuk SPM 2020 telah meningkat sebanyak 0.06 berbanding tahun lalu.
Dari 4.86 pada tahun 2019, tahun 2020 mencatatkan 4.80. Nilai GPN yang lebih kecil ini menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Malah jika dibandingkan tren GPN dalam tempoh 5 tahun ini, pencapaian SPM 2020 adalah yang terbaik yang pernah dicatatkan.
Dr Radzi turut mengumumkan peningkatan peratusan calon yang layak memperolehi sijil SPM kali ini meningkat sebanyak 1.96 peratus kepada 88.68 peratus berbanding ketika SPM 2019.
Memetik Laporan Analisis Keputusan SPM 2020,bilangan calon yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran adalah seramai 9,411 orang; meningkat berbanding 8,876 orang pada tahun 2019.
Biarpun begitu, terdapat sedikit penurunan pada jumlah calon yang lulus dalam semua mata pelajaran yang diambil mereka iaitu hanya seramai 144,447 orang berbanding 147,738 orang pada tahun 2019.
*
Tambah Dr Radzi lagi, lima subjek SPM yang menunjukkan prestasi meningkat adalah Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Manakala dua subjek yang sedikit merosot berbanding SPM 2019 adalah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Untuk pengetahuan, keputusan SPM 2020 mempunyai penjaminan kualiti melibatkan dua badan pentaksiran antarabangsa iaitu Cambridge Assessment International Education dan Pearson UK.
“Saudara-saudari telah melakukan yang terbaik. Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang terlibat dalam proses melaksanakan SPM 2020. Ia bukannya mudah.
“Kepada ibu bapa di luar sana, pihak KPM ingin mengucapkan terima kasih. Kami sedar tempoh ini adalah mencabar dan kami tahu kami tidak sempurna. Kami telah cuba untuk melaksanakan yang terbaik,” ulas beliau.
Catat Sejarah
Buat pertama kalinya, kesemua kertas peperiksaan calon disemak secara atas talian kecuali untuk satu subjek iaitu Pendidikan Seni Visual. Cara ini adalah pembaharuan demi mempercepatkan proses penyemakan. Justeru, sebanyak 1700 orang pemeriksa telahpun ditambah demi membantu jumlah pemeriksa sedia ada.
Selain itu, buat kali pertama dalam sejarah, keputusan peperiksaan SPM boleh disemak oleh calon secara atas talian. Pengeluaran slip keputusan rasmi juga akan dilakukan secara atas talian. Sekiranya calon tidak mempunyai akses, pihak sekolah akan membantu mereka.
Bagi calon SPM yang masih belum menyemak keputusan mereka, korang boleh berbuat sedemikian di laman web myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my.
Bagi pelajar yang tidak mempunyai talian internet pula, pihak sekolah telahpun diminta untuk menghubungi semua calon tentang kaedah mendapatkan keputusan. Pihak guru telah berbincang kaedah terbaik untuk mereka memperolehinya.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jangan tak percaya, Faiq Bolkiah adalah pemegang rekod pemain bola yang paling kaya di dunia dengan anggaran pendapatan mencecah RM87 bilion.
Siapakah beliau?adakah setanding bintang bola sepak seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi ataupun Neymar. Okay lah, untuk pengetahuan semua pemain bola berusia 24 tahun ini merupakan bekas pemain bola Leicester City. Dia memulakan karier di usia muda yang dipilih Southampton pada 2009 untuk sertai akademi bola sepak terkenal itu.
Anak Saudara Sultan Brunei
Sumber gambar: laacib.net
Menariknya, beliau juga merupakan anak saudara kepada Sultan Hassanal Bolkiah dimana bapanya adik kepada Sultan Brunei. Khabarnya, Faiq Bolkiah juga merupakan salah seorang pewaris takhta raja. Darah kerabat mengalir dari dalam dirinya walaupun pemuda berusia 24 tahun ini dilahirkan dan dibesarkan di Los Angeles.
Terkini, Faiq menyertai kelab baharunya dari Thailand iaitu , Chonburi FC setelah gagal di England bersama Arsenal, Chelsea dan Leicester.
Perpindahan itu menawarkannya talian hayat dalam kariernya selepas dilepaskan oleh pasukan Portugal, Maritimo pada akhir tahun 2021.
Meskipun Faiq bermula dengan cemerlang dan menerima anugerah pemain terbaik pelawanan sebanyak dua kali, malangnya dia gagal menjaringkan gol sepanjang 14 penampilan bersama kelab itu.
Pemain sayap itu juga tidak memperoleh masa permainan yang maksimum di mana lima daripada penampilannya bermula dari bangku simpanan, manakala dia dikeluarkan pada separuh masa selepas membarisi kesebelasan utama dalam dua perlawanan.
Dalam perlawanan terbaru di mana Chonburi tewas 1-4 kepada Pathum United, dalam perlawanan terakhir mereka musim ini, menyaksikan kelab itu menamatkan saingan liga di tempat ketujuh.
Sejak itu, dia menulis di Instagram, “Terima kasih peminat atas sokongan anda musim ini. Anda sangat luar biasa”.
FYI, bapa kepada Faiq iaitu Jefri Bolkiah mempunyai 2,300 buah kereta koleksi dan kebanyakannya adalah jenama mewah seperti Ferrari, Bentley hingga Rolls Royce. Fuh, patutlah dia jadi pemain bola sepak terkaya di dunia.
Untungkan jadi anak dan anak saudara billionaire…hiks
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: Daily Star, Harian Metro, Bangkok Post
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Khairul Aming Ramadan sekali lagi mencuri perhatian apabila sanggup merakam video 30 hari 30 resipi selama hampir 14 jam walaupun sibuk mengurus restoran Rembayung.