“Tak Kisah Peluk ‘Player’ Berpeluh…” – Tangisan Che’ Puan Besar Khaleeda Iringi Kemenangan Johor Jewels

Share

Baru-baru ini tular video klip pendek menyaksikan air mata isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam berderaian penuh kegembiraan dek kerana kemenangan pasukan bola jaring Johor Jewels di kejuaraan Liga Super Bola Jaring semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Terima Tajaan Dari JDT, Pelumba Negara Hafizh Syahrin Tekad ‘Tunjuk Taring’ Di Kejuaraan Motosikal Asia 2024

Baginda yang turut merupakan Penaung Di Raja Persatuan Bola Jaring Negeri Johor kelihatan sebak dan bangga atas kemenangan kedua berturut-turut pasukan tersebut.

 Johor Jewels berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super Bola Jaring (NSL) selepas menewaskan KL Wildcats 47-43 dalam perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.

Ia sekali gus menyaksikan Jewels menepati ramalan untuk muncul juara, manakala Wildcats pula gagal mencipta kejutan selepas turut tewas dalam perlawanan akhir pada edisi lalu.

Bagaimanapun, kemenangan dinikmati Jewels itu tidak semudah dijangka apabila Wildcats bermula garang dengan permainan tersusun selain ketajaman tonggak import Nassanga Shadiah Ssegujja untuk mendahului suku pertama 13-10.

Bersambung suku kedua, pengendali Jewels, Tracey Robinson meniupkan semangat buat para pemainnya menyaksikan mereka mula menemui rentak.

Aksi sengit terus berlarutan pada suku ketiga perlawanan dengan Wildcats yang dibimbing Norizan Rajab terus mengejar mata dan memberikan tentangan kepada Jewels.

Namun, beberapa kesilapan pada dua minit terakhir suku ketiga itu menyaksikan Jewels terus menemui jaringan dan mendahului 38-30.

Suku keempat perlawanan menyaksikan dominasi Jewels dikekalkan untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan menjadi milik pasukan kendalian Tracey Robinson itu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

IKLAN