
Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram, individu yang dikenali sebagai Purple Bloom menjelaskan bahawa kawasan parkir sering menjadi sasaran penjenayah kerana suasananya yang sunyi dan kurang perhatian orang sekeliling.
Situasi ini secara tidak langsung membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan.
“Awak jangan sesekali masuk kereta seorang-seorang bila nampak ini sebab kereta awak dah kena aim! Parking ini kawasan kegemaran penjahat tau,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam perkongsian tersebut, beliau turut menyenaraikan empat tanda yang perlu diberi perhatian sebelum seseorang masuk ke dalam kereta. Tanda pertama adalah apabila terdapat beg yang diletakkan berhampiran tayar kenderaan.
Selain itu, kehadiran wang kertas yang diselitkan pada ‘wiper’ juga antara taktik yang sering digunakan. Tidak ketinggalan, kertas yang diletakkan di celah pintu kereta turut menjadi satu lagi petanda yang mencurigakan.
Tanda terakhir yang dikongsikan adalah kehadiran troli yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan. Walaupun kelihatan remeh, situasi ini dipercayai digunakan untuk mengalih perhatian mangsa.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa waspada dan peka dengan keadaan sekeliling, memilih kawasan parkir yang terang dan selamat serta tidak teragak-agak untuk meminta bantuan sekiranya berasa curiga. Langkah pencegahan kecil mampu menjadi pelindung besar daripada risiko yang tidak diingini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.