Personaliti media sosial dan aktivitis, Farah Lee, menerusi laman Instagramnya menyeru rakyat Malaysia untuk memakai T-shirt putih sebagai hijab ketika hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.
Menurutnya, tindakan simbolik itu bertujuan untuk menunjukkan sokongan moral dan solidariti kepada wanita Palestin yang terus menghadapi penindasan tanpa henti di bawah kekejaman rejim Zionis.
T-shirt Putih Sebagai Tudung Tanda Solidariti – Farah Lee
Farah Lee menegaskan bahawa serangan yang menyasarkan wanita, khususnya pemakaian hijab dan nilai-nilai Islam, jelas menunjukkan usaha sistematik untuk menghina dan menjatuhkan identiti Muslimah. Namun, dari Gaza hingga Kuala Lumpur, semangat wanita Muslim tidak pernah luntur.
Delegasi wanita Malaysia ini menjadi bukti bahawa maruah dan prinsip tidak boleh dikalahkan dengan senjata mahupun penjajahan. Sebaliknya, tekanan dan penderitaan ini menjadi bahan bakar untuk memperkukuh solidariti antara umat Islam di seluruh dunia.
Ads
Inisiatif memakai T-shirt putih ini bukan sekadar satu perhimpunan, tetapi panggilan hati nurani untuk berdiri bersama mereka yang dizalimi. Ia merupakan lambang kasih sayang dan persaudaraan rentas sempadan yang menyatukan kita sebagai satu ummah.
“Panggilan Solidariti! Bersama Farah Lee dan Delegasi Malaysia. IOF sangka mereka sudah menjatuhkan maruah wanita Muslim, tetapi mereka lupa, selagi ada sehelai benang pada tubuh, wanita Muslim akan tetap berusaha menutup auratnya dengan penuh harga diri.
Ads
“Tindakan mereka tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya menjadi modal untuk kita bersolidariti! Mari kita sama-sama penuhi KLIA dengan berpakaian T-shirt putih sebagai simbol hijab, tanda sokongan dan kasih terhadap delegasi wanita Malaysia serta wanita-wanita di Palestin yang terus berjuang dalam penindasan,” tulisnya di Instagram.
Lambang Keamanan, Kasih dan Kebersamaan
Seruan ini bukan sahaja untuk wanita, tetapi untuk semua rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib umat Islam di Palestin. Farah Lee mengajak semua untuk tampil ke KLIA malam ini dengan berpakaian T-shirt putih sebagai tanda kebersamaan, penghormatan, dan kasih terhadap mereka yang tidak pernah putus berjuang mempertahankan maruah, agama, dan hak asasi mereka.
Ads
Inisiatif ini sekali lagi membuktikan bahawa perjuangan Palestin bukan hanya isu wilayah, tetapi perjuangan sejagat yang menghubungkan hati umat Islam di seluruh dunia. Warna putih melambangkan kesucian, keamanan, dan perpaduan – tanda bahawa kita berdiri bersama dalam solidariti yang tidak akan pernah padam.
Negara Nepal kini bergolak selepas keputusan kerajaan menyekat sebanyak 26 platform media sosial popular mencetuskan protes besar-besaran, terutama daripada golongan Gen Z. Tindakan drastik itu dilakukan pada 4 September lalu apabila syarikat teknologi antarabangsa dilaporkan gagal mendaftar dengan pihak berkuasa telekomunikasi negara berkenaan seperti yang diwajibkan.
Memetik laporan media antarabangsa, antara platform yang disekat termasuk Facebook, X, Instagram, YouTube, WhatsApp, Reddit dan LinkedIn. Namun, beberapa aplikasi seperti TikTok dan Viber masih dibenarkan kerana telah mematuhi syarat kerajaan. Larangan ini segera mendapat tentangan hebat kerana rakyat menganggap ia menyekat kebebasan komunikasi dan akses maklumat.
Dalam pada itu, gelombang protes yang bermula secara kecil bagaimanapun bertukar menjadi gerakan nasional dipelopori belia dan isu ini bukan sekadar tentang akses media sosial, tetapi simbol penentangan terhadap rasuah, kurangnya peluang ekonomi serta ketidakadilan politik yang sekian lama menghantui negara itu.
Situasi semakin tegang apabila pasukan keselamatan bertindak menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Sekurang-kurangnya 19 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 100 lagi cedera, menjadikan krisis ini antara protes paling berdarah di Nepal dalam tempoh beberapa dekad.
Slogan “Shut down corruption, not social media” juga kedengaran di jalanan, menandakan kemarahan rakyat bukan semata-mata kepada larangan digital, tetapi juga sistem politik yang dianggap gagal sehingga beberapa bangunan kerajaan dibakar, manakala rumah rasmi Perdana Menteri serta Presiden turut menjadi sasaran.
Disebabkan tekanan yang kian memuncak, kerajaan Nepal akhirnya menarik balik larangan media sosial. Namun, langkah itu tidak serta-merta meredakan keadaan kerana gelombang kebangkitan rakyat sudah melangkaui isu asal. Pada masa yang sama, desakan bertambah kuat sehingga memaksa Perdana Menteri K.P. Sharma Oli mengumumkan peletakan jawatan beliau pada Selasa.
