
Menjelang penganjuran konsert solo berskala mega tidak lama lagi, Ratu Rock Negara, Ella menegaskan dirinya tidak berasa tertekan walaupun konsert Majlis Tertinggi Rockqueen yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sering menjadi bahan perbandingan dengan artis lain.
Penyanyi berusia 60 tahun itu, sebaliknya memilih untuk kekal berfikiran positif dan menganggap segala bentuk perbandingan sebagai satu pembakar semangat buat dirinya untuk memberikan persembahan terbaik kepada para peminat.
Mengulas mengenai persediaan mental berdepan kritikan serta perbandingan daripada netizen, pelantun lagu popular Retak itu enggan membuang tenaga dengan perkara yang tidak memberi manfaat.
“Tapi kita semua tahu yang netizen memang suka buat macam itu (bandingkan). Biar sajalah.
“Jadi, saya rasa mereka dapat nilaikan. Kalau nak kena komen dan sebagainya, dia tetap akan berterusan sampai bila-bila, yang baik kita ambil, yang tak baik kita tak perlu tengok pun.
“Setakat ini pun saya tak ada apa-apa respons. Kalau rasa benda itu tak beri semangat, bagi manfaat jadi kita biarkan saja,” jelasnya.
Untuk rekod, konsert Majlis Tertinggi Rockqueen dijadualkan berlangsung pada 14 Februari ini dan bakal menampilkan beberapa penyanyi sebagai tetamu jemputan, antaranya Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider serta kumpulan The Boys (Ella & The Boys).
Lebih mengujakan, Ella turut memberi bayangan bakal ada kejutan dengan kemunculan beberapa lagi penyanyi
dalam konsert solo berskala mega tersebut.Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, tiket konsert berkenaan dilaporkan telah terjual sehingga 90 peratus sejak mula dibuka kepada umum pada 8 Disember lalu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.