Rata-rata daripada kita semua jika memasak tak ‘sah’ kalau tak rasa. Tapi jadi masalah pada mereka yang tak mahir memasak terutama di bulan puasa.
Bulan puasa ni mesti korang ada perasaan ragu-ragu sama ada kita boleh ke tidak merasa makanan yang dimasak tu.

Dan kalau dibolehkan, macam mana pula cara nak merasa makanan yang dimasak supaya tak sampai terbatal puasanya?Berikut adalah jawapan dan penjelasan yang dipetik dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan hal ini.
SOALAN
Apakah hukum merasa makanan?
JAWAPAN
Merasa makanan adalah dibolehkan dengan dikecap di hujung lidahnya dan tidak membatalkan puasanya mengikut pendapat yang terpilih.
Situasinya adalah seperti tukang masak atau surirumah yang sedang memasak di dapur.
Ibn Abbas R. Anhuma berkata:
لاَبَأْسَ أَنْ يَذُوْقَ الخَلَّ أَوْالشَّيْءَ مَالَمْ يَدْخُلْ حَلْقَهُ وَهُوَصَائِمٌ
“Tidak mengapa seseorang yang sedang berpuasa mencicipi cuka atau sesuatu, selama tidak masuk sampai ke kerongkong.”
(Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (9277))
Begitu juga telah berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah:
“Merasa makanan adalah makruh sekiranya tiada hajat tetapi ianya tidak membatalkan puasa. Sekiranya terdapat hajat (untuk merasanya) maka ianya seperti al-Madhmadhoh (berkumur)”.
[Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/266]

Adapun berkumur, jika diperhatikan masih terdapat baki-baki air yang sedikit di dalam mulut dan jika tertelan bersamanya air liur maka ianya tidak membatalkan puasa kerana ianya amat payah untuk dielakkan. [Lihat Rad al-Muhtar, 2/98]
Seperti juga bersugi, bersiwak dan memberus gigi ketika berpuasa, telah sepakat para fuqaha’ akan keharusannya. Begitu juga penggunaan ubat gigi.
Jika kita perhatikan, semasa memberus gigi, bersiwak dan sebagainya pasti akan terdapat ‘rasa’ pada lidah namun jika tidak ditelan, ianya tidak membatalkan puasa
Kesimpulannya, cara merasa makanan ketika puasa adalah seperti berikut:
Anda mungkin berminat dengan

CARA MERASA MAKANAN KETIKA PUASA
1. Merasa makanan hendaklah dalam kuantiti yang sedikit seperti di hujung lidah.
2. Namun, tidak boleh menelannya kerana jika ditelan masuk bersama air liur, batallah puasanya.
3. Jika seseorang merasa makanan ketika berpuasa, kemudian dia meludahkannya tetapi masih berbaki rasanya pada lidah sekalipun sampai kepada tekak dan ditelannya, maka ianya tidak membatalkan puasa seseorang itu kerana ‘ain makanan tersebut telah diludahkan dan yang tinggal hanya athar (kesan) sahaja yang berbaki.
Jadi, korang yang baru belajar memasak tu bolehlah merasa makanan ketika puasa tapi ia harus diludahkan semula. Jangan sedap sangat sampai tertelan sudah la…hiks
Sumber rujukan: Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadhan > HUKUM MERASA MAKANAN KETIKA BERPUASA ,IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN #75: HUKUM PENGGUNAAN ‘LIPSTIK’ KETIKA BERPUASA
∞
Sejak episod program Late Night With Seth Meyers keudara di saluran NBS lewat Isnin minggu ini, ramai penonton dan penduduk dunia meluahkan rasa khuatir mereka di platform media sosial.
Ia berikutan kenyataan yang keluar dari mulut Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang menjadi tetamu program temubual tersebut mengenai aspek keselamatan yang berbaur pro-Israel.
Menurut Biden, beliau berpendapat Israel perlu untuk mempertahankan ‘negara’ yang mereka jajahi sejak tahun 1948 demi memastikan penduduk Yahudi di dunia akan terus hidup dengan selamat.
“Anda tidak perlu menjadi seorang Yahudi untuk menjadi Zionis.
“Saya seorang Zionis. Jika tidak ada Israel, tiada seorang pun orang Yahudi di dunia ini akan selamat,” kata beliau yang terlebih dahulu menolak seruan genjatan senjata dan peperangan yang dilaungkan oleh pemimpin dunia terhadap konflik Palestin-Israel.
“Ramadan bakal menjelang dan terdapat persetujuan daripada pihak Israel untuk tidak terlibat dalam aktiviti sewaktu Ramadan demi memberikan kami masa untuk berusaha melepaskan tebusan di sana.
“Ia juga memberi masa untuk banyak negara-negara Arab bersedia turut bergerak ke arah yang sama (dengan Amerika Syarikat). Sebagai contoh, Arab Saudi sudah bersedia untuk mengiktiraf Israel (sebagai sebuah negara). Juga Jordan (dan) Mesir serta enam negara lain. Saya sedang berunding dengan Qatar,” katanya.
Tambah Biden lagi, beliau akan terus perjuangkan rundingan untuk genjatan senjata sementara sebagai jalan penyelesaian dua negara tersebut.
Biden percaya Amerika Syarikat boleh menjamin keselamatan Israel dan penduduknya serta membebaskan Palestin.
Klik pautan di bawah bagi menonton temubual penuh Biden bersama Seth Mayers.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Dalam sehari dua ini kita rasakan cuaca agak sejuk. Ditambah hujan yang turun kita pasti menyangka ia fenomena biasa. Tapi sebelum itu, kalau korang nak tahu cuaca sejuk ini berlaku akibat musim Monsun Timur Laut yang biasanya dikenali sebagai monsoon musim sejuk. Malah bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang, cuaca mencecah 22 darjah Celsius, seakan-akan rasa yang sama ketika bercuti di Cameron Highlands.
Dalam laporan Bernama semalam, dilaporkan rakyat Malaysia di Semenanjung diselubungi cuaca sejuk pada waktu malam dan kabus pada waktu pagi, yang turut menyembunyikan Menara Berkembar Petronas, mercu tanda ikonik di sini, daripada dilihat dengan mata kasar.

