Berita

T-shirt Putih: Seruan Farah Lee Tanda Solidariti Buat Wanita Palestin di KLIA Malam Ini

Share

Personaliti media sosial dan aktivitis, Farah Lee, menerusi laman Instagramnya menyeru rakyat Malaysia untuk memakai T-shirt putih sebagai hijab ketika hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.

Menurutnya, tindakan simbolik itu bertujuan untuk menunjukkan sokongan moral dan solidariti kepada wanita Palestin yang terus menghadapi penindasan tanpa henti di bawah kekejaman rejim Zionis.

T-shirt Putih Sebagai Tudung Tanda Solidariti – Farah Lee

Farah Lee menegaskan bahawa serangan yang menyasarkan wanita, khususnya pemakaian hijab dan nilai-nilai Islam, jelas menunjukkan usaha sistematik untuk menghina dan menjatuhkan identiti Muslimah. Namun, dari Gaza hingga Kuala Lumpur, semangat wanita Muslim tidak pernah luntur.

Delegasi wanita Malaysia ini menjadi bukti bahawa maruah dan prinsip tidak boleh dikalahkan dengan senjata mahupun penjajahan. Sebaliknya, tekanan dan penderitaan ini menjadi bahan bakar untuk memperkukuh solidariti antara umat Islam di seluruh dunia.

Inisiatif memakai T-shirt putih ini bukan sekadar satu perhimpunan, tetapi panggilan hati nurani untuk berdiri bersama mereka yang dizalimi. Ia merupakan lambang kasih sayang dan persaudaraan rentas sempadan yang menyatukan kita sebagai satu ummah.

Panggilan Solidariti dan Maruah Muslimah

“Panggilan Solidariti! Bersama Farah Lee dan Delegasi Malaysia. IOF sangka mereka sudah menjatuhkan maruah wanita Muslim, tetapi mereka lupa, selagi ada sehelai benang pada tubuh, wanita Muslim akan tetap berusaha menutup auratnya dengan penuh harga diri.

“Tindakan mereka tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya menjadi modal untuk kita bersolidariti! Mari kita sama-sama penuhi KLIA dengan berpakaian T-shirt putih

sebagai simbol hijab, tanda sokongan dan kasih terhadap delegasi wanita Malaysia serta wanita-wanita di Palestin yang terus berjuang dalam penindasan,” tulisnya di Instagram.

Lambang Keamanan, Kasih dan Kebersamaan

Seruan ini bukan sahaja untuk wanita, tetapi untuk semua rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib umat Islam di Palestin. Farah Lee mengajak semua untuk tampil ke KLIA malam ini dengan berpakaian T-shirt putih

sebagai tanda kebersamaan, penghormatan, dan kasih terhadap mereka yang tidak pernah putus berjuang mempertahankan maruah, agama, dan hak asasi mereka.

Inisiatif ini sekali lagi membuktikan bahawa perjuangan Palestin bukan hanya isu wilayah, tetapi perjuangan sejagat yang menghubungkan hati umat Islam di seluruh dunia. Warna putih melambangkan kesucian, keamanan, dan perpaduan – tanda bahawa kita berdiri bersama dalam solidariti yang tidak akan pernah padam.

BACA LAGI : Zizi Kirana Dedah Detik Ngeri Ditahan Dalam Misi GSF. – “Disuruh Buka Tudung & Stokin, Tapi Saya Lawan!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana