
Pementasan Teater Bawah Pokok: Rahmat Jumaat yang baru-baru ini berlangsung di Lot Parkir Bangunan Budisiswa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, menampilkan kelainan apabila ia dipersembahkan di bawah rimbunan pokok, sekali gus membawa penonton menyelami pengalaman teater imersif yang dekat dengan alam dan kehidupan.
Dipentaskan oleh Kelab Pengurusan Seni Anomalist UiTM dengan sokongan Pusat Kebudayaan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, Teater Bawah Pokok: Rahmat Jumaat bukan sekadar menghiburkan, malah mengajak masyarakat menghayati nilai kemanusiaan, keinsafan dan rasa syukur menerusi naskah yang sarat dengan mesej kehidupan.
Pementasan teater karya Saat Omar ini khabarnya dilangsungkan di bawah pokok demi memberi simbolik terhadap alam sebagai ruang pertemuan manusia untuk bermuhasabah, berkongsi cerita dan mencari makna kehidupan.
Sepanjang dipentaskan selama tiga jam bermula 8.00 malam hingga 11.00 malam, penonton pantas menyesuaikan diri dengan suasana semula jadi dengan pencahayaan malam dan bunyi alam.
Kedudukan penonton yang berada berhampiran pelakon menjadikan setiap babak lebih hidup dan memberi kesan emosi yang mendalam.
Keunikan konsep teater imersif turut menjadi tarikan utama apabila penonton bukan sekadar menyaksikan persembahan dari tempat duduk, malah merasakan diri mereka berada di dalam dunia penceritaan.
Interaksi antara pelakon, ruang persembahan dan audiens mewujudkan pengalaman yang lebih dekat, sekali gus menghapuskan sempadan tradisional antara pentas dan penonton.
Menelusuri malam pertama pementasan, ia berjaya menghimpunkan kira-kira 150 orang penonton terdiri daripada mahasiswa, warga UiTM dan masyarakat sekitar.
Kehadiran memberangsangkan ini membuktikan bahawa karya teater eksperimental dan berkonsepkan imersif masih mempunyai tempat dalam kalangan pencinta seni, khususnya generasi muda.
Bukan hanya kelompok penonton sahaja yang dilihat berpuas hati dengan pengalaman menonton pementasan sedemikian rupa buat kali pertama.
Malah buat pihak penganjur, pementasan ini turut menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengembangkan bakat dalam bidang lakonan, pengurusan produksi dan seni persembahan, di samping memperkukuhkan budaya berkarya yang kreatif serta inovatif di UiTM.
Moga-moga, pementasan berkonsep baharu ini mampu menyemarakkan lagi minat remaja terutamanya dalam kalangan penuntut universiti terhadap seni teater tempatan di luar ruang pentas konvensional melalui pendekatan yang lebih segar, dekat dan menyentuh jiwa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.