Kabus itu muncul sehingga kira-kira 10 pagi dan hanya menghilang ketika hari semakin panas. Ada yang mungkin tertanya-tanya adakah jerebu kembali semula kerana langit yang mendung kelihatan seolah-olah dilitupi jerebu.
Kebanyakan kawasan menjadi lembap dan basah kerana hujan sepanjang hari sejak semalam. Dilaporkan tempat letak kereta bawah tanah sebuah pusat beli-belah popular di Cheras di sini, turut dinaiki air ekoran banjir kilat malam tadi.
Suhu di seluruh Lembah Klang menurun sehingga 22 darjah Celcius, paling rendah dicatatkan dalam bulan ini kerana negara kini berdepan cuaca sejuk akibat musim Monsun Timur Laut, yang biasanya dikenali sebagai monsun musim sejuk.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, ini adalah satu fenomena biasa di Malaysia apabila angin monsun yang terbentuk di rantau Siberia-Mongolia melalui utara China merentasi Laut China Selatan dan Semenanjung.
"Langit yang mendung dan hujan berterusan adalah biasa dalam tempoh ini di kawasan Semenanjung. Ia menyebabkan suhu menurun dan menghasilkan kelembapan yang lebih tinggi yang boleh menyebabkan pembentukan kabus, " katanya kepada Bernama.
Beliau berkata musim sejuk dan hujan akan berterusan, berkemungkinan sehingga awal Februari depan.
Jailan juga berkata hujan lebat berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan banjir di kawasan yang rendah serta kawasan berisiko banjir dan keadaan itu mungkin menjadi lebih buruk jika hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang.
Musim monsun dijangka berakhir Mac tahun depan.
Untuk rekod, suhu minimum yang dicatatkan di Cameron Highlands pada waktu malam adalah 15 darjah Celcius.
Sumber : BERNAMA
∞
Hah, memang betul boleh digelar biskut Chipsmore. Kejap ada, kejap tak ada.
Nampaknya masalah bekalan air kembali menghantui rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan apabila sekali lagi loji air tercemar.
Dalam satu kenyataan oleh Lembaga Urus Air Selangor dimaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, SSP 1, 2, dan 3 telah dihenti tugas pada jam 12.20- 12.45 tengah hari tadi (10 November 2020) disebabkan oleh pencemaran bau seakan-akan solvent telah dikesan di Sg. Selangor.
Bau telah dikesan sekitar 8 TON (di LRA Rantau Panjang). Berdasarkan pemantauan LUAS setakat pukul 6 pagi tadi rekod bacaan terakhir masih 0 TON. LUAS, AIR Selangor dan pihak-pihak terlibat sedang menjalankan siasatan dan tindakan-tindakan mitigasi segera. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Dengan masalah ini, henti tugas ke empat-empat loji ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun merangkumi 1279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang mana bekalan air akan ditutup mulai jam 6 petang ini.
Denda tidak lebih RM1Juta bagi pencemar sungai diluluskan
Dalam pada itu, semalam Menteri Besar Selangor, YB Amirudin Shari di fbnya memaklumkan pindaan enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Dewan Negeri Selangor dan kini telah pun menjadi sebahagian daripada rang undang-undang.
Pindaan dengan kelulusan sebanyak 11 fasal ini antara lain menaikkan jumlah denda minimum kepada RM 200 ribu dan menetapkan jumlah denda maksimum tidak melebihi RM 1 juta beserta hukuman penjara mandatori sebagai faktor pencegah (deterrent factor).
Dewan Negeri Selangor turut meluluskan bahawa semua perbelanjaan yang dilakukan untuk membersihkan atau memulihkan apa-apa pencemaran oleh LUAS akan ditanggung oleh pihak pesalah.
Sebagai satu langkah kawalan ke atas penggunaan sumber air bagi mengelak pembaziran
penggunaan sumber air, Seksyen 44 LUAS turut dipinda bertujuan untuk menambah kuasa LUAS bagi mengenakan caj terhadap lebihan pengambilan air melebihi had yang dibenarkan.
Pindaan ini merupakan manifestasi amaran keras kepada mana-mana pihak yang berniat untuk melakukan sebarang pencemaran di Selangor.
Kerajaan Negeri yakin bahawa pindaan enakmen berkenaan beserta langkah-langkah tambahan yang sudah dijelaskan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 yang lepas akan dapat menangani masalah pencemaran sungai yang menyebabkan gangguan bekalan air di masa hadapan.
∞