Perdana Menteri K.P. Sharma Oli mengumumkan peletakan jawatan beliau pada Selasa
Selain itu, Menteri Dalam Negeri turut melepaskan jawatannya atas dasar tanggungjawab moral. Situasi ini menandakan krisis politik negara berkenaan semakin meruncing dan institusi kerajaan kini berdepan cabaran untuk memulihkan keyakinan rakyat.
Sementara itu, bagi meredakan keadaan, kerajaan Nepal turut memaklumkan akan menubuhkan panel siasatan khas dalam tempoh 15 hari bagi meneliti punca rusuhan serta mencadangkan langkah pencegahan. Pampasan juga dijanjikan kepada keluarga mangsa yang terkorban, selain rawatan percuma bagi mangsa yang tercedera.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, suasana di Mahkamah Majistret pada pagi tadi bertukar menjadi tegang apabila seorang lelaki dipercayai merupakan abang kepada penuntut universiti, Maniishapriet Kaur Akhara yang juga mangsa kes bunuh di Cyberjaya bertindak cuba menyerang salah seorang suspek yang hadir untuk permohonan sambungan reman.
Memetik laporan media tempatan, lelaki berbaju merah itu dilihat menghampiri suspek utama sejurus selesai prosiding sekitar jam 9.50 pagi, sambil menjerit dari jauh.
Walau bagaimanapun, tindakan pantas anggota polis berjaya mengawal situasi dan mengelakkan sebarang insiden yang lebih serius terjadi. Ketika kejadian berlaku, difahamkan suspek lelaki utama dan dua lagi suspek wanita sedang diiring keluar dari kamar mahkamah.
Insiden itu berlaku susulan kejadian pembunuhan tragik melibatkan seorang pelajar universiti wanita berusia 20 tahun di Cyberjaya pada 24 Jun lalu yang mencetuskan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan ahli keluarga mangsa.
Sementara itu, peguam bela kepada suspek utama, M. Manoharan turut mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan pihak polis yang mendakwa anak guamnya mempunyai ‘niat tidak baik’ dalam kes berkenaan.
Kredit foto: Harian Metro
“Kami sudah bangkitkan bantahan kepada Puan Majistret berhubung tindakan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengeluarkan kenyataan serta cebisan-cebisan keterangan yang boleh menjejaskan kes anak guam saya”
“Ini adalah perkara yang sangat serius. Tugas polis adalah untuk menyiasat dan kita mempunyai hakim yang bijaksana, terpelajar dan berwibawa untuk menentukan siapa yang bersalah dan siapa yang tidak,” tegas Manoharan.
Terdahulu, pihak polis telah mendapatkan perintah sambungan reman selama tujuh hari terhadap ketiga-tiga suspek untuk meneruskan siasatan lanjut berkaitan kes ini.
terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Malaysia memulakan kempen Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 dengan langkah positif selepas menuai dua pingat gangsa pada hari pertama saingan yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway pada Selasa.
Kilauan gangsa itu disumbangkan masing-masing dua atlet yang membuat debut iaitu Ethan Damian Goh dalam acara individu lelaki dan Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi bagi kategori individu wanita.
Ethan hampir mencipta kejutan apabila menampilkan aksi konsisten dengan melakar 224, 225, 202, 226 dan 245 mata untuk merampas kedudukan pendahulu selepas lima permainan.
Kredit: Bernama
Walau bagaimanapun, atlet berusia 14 tahun itu gagal meneruskan rentak pada permainan terakhir apabila sekadar meraih 186 mata sekali gus terpaksa akur mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan keseluruhan 1,308 jatuhan pin.
“Saya sangat gembira dan juga teruja, terima kasih kepada semua yang menyokong dan membantu saya. Saya memang sedih sedikit (hilang kedudukan pertama) tetapi tak mengapa dapat tempat ketiga, sekurang-kurangnya tiga terbaik” – Ethan
Pada masa sama, Ethan yang akan beraksi dalam acara beregu pada Rabu dan berpasukan pada Khamis mengakui saingan dihadapinya sangat sengit dan perlu lebih bijak dalam membuat keputusan pertukaran bola dalam baki saingan selepas ini.
Dalam pada itu, wakil Singapura A Nura Salsabila Zulkifli mendominasi saingan wanita apabila menggondol pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 1,395 jatuhan pin.
Tempat kedua menjadi milik atlet Singapura B Ella Tan (1,322) dan ketiga Qurratu’ain Izdihar (1,274) yang mewakili Malaysia B.
“Pada mulanya saya tidak sangka mampu menang sebab saya berusaha keras pada tiga perlawanan pertama dan selepas perlawanan ketiga saya membuat keputusan untuk tukar bola dan ia beri saya impak yang baik seterusnya mengekalkan guna bola yang sama,” kata Qurratu’ain Izdihar yang berusia 16 tahun dan turut akan beraksi dalam acara beregu dan berpasukan.
Sementara itu, menurut jurulatih kebangsaan Azidi Ameran, kedua pemain itu adalah pemain baru dan jarang dikeluarkan untuk bersaing. Jadi pencapaian mereka dengan membawa pulang dua (2) gangsa itu cukup baik dan membanggakan.
Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 dari 16 hingga 23 Jun ini disertai 14 pasukan antaranya Malaysia, Australia, Singapura, China, Indonesia, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Macau dan Pakistan.
Sumber: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!