Taanusiya Chetty Dinobatkan Pemenang Tempat Ke-3 Miss World 2026, Ulangi Sejarah Lina Teoh 28 Tahun Lalu

Share

Taanusiya Chetty melakar sejarah tersendiri apabila menamatkan saingan di pentas ratu cantik Miss World 2026 di kedudukan ketiga terbaik daripada 111 orang peserta yang bertanding.

Taanusiya, 26, sekali gus mengulangi kejayaan yang pernah dicipta oleh Lina Teoh pada tahun 1998 apabila turut meraih kedudukan pemenang tempat ketiga dan menyandang gelaran Miss Asia Oceania World pada edisi tersebut.

Selain kedudukan cemerlang itu, Taanusiya juga telah dinobatkan sebagai penerima gelaran Miss Asia Oceania dan juara kategori Beauty With A Purpose.

Taanusiya Chetty Curi Perhatian Di Miss World 2026

Perjalanan gadis kelahiran Cheras, WP Kuala Lumpur ini dalam Miss World edisi ke-75 yang bertempat di Vietnam sememangnya telah menarik perhatian pemerhati dunia ratu cantik apabila ramai yang terkesima dengan kecantikan dan kebijaksanaan yang dimilikinya.

Profesion Taanusiya sebagai seorang guru juga meyakinkan ramai pihak bahawa beliau merupakan wakil yang harus diberikan perhatian memandangkan dia memahami kepentingan pendidikan kanak-kanak berkualiti sejak usia kecil dan bagaimana elemen tersebut cukup disukai oleh pihak organisasi Miss World.

Di pentas akhir Miss World yang berlangsung pada Sabtu malam, Taanusiya awalnya mara ke peringkat Top 40 menerusi kecemerlangannya dalam segmen Beauty With A Purpose dalam kalangan wakil-wakil dari rantau Asia Oceania.

Sebagai info, Beauty With A Purpose merupakan salah satu komponen utama yang mengetengahkan usaha kemanusiaan dan impak sosial peserta dalam pertandingan Miss World.

Advokasi Be The Change Malaysia Bawa Taanusiya Chetty Lebih Jauh

Taanusiya menerusi advokasi ‘Be The Change Malaysia’ yang diasaskannya sejak 2022 telah berjaya meyakinkan juri apabila usahanya untuk memberi manfaat kepada kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia seperti komuniti Orang Asli menampakkan konsistensi dan hasil.

Dia kemudiannya mara ke Top 20 apabila dinamakan sebagai dua wakil terbaik bagi kategori sama.

Taanusiya terus melangkah penuh cemerlang apabila mengenepikan saingan wakil dari Zimbabwe dalam kategori Beauty With A Purpose, sekali gus mara sehingga ke peringkat Top 6.

Kejayaan dalam kategori tersebut turut memperlihatkan bagaimana usaha kemasyarakatan yang dibawa oleh Taanusiya bukan sekadar menjadi sebahagian daripada penyertaannya dalam pertandingan, sebaliknya merupakan sebuah advokasi yang telah digerakkan secara konsisten sejak beberapa tahun lalu.

Taanusiya Chetty Berdepan Segmen Soal Jawab Top 6

Dalam kelompok Top 6, Taanusiya dan lima wakil lain iaitu Eritrea, Afrika Selatan, Vietnam, Sepanyol dan Dominican Republic masing-masing berdepan segmen soal jawab bersama juri.

Taanusiya disoal mengenai tanggungjawab melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang dan bagaimana beliau ingin memberikan inspirasi kepada kanak-kanak untuk sama-sama menjayakan usaha tersebut.

Jawabnya dengan tenang, Taanusiya menekankan mengenai kepentingan pendidikan kanak-kanak sejak usia muda bagi mengasuh minda mereka mengenai cara menjaga alam sekitar.

Sebagai seorang tenaga pengajar di sekolah, Taanusiya percaya bahawa setiap individu memerlukan masa untuk mengadaptasi kepada gaya hidup cintakan alam sekitar. Oleh itu, perubahan yang memberi impak hanya boleh disaksikan sekiranya setiap individu dididik sejak kecil mengenai kepentingan alam sekitar yang sejahtera.

Pendekatan tersebut selari dengan latar belakang Taanusiya sebagai seorang guru yang melihat pendidikan sebagai antara asas penting dalam membentuk pemikiran dan tindakan generasi akan datang.

Kejayaan Taanusiya Chetty Ulangi Sejarah Lina Teoh

Kejayaan Taanusiya sebagai pemenang tempat ketiga di Miss World 2026 rata-rata disambut dengan penuh rasa bangga oleh masyarakat tempatan.

Pencapaian tersebut turut mengimbau kembali kejayaan Lina Teoh pada tahun 1998, sekali gus menjadikan perjalanan Taanusiya antara pencapaian paling membanggakan buat Malaysia di pentas Miss World.

Selepas 28 tahun, Malaysia sekali lagi menyaksikan wakil negara berada dalam kelompok terbaik pertandingan tersebut dengan kedudukan tempat ketiga, selain membawa pulang pengiktirafan dari rantau Asia Oceania.

Kemenangan dalam Beauty With A Purpose pula memberikan makna tersendiri kepada perjalanan Taanusiya kerana kategori tersebut berkait rapat dengan usaha yang dilakukannya menerusi Be The Change Malaysia serta latar belakangnya dalam bidang pendidikan.

Taanusiya Chetty yang bakal pulang ke Malaysia tidak lama lagi dijangka akan diraikan dengan penuh meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas mencipta pencapaian membanggakan buat negara di pentas Miss World 2026.